Sabtu,26 Julai 2014

12 jam tergantung cari kambing

Oleh MUHAMMAD APENDY ISSAHAK

Selayang: Seorang gembala kambing nyaris maut selepas tergelincir ketika mencari ternakannya di kawasan bukit berhampiran kuil Batu Caves, di sini, dan tergantung pada akar kayu lebih 12 jam pada waktu malam sebelum ditemui orang ramai, pagi semalam.

Lelaki berusia 40-an itu dikatakan mendaki bukit berkenaan lewat petang kelmarin untuk mencari kambingnya tetapi terjatuh dari tebing bukit setinggi 25 meter, namun bernasib baik apabila kaki kirinya tersangkut pada akar kayu sebelum ditemui jam 8 pagi semalam.


Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Selayang menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam dan menghantar pasukan bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Sepasukan tujuh pegawai dan anggota bomba tiba ke lokasi kejadian 13 minit selepas mendapat maklumat. Sebaik tiba, lelaki terbabit didapati tersangkut serta tergantung di akar pokok dengan kepalanya ke bawah.


“Bomba mengambil masa hampir sejam bagi menyelamat dan menurunkan mangsa sebelum ambulans membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Menurutnya, berdasarkan laporan awal, lelaki terbabit dipercayai tergelincir dari bukit berkenaan ketika mencari kambingnya, lewat petang kelmarin.

Foto

Gembala kambing yang tergantung pada akar kayu di tebing bukit.

Foto

“Kejadian tak disedari sesiapa dan mangsa dipercayai tergantung di tebing bukit itu lebih 12 jam sebelum ditemui orang ramai yang berada di kuil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26
`