Amerika Utara

Pelajar universiti elit AS sertai bantahan pro-Palestin

Oleh AFP

Washington: Bantahan pro-Palestin yang menggegarkan universiti di seluruh Amerika Syarikat (AS), semalam, merebak ke lebih banyak kampus di negara itu.

Situasi itu sekali gus mencetuskan cadangan daripada seorang pemimpin kanan Republikan bahawa Pengawal Kebangsaan boleh dibawa masuk ke kampus untuk menangani isu berkenaan.

Komen daripada Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson itu berkemungkinan membangkitkan emosi yang kuat di negara yang mana pembunuhan 1970 oleh Pengawal Kebangsaan terhadap pelajar tidak bersenjata yang memprotes perang Vietnam, masih dalam ingatan rakyat.

Demonstrasi tercetus di Universiti California Selatan pada Rabu, dan di Texas, di mana ketegangan antara pelajar dan polis, dengan lebih daripada 20 orang ditahan.

Ia adalah konfrontasi terbaru antara penguat kuasa undang-undang dan pelajar yang marah dengan jumlah kematian yang semakin meningkat dalam perang Israel terhadap Hamas.

Pergerakan itu bermula di Universiti Columbia di New York di mana berpuluh-puluh tangkapan dibuat minggu lalu, selepas pihak berkuasa universiti memanggil polis untuk menyuraikan tindakan pelajar berkhemah.

Pelajar Yahudi menganggap tindakan itu memberi ancaman dan anti-Semitik.

Johnson juga dikatakan mahu menuntut Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden untuk mengambil tindakan susulan bantahan berkenaan.

Jurucakap Rumah Putih Karine Jean-Pierre bagaimanapun berkata, Biden menyokong kebebasan bersuara.

"Presiden percaya bahawa kebebasan bersuara, perdebatan dan tanpa diskriminasi di kampus kolej adalah penting," katanya kepada pemberita.

Pelajar yang menyertai perkhemahan itu berkata, mereka menzahirkan solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza, di mana angka kematian melebihi 34,200,

Selain itu, mereka mendesak Universiti Columbia dan universiti lain untuk beralih daripada terbabit dengan syarikat yang mempunyai hubungan dengan Israel.

Penunjuk perasaan termasuk beberapa pelajar Yahudi menafikan ada unsur anti-Semitisme.

Pelajar melaungkan 'Bebaskan Palestin' serta slogan kontroversi 'dari sungai ke laut, Palestin akan bebas' yang ditafsirkan oleh segelintir pihak sebagai menyeru kemusnahan Israel.

Universiti Columbia menyatakan ia menutup kampus kepada pelawat luar, walaupun kelas dan aktiviti lain diteruskan.

Pelajar juga melancarkan protes di universiti lain termasuk Universiti Yale; Institut Teknologi Massachusetts (MIT); Universiti California, Berkeley; Universiti Michigan dan Universiti Brown.

Imej media sosial menunjukkan perkhemahan sama di Universiti Harvard.

Kelas juga dipindahkan dalam talian dan aktiviti lain di kampus dibatalkan di Universiti Politeknik Negeri California.

Lebih 130 orang sudah ditangkap dalam protes pro-Palestin di Universiti New York, malam Isnin lalu.

Polis di Universiti Minnesota dilaporkan menahan sembilan orang di sebuah tempat berhimpun.

Disiarkan pada: April 25, 2024 @ 12:01pm
d