mutakhir

Dua kali dengar ngauman pak belang

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Pendang: Seekor lembu betina bunting ditemukan mati dipercayai dibaham seekor harimau di Kampung Bukit Lanjut di sini, tengah malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12.21 tengah malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari APM Pendang tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Sebaik tiba di lokasi, didapati lembu betina bunting itu mati dengan kesan darah di bahagian badan dan muka.

"Berdasarkan maklumat daripada pengadu, sebelum kejadian dia terdengar 'jeritan' lembu berkenaan di belakang rumahnya sebelum keluar untuk melihat apa yang berlaku.

"Namun, selepas dua kali terdengar bunyi harimau mengaum, dia terus masuk ke dalam rumah dan menghubungi APM untuk memaklumkan kejadian itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Yuslina berkata, sebaik anggotanya tiba di lokasi, didapati lembu berkenaan sudah mati.

Beliau berkata, anggotanya kemudian melakukan pemantauan di lokasi kejadian sebelum mendapati harimau itu sudah tiada.

Dalam pada itu, pihaknya menasihatkan penduduk kampung di kawasan terbabit dengan kejadian harimau berkenaan, menghubungi pihak berkuasa dengan segera sekiranya terserempak dengan haiwan itu.

Disiarkan pada: April 29, 2024 @ 7:56am
d