Tindakan Oscar merembat bola kepada pemain R&F menyebabkan pemain lawan naik angin. FOTO AFP
AFP

PEMAIN antarabangsa Brazil Oscar cetus huru hara atas padang apabila menjadi ‘penyebab’ pemain dan kakitangan kelabnya Shanghai SIPG bergaduh dengan pasukan lawan Guangzhou R&F ketika Liga Super China (CSL), semalam.

Bekas pemain tengah Chelsea dilihat menyepak bola secara sengaja sebanyak dua kali kepada pemain Guangzhou menyebabkan beberapa pemain lawan naik angin meluru kepadanya dan menolak hingga jatuh.

Seorang pemain setiap kelab terbabit dibuang padang menyaksikan permulaan jendela perpindahan CSL berada dalam keadaan tidak terkawal.

Pergaduhan berlaku sebelum babak pertama berakhir pada perlawanan CSL di Guangzhou R&F ketika skuad SIPG dikendalikan Andre Villas-Boas cuba memberi tekanan psikologi terhadap pendahulu liga Guangzhou Evergrande.

Oscar dibeli SIPG pada nilai 60 juta euro (RM256 juta) yang menjadi perpindahan terbesar dalam sejarah bola sepak Asia mencetuskan kontroversi tiba tiba menyepak bola sebanyak dua kali kepada pemain R&F.

Pemain skuad tuan rumah Chen Zhizhao membalas dengan menolak pemain Brazil berusia 25 tahun itu ke permukaan padang sebelum pemain, kakitangan kejurulatihan dan pemain gantian memenuhi padang dengan Oscar terbaring atas padang.

Apabila keadaan dapat dikawal semula selepas tolak menolak serta bergaduh satu sama lain, pemain R&F Li Tixiang dan pemain Shanghai Fu Huan dibuang padang dan tiga pemain lain dilayangkan kad kuning.

Oscar bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dengan perlawanan berkesudahan 1-1 yang meletakkan SIPG ketinggalan empat mata di belakang juara bertahan Guangzhou Evergrande.

Pengurus dari Portugal Villas-Boas mempertahankan tindakan Oscar, mengatakan "dia begitu bersemangat".

Seorang lagi pemain antarabangsa Brazil iaitu penyerang Hulk menyamakan kedudukan untuk Shanghai selepas mendapat lorongan bola daripada Oscar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 1:53 PM