Jumaat,18 April 2014

999 cabar mental Hazlin

Oleh Ramlah Zainal

LEBIH dua tahun menjadi pengacara program 999, Hazlin Hussain mengakui sudah mula menyesuaikan diri dengan tugas mencabar yang melaporkan pelbagai kes profil jenayah yang berlaku setiap hari di negara ini.

Bekas peserta Gadis Melayu musim kedua yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Perbankan, Universiti Utara Malaysia ini mengambil alih program itu daripada pengacara senior, Zakiah Anas yang sudah terbabit dalam program berkenaan selama 10 tahun.

“Saya masih ingat lagi, tiga bulan pertama buat program ini saya rasa nak berhenti kerja kerana teruk kena kritik dan pelbagai hentaman daripada orang ramai.

“Bayangkan, saya tak terfikir pun nak mengacara program ini tiba-tiba orang baru seperti saya pula diberi kepercayaan dan tanggungjawab berat untuk menggalas tugas sebagai pengacara 999.


“Saya terpaksa cepat belajar dan menyesuaikan diri dengan program yang menuntut komitmen tinggi ini. Pada masa sama, saya tidak dapat lari daripada orang yang masih nak bandingkan saya dengan Zakiah yang sudah sinonim dengan program ini serta sudah memiliki peminat tersendiri.


“Kini, saya bukanlah sudah terlalu selesa sebaliknya sudah tahu macam mana rentaknya untuk mengendalikan program ini,” katanya.

Sebagai pengacara baru yang masih cetek pengalaman, Hazlin, 28, yang juga wartawan penyiaran untuk 999 juga berdepan dengan pelbagai tugasan mencabar yang boleh mengancam keselamatan dirinya.

“Antara tugasan paling mencabar ialah ketika saya membuat liputan berkaitan pasport warga asing dengan ejen yang menguruskan permit kerja mereka.

“Saya sudah melakukan kesilapan kerana menggunakan telefon bimbit sendiri ketika berurusan dengan ejen permit yang penipu itu. Justeru, saya menerima pelbagai ugutan daripada ejen itu termasuk dia ingin menunggu saya di depan pejabat stesen TV3,” katanya.

Kata Hazlin, kejadian yang berlaku itu benar-benar menakutkannya hingga semangatnya sedikit goyah untuk meneruskan tugas mengendalikan program 999.

“Selama tiga hari, saya tidak tidur malam dan bimbang dengan ugutan ejen warga asing itu. Mujur, bos dan penerbit program ini, Mazidul Akmal Sidek banyak membantu dan memberi semangat pada saya untuk berdepan dengan situasi yang menakutkan itu.

“Sejak insiden itu, saya lebih berhati-hati ketika menjalankan tugasan kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali, sekali gus boleh mengancam keselamatan diri sendiri kerana tugas saya terdedah dengan bahaya seperti gangster, penjenayah dan sebagainya lagi.

“Banyak yang saya belajar dari program ini iaitu jangan terlalu ekstrim atau cuba menjadi hero ketika membuat tugasan liputan kes jenayah,” katanya yang ditemui di program Singgah Sahur yang berlangsung di Sri Pentas, TV3, baru-baru ini.

Menyentuh mengenai sambutan lebaran tahun ini, kata Hazlin, dia akan pulang beraya di rumah neneknya di Mantin, Negeri Sembilan.

“Kedua-dua ibu bapa dan ahli keluarga lain menetap di Kajang, Selangor. Justeru, kami pastikan untuk berkumpul di rumah nenek di Mantin setahun sekali untuk merasai kemeriahan hari raya.

“Juadah kegemaran pada pagi raya ialah rendang ayam, ketupat, nasi himpit dan kuah kacang. Manakala, biskut raya kegemaran pula ialah biskut Arab yang dibuat emak dan saya sendiri yang kami buat pada setiap tahun. Apapun, saya juga sudah ‘standby’ jika terpaksa bertugas pada hari raya kerana ia perkara biasa bagi personaliti seperti kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/13
`