Jumaat,29 Ogos 2014

2 suspek kes samun, bunuh diberkas

GEORGE TOWN: Dua orang suspek yang dipercayai terbabit dengan kejadian samun dan bunuh yang berlaku di sebuah kedai siber di Jalan Berapit Sabtu lalu, berjaya diberkas oleh polis semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Zahruddin Abdullah berkata kedua-dua suspek diberkas di Kampung Tun Sardon, Kubang Semang pada jam 7 pagi semalam.

Kedua-duanya yang berasal dari Kubang Semang didapati positif dadah dan salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

"Suspek pertama yang dikenali sebagai 'Boy' berumur 25 tahun didapati pernah terlibat dengan jenayah yang melibatkan dadah. Manakala suspek kedua berumur 21 tahun didapati positif ujian dadah," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.


Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 5.30 pagi Sabtu lalu, mangsa yang merupakan pelanggan kedai siber, Hoo Soon Lai, 37, diserang dua suspek yang memakai topi keledar dan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami di perut dipercayai kesan tikaman senjata tajam.


Katanya polis masih mengumpul bahan bukti untuk mengenal pasti senjata yang digunakan suspek dan mereka akan ditahan reman di Balai Polis Seberang Jaya sehingga Rabu depan.

Tambahnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2011/12/02
`