KUALA LUMPUR: Festival Filem Kuala Lumpur Palestin (KLPFF) yang akan diadakan bermula 4 hingga 6 Februari ini, menyaksikan lima filem dan dua dokumentari bakal ditayangkan secara percuma kepada orang ramai.
Timbalan Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM) , Siti Jamilah Sheikh Abdullah, berkata tayangan percuma itu akan berlangsung di Golden Screen Cinema, Pavilion, di sini bermula dari jam 11.30 pagi hingga 7 malam yang mana akan mempamerkan pelbagai isu berkaitan kemanusiaan yang melanda Palestin dari dulu hingga kini.
Menurutnya, program yang turut mendapat kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu diadakan bertujuan membangkitkan tahap kesedaran orang ramai mengenai kesengsaraan dan keperitan hidup penduduk di negara berkenaan selain bertindak sebagai salah satu inisiatif VPM dalam mengumpul dana melaksanakan misi ‘Viva Palestina 6 Life Line’ ke Gaza yang dijadual pada pertengahan tahun ini.
“Walaupun tayangan dokumentari dan filem ini percuma, kami menyasarkan kutipan sebanyak RM1 bilion mampu dikumpulkan melalui sumbangan orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat dan juga pihak lain yang terbabit.
“Dana itu akan digunakan untuk membiayai kembali ke sekolah, projek pertanian dan penternakan bersepadu selain membantu mereka (rakyat Palestin) dari segi pelajaran seperti melatih individu berpotensi dalam bidang perubatan dan pembedahan dengan menawarkan kursus pasca siswazah di sekolah perubatan negara ini,” katanya pada sidang media mengenai acara itu, di Balai Berita, di sini, semalam.
PUTRAJAYA: Satu lagi kematian akibat demam denggi dilapor di Selangor bagi tempoh 12 hingga 18 Feb, ...