rap

CN Blue tak goyah

Oleh Syafil Syazwan Jefri

WALAUPUN sudah lebih sedekad menempa nama di dalam industri muzik, nama band popular dari Korea Selatan, CN Blue nampaknya masih lagi kukuh dan tidak goyah.

Buktinya, konsert siri jelajah CNBLUENTITY Asia yang berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur minggu lalu berjaya menarik hampir 5,000 peminat yang membanjiri ruang acara konsert itu.

Dianggotai trio Jung Yong Hwa, Lee Jung Shin dan Kang Min Hyuk, ketiga-tiga mereka menyajikan persembahan memukau sekali gus membuatkan peminat setia mereka umpama histeria.

Tidak sekadar membuat persembahan, CN Blue hadir dengan pakej lengkap sebagai penghibur sekali gus menghangatkan pentas dan pada masa sama, tidak melepaskan peluang berinteraksi dengan peminat setia mereka.

"Malaysia, kami sangat merindui anda semua. Kali terakhir ke sini rasanya tahun 2015, hampir 10 tahun tidak berjumpa.

"Semangat dan sokongan anda sangat menakjubkan," kata Yong Hwa yang juga penyanyi dan pemain gitar kumpulan itu.

Apa yang menarik, peminat yang hadir nampaknya terdiri daripada pelbagai generasi, lapisan usia dan pelbagai kaum. Rata-rata memberikan sorakan gemuruh di samping merakamkan detik-detik indah di acara konsert itu.

Sepanjang durasi dua jam setengah konsert itu berlangsung, ketiga-tiga anggota CN Blue cuba sedaya upaya mendekati dan menyentuh hati peminat tempatan dengan mencuba bertutur dalam Bahasa Malaysia.

"Awak cantiklah. Mantap gila," ujar Jung Shin.

"Bagus, nak lagi?," kata Yong Hwa.

Setiap kali segmen interaksi antara mereka dan peminat berlangsung, setiap kali itu jugalah kedengaran jeritan daripada peminat yang bersahut-sahutan.

Tatkala membuat persembahan, keupayaan mereka menampilkan 24 lagu penuh bertenaga seharusnya diberikan pujian.

Antara lagu-lagu yang dipersembahkan adalah I'm a Loner, Love, I'm Sorry, Intuition dan Love Girl.

Disiarkan pada: April 29, 2024 @ 6:30am
d