mutakhir

Mohamed Khaled tiba di Indonesia untuk lawatan rasmi

Oleh BERNAMA

Jakarta: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiba di Jakarta hari ini untuk lawatan kerja rasmi sulung beliau ke Indonesia sejak memegang jawatan itu.

Lawatan dua hari bermula Isnin itu menyaksikan beliau dijadualkan bertemu Menteri Pertahanan Prabowo Subianto, yang juga Presiden Terpilih Indonesia, pada Selasa.

Menerusi catatan di laman Facebooknya, agenda esok bermula dengan lawatan ke anak syarikat Pharmaniaga Bhd iaitu PT Millennium Pharmacon International Tbk diikuti pertemuan dengan diaspora Malaysia.

Mohamed Khaled dan delegasi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Tangerang pada kira-kira 3 petang waktu tempatan, menurut Kementerian Pertahanan Indonesia dalam satu kenyataan.

Beliau disambut Pensyarah Tetap Program Strategi Kempen Ketenteraan Fakulti Strategi Pertahanan di Universiti Pertahanan Indonesia Mejar Jeneral Jhonny Djamaris dan Ketua Pusat Pengelolaan Kawasan Badan Peralatan Strategis Pertahanan Kementerian Pertahanan Brigedier Jeneral Sudaryanto.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat antara Mohamed Khaled dan Prabowo akan membincangkan beberapa isu strategik dalam sektor pertahanan.

Sebelum ini, kedua-dua pemimpin telah bertemu di Kuala Lumpur pada 4 April dan sepakat untuk memperkuat kestabilan wilayah, kata kementerian itu.

Disiarkan pada: April 28, 2024 @ 11:42pm
d