Rabu,23 Julai 2014

Adat kahwin suku Temiar

KUALA LUMPUR: Pengantin dipakaikan hiasan anyaman daun nipah di bahagian kepala serta badan dan disandingkan di atas buaian.

Serentak itu, Tok Batin kelihatan duduk di satu tempat untuk mengawasi pengantin daripada gangguan syaitan dan semangat jahat.


Itulah keunikan majlis perkahwinan masyarakat Orang Asli suku Temiar yang dipersembahkan dalam Festival Adat Istiadat Perkahwinan 1Malaysia di Pasar Seni.

Festival selama dua hari bermula semalam itu mengetengahkan adat istiadat perkahwinan pelbagai kaum dan etnik di negara ini.


Selain adat tradisi masyarakat Orang Asli, pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat perkakasan yang digunakan dalam perkahwinan masyarakat Melayu, Cina, India, Punjabi, etnik Sabah dan Sarawak.


Festival yang masuk tahun keempat penganjurannya itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri II Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D’Cruz semalam.

Beliau berkata, majlis perkahwinan pada masa kini moden dan jarang dilihat majlis berkenaan dilangsungkan mengikut adat.


“Pengaruh arus kemodenan sedikit sebanyak menghakis budaya dan adat resam yang dijunjung tinggi masyarakat terdahulu.

“Justeru, pasangan baru yang mahu melangsungkan perkahwinan supaya mengadakannya mengikut adat istiadat kaum masing-masing sepenuhnya,” katanya.


Menurutnya, festival anjuran Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu dilihat dapat memberi kefahaman kepada orang ramai, khususnya kepada golongan muda mengenai adat resam sesuatu kaum.


Pihaknya dan JKKN akan merangka lebih banyak program merakyatkan seni dengan menumpukan kawasan luar bandar supaya segenap lapisan masyarakat mendapat manfaatnya.


Lebih menarik, pasangan pelakon Mustafa Kamal dan isterinya, Susan Manen diangkat sebagai ikon perkahwinan 1Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/11/28
`