RAJA Saiful melahirkan rasa kecewa apabila suasana di perkarangan Stadium Shah Alam tidak semeriah seperti kebiasaannya. FOTO Hanafis Abd Haris
Hanafis Abd Haris
hanafis@hmetro.com.my


“SELALUNYA sehari sebelum mana-mana perlawanan akhir, perkarangan luar Stadium sudah dipenuhi dengan penyokong. Namun mungkin tiket perlawanan akhir Piala FA sudah dijual di negeri masing-masing menyebabkan mereka turun esok harinya,”

Itu luahan seorang daripada peniaga yang membuka jualan gerai sejak 3 petang hari ini di Stadium Shah Alam, sempena perlawanan akhir Piala FA antara Pahang dan Kedah yang berlangsung malam esok.

Menurut Raja Saiful Bahri, 30, suasana sehari sebelum perlawanan kali ini begitu suram dengan hanya beberapa penyokong saja yang tiba awal.

Menurutnya, ini kali pertama dia berhadapan dengan suasana terbabit selepas hampir tiga tahun berniaga di setiap perlawanan bola sepak.

“Lepas solat Jumaat tadi saya tinjau juga kawasan perkarangan dan selalunya sudah ramai yang datang membeli jersi atau makanan.

“Namun kali ini memang lain suasananya. Malah sasaran jualan agak tersasar kerana kami menjangkakan penyokong akan membanjiri stadium pada malam ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Mohd Zaki Zakariah, 32, berkata, kebiasaannya penyokong sudah mula berkhemah di bahagian belakang tapak perniagaan, namun malam ini tiada satu khemah kelihatan.

“Malah peniaga pun tidak ramai malam ini. Hanya satu dua saja yang buka.

“Mungkin mereka juga sudah menjangkakan penyokong baik Helang Merah atau Tok Gajah tiba esok hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 9:58 PM