Rabu,30 Julai 2014

Masuk Vietnam

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee

SYARIKAT kontraktor binaan dan pengeluar cat tempatan, Westside Acrythane Polymers Sdn Bhd (WAP) bakal memasarkan produk cat lapisan kalis air, MyFrosheil 300 ke Vietnam tahun ini selepas menembusi pasaran sedia ada di Singapura dan Brunei.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rohimah Mamat berkata, produk cat syarikatnya dikeluarkan sejak tahun 1990 itu dengan produk pertamanya, Storm Guard Paint yang mendapat permintaan tinggi syarikat pembinaan kerana berkualiti tinggi serta berharga berpatutan.


“Pada mulanya, cat kami dikeluarkan bergantung kepada pesanan khas pelanggan sama ada kontraktor kecil atau syarikat pembinaan. “Namun kualiti produk ini terus ditingkatkan dari semasa ke semasa melalui kajian yang dilakukan penasihat kami, Profesor Dr Mohd Fawzi Ramli menggunakan teknologi Eropah. Selepas 20 tahun di pasaran, permintaan terhadap produk ini terus melonjak dan dipasarkan ke negara jiran,” katanya.

ketika ditemui baru-baru ini.


Menurut Rohimah, kilangnya yang terletak di Bandar Baru Ampang, Selangor ini mampu mengeluarkan kira-kira 500 hingga 1,000 kilogram cat sehari bagi memenuhi permintaan tinggi.


“Formulasi terbaru mendapati cat ini mampu menahan air dari masuk ke dalam konkrit dengan ketahanan fleksibiliti. Selain itu, ia tahan panas, antikulat dan dijamin kualiti sehingga 10 tahun akan datang. “Malah, kami turut mengeluarkan cat minyak lapisan khas iaitu Special Coating Paint bagi menutupi permukaan lantai yang berlubang dan menggerutu.

“Pengguna tidak perlu bimbang mengenai pilihan warna kerana ada lebih 1,000 pilihan rona. Kami juga memasarkan produk ini di kedai perkakasan,” katanya yang turut mengeluarkan produk konkrit ringan bagi pembinaan.


Selain itu, katanya, syarikatnya aktif dalam kerja pembinaan dan pengubahsuaian serta mempunyai kepakaran menguruskan bangunan retak, membaik pulih tanah dan jalan raya mendap.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/01/23
`