SOTO (kiri) mahukan penjelasan selepas digugurkan oleh PKNS, baru-baru ini.
Rodly Fadly
sukan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Gonzalo Soto akan menemui pihak pengurusan PKNS FC untuk membincangkan masa depannya bersama kelab itu selepas digugurkan baru-baru ini kerana kecederaan.

Soto yang kembali ke Malaysia dua hari lalu selepas lebih sebulan menjalani rawatan di negaranya Argentina berkata, perbincangan itu kelak penting demi menentukan hala tuju kariernya.

“Saya tidak tahu bagaimana kedudukan saya sekarang namun secara undang-undang saya tetap pemain PKNS walaupun sudah digugurkan kerana masih mempunyai kontrak dengan mereka.

“Mereka perlu memberi jalan penyelesaian terbaik untuk saya selepas menggantikan saya dengan pemain lain. Mereka mengetahui saya bermain sepanjang musim dalam keadaan cedera semata-mata untuk membantu kelab, sekarang mereka pula perlu membantu saya.

“Saya akan menemui pihak pengurusan secepat mungkin untuk membincangkan perkara ini. Saya berharap kami dapat mencari jalan penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak,” katanya.

Walaupun mengakui kecewa digugurkan namun Soto akur dengan keputusan kelab itu menggantikannya dengan pemain Gambia Abdou Jammeh.

“Perkara seperti ini memang lumrah dalam bola sepak dan saya perlu menerimanya. Sudah tentu saya agak sedih kerana tidak dapat bermain lagi untuk PKNS kerana sudah bekerja keras sepanjang bersama mereka.

“Begitupun saya faham situasi dihadapi PKNS sekarang kerana mereka perlu mendapatkan keputusan lebih baik pada pusingan kedua untuk kekal dalam Liga Super.

“Saya sudah berusaha untuk pulih dengan menjalani rawatan pakar di Argentina tapi ternyata memerlukan sedikit masa lagi untuk cergas sepenuhnya.

“Dalam situasi sekarang, jika diberi pilihan, saya mahu pulang ke Argentina untuk meneruskan rawatan di sana. Tapi masalahnya saya masih ada kontrak bersama PKNS, adakah mereka membenarkan saya pulang, itulah yang akan kami bincangkan,” ujar Soto.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 12:08 PM