Sabtu,02 Ogos 2014

‘Hentian’ RM50 sebulan

Oleh Rosyahaida Abdullah

KUALA LUMPUR: Meskipun bergaji bulanan RM1,500 ke bawah, golongan muda khususnya yang bujang boleh memiliki tempat tinggal selesa di ibu kota dengan sewa serendah RM50 sebulan.

Hasil inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak lebih dua dekad lalu, kediaman berbentuk asrama dibina khusus untuk belia lelaki dan perempuan berumur 40 tahun ke bawah yang memerlukan tempat tinggal pada kadar sewa rendah.


Kini dengan keseluruhan 748 katil, penyewa mempunyai pilihan bilik seorang, dua atau empat orang di lapan lokasi berlainan sekitar ibu kota.

Bagi lelaki, enam lokasi disediakan iaitu Seri Pangkor dan Seri Perak di Jalan Ipoh, Seri Kota di Bandar Tun Razak, Seri Selangor di Bukit Bintang, Kompleks Belia Cheras dan Kompleks Belia Gombak.


Bagi perempuan pula, dua kawasan menyediakan bilik untuk dua orang dengan sewa RM120 sebulan seorang iaitu Kompleks Beliawanis Gombak dan Kompleks Beliawanis Ummu Salamah di Cheras.


Sewa meliputi air, elektrik dan yuran penyelenggaraan, malah di kawasan tertentu kemudahan lain seperti gelanggang tenis, perpustakaan dan dewan badminton disediakan percuma untuk penyewa.

Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Sukiman Surahman berkata, kediaman itu khas bagi warga negara ini yang tinggal atau bekerja di Kuala Lumpur.


Katanya, walaupun tangga gaji penyewa disyaratkan di bawah RM1,500, DBKL mempertimbangkan permohonan yang tidak memenuhi syarat, namun dokumen sokongan diperlukan untuk rujukan.

DBKL juga menerima permohonan ibu tunggal, bapa tunggal, janda atau duda yang berseorangan di bandar raya ini dan mencari sewa murah.


“Ini adalah transit terbaik untuk golongan muda sebelum memasuki gerbang perkahwinan. Mereka bukan hanya boleh berjimat, malah dengan kemudahan disediakan, ia tidak memberi banyak perbezaan dengan rumah sewa lain.


“DBKL tidak memperoleh keuntungan daripada kediaman ini. Pembinaannya semata-mata untuk membantu golongan muda yang memerlukan tempat tinggal. “Bayangkan, lif, pengawal keselamatan, ruang letak motosikal dan kereta, bilik televisyen semuanya disediakan dan kerosakan ditanggung sepenuhnya DBKL,” katanya.


Menurutnya, Seri Pangkor, Seri Kota, Seri Perak dan Seri Selangor tidak seperti asrama kerana asalnya kediaman kelamin yang disewa kepada orang ramai. Namun disebabkan permintaan belia bujang, DBKL mengambil beberapa unit untuk disewakan kepada mereka.


Penyewa tidak dibenarkan membawa peralatan memasak kerana membabitkan keselamatan penghuni lain di bawah tanggungjawab DBKL. Bagaimanapun, peralatan elektrik lain seperti televisyen dan komputer boleh dibawa dan digunakan di bilik.


Sementara itu, Mohd Azwan Ahmad, 32, yang menyewa di situ lebih enam tahun berkata, pengalamannya menyewa di luar jauh berbeza dibandingkan kompleks belia milik DBKL itu.


Sebagai orang kelainan upaya (OKU), Mohd Azwan mengakui perlu bijak mengharungi hidup sendiri di Kuala Lumpur terutama ketika menyewa dengan orang luar yang tidak dikenali ditambah pula perbelanjaan hidup yang tinggi.


Dengan pendapatan dua kali ganda di ibu kota berbanding kampung halamannya di Terengganu, Azwan nekad menyesuaikan diri dan Kompleks Belia DBKL dianggap kediaman terbaik dengan kemudahan sempurna untuknya.


“Pada pendapat saya, kemudahan di sini memang serba lengkap untuk golongan muda lebih-lebih lagi warga OKU. Malah, dengan pengawal keselamatan 24 jam, ia lebih selamat berbanding menyewa di luar,” katanya.


“Ada yang menganggap disebabkan ia berbentuk asrama dan orang luar tidak dibenarkan masuk ke bilik kita, penyewa seolah-olah tidak boleh bersosial, tetapi saya menentang pendapat ini. Saya sendiri menggunakan masa lapang keluar dengan rakan,” katanya yang menyewa bilik seorang di Kompleks Belia Cheras dengan sewa RM140 sebulan.


Bagi Nurhidayah Zamharir, 25, ketika mula bertugas sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan di Hospital Kuala Lumpur, dia memilih Kompleks Beliawanis Ummu Salamah di Cheras yang dianggap selamat dan selesa untuk wanita.


, tambahan pula sewa RM120 sebulan dikenakan menepati pendapatannya iaitu RM900 sebulan.


“Kemudahan pengangkutan pun senang. Setiap hari, saya mengambil LRT ke tempat kerja sementara kedai makan ada di sekitar kompleks,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/05/01
`