Jumaat,11 Julai 2014

‘Tuhan Harun’ didakwa

Kuantan: Lelaki dipercayai ketua ajaran sesat yang menggelarkan dirinya Tuhan Harun atau Tuhan 2013, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, bagi menghadapi tuduhan menipu seorang kontraktor lima tahun lalu.

Tertuduh, Harun Mat Saat, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di depan Majistret Jesseca Daimis.


Harun yang memakai baju kemeja hitam berbunga putih hijau, didakwa menipu seorang kontraktor berusia 56 tahun dengan mendorong pengadu menyerahkan RM200,000 sebagai wang pembelian saham di Islamic Business Central.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah bernombor 10, Lorong Kubang Buaya 48, Taman Kubang Buaya, di sini, pada 18 Oktober 2008, jam 3 petang.


Harun yang beralamat di Seksyen 12, Istana Kayangan, Shah Alam, Selangor, didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.


Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan T Murugesu yang menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Ketika diminta mengemukakan rayuan, Harun memohon dikurangkan jumlah jaminan kerana dia mempunyai tujuh tanggungan termasuk dua isteri dengan pendapatan RM1,800 sebulan.


Jesseca kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dan menetapkan tarikh 29 April ini untuk sebutan semula kes.

Ketika dibawa keluar dari mahkamah, dua lelaki yang dipercayai pengikutnya dilihat meghampiri Harun dan turut mengiringinya.


Harun tersenarai sebagai individu paling dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) kerana terbabit dalam beberapa siri kes penipuan yang membabitkan jumlah wang tunai lebih RM200 juta sejak 2010.


Difahamkan, selepas dihadapkan ke mahkamah, Harun ditahan semula oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bagi melengkapkan siasatan berhubung kes ajaran sesat dipercayai diketuainya sebelum diserahkan kepada BNM.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/10
`