Selasa,22 Julai 2014

26 rumah generasi kedua siap

Bandar Seri Jempol: “Projek perintis ini membuktikan kita serius mengatasi masalah perumahan membabitkan generasi kedua dan ketiga FELDA di seluruh negara.

“Kita juga akan mendapatkan maklum balas daripada pemilik rumah itu nanti dalam usaha menambah baik PGBF (Projek Perumahan Generasi Baru FELDA),” kata Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berhubung 26 unit rumah PGBF di Padang Piol, Jerantut, Pahang yang siap dibina dalam tempoh kurang dua bulan, April lalu.


Beliau berkata, semua rumah itu yang dibina sepenuhnya menggunakan sistem binaan industri (IBS) dimulakan awal Mac lalu dan siap sepenuhnya 28 April lalu dan akan diduduki generasi kedua FELDA kawasan itu tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Gugusan Bayai Jempol Berhad ke 18, di Dewan Orang Ramai Kampung Serting Tengah, semalam.


Turut hadir, Pengurus Besar FELCRA Berhad Wilayah Tengah Hassan Khamis.


Mohd Isa berkata, PGBF membabitkan pembinaan keseluruhan 20,000 unit rumah tiga bilik dan dua bilik air dalam tempoh lima tahun dengan jangkaan 4,000 unit disiapkan setahun.

“Buat masa ini, projek itu sedang dilaksanakan di beberapa tanah rancangan lain di seluruh negara dan sebahagiannya di peringkat perancangan, manakala selebihnya sudah dimulakan.


“Malah, 539 unit rumah di bawah projek itu di FELDA Papan Timur, Kota Tinggi, Johor yang mula dibina bulan lalu dijangka siap pada Disember depan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Isa berkata, projek Sentuhan Kasih FELDA di FELDA Tenggaroh 3 di Wilayah Johor Baharu; FELDA Chini Timur 2, Wilayah Kuantan dan FELDA Tenang, Besut, Wilayah Terengganu, dijangka siap tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31
`