Sabtu,20 September 2014

Ahmad Jais lepas P Ramlee

MINGGU ini saya turut bersedih dengan pemergian Biduan Negara, Datuk Ahmad Jais yang kembali ke rahmatullah pada pagi Selasa lalu.

Dulu saya pernah menulis bahawa Ahmad Jais adalah penyanyi Melayu yang cukup saya kagumi selepas Tan Sri P Ramlee.

Hakikat ini kerana suara Ahmad Jais sangat merdu, nyaring dengan ‘tone’ yang begitu tersendiri. Kelahiran Kapar, Klang, Ahmad Jais memulakan kerjaya seninya
di Singapura selepas menjuarai pertandingan lagu asli di pulau itu pada 1959 dan 1960. Seterusnya pada 1965, barulah muncul EP (album) pertamanya muncul.

Cerita ibu saya ketika dihubungi kelmarin, ketika lagu Ahmad Jais pertama kali muncul di radio, ramai peminat wanita jatuh cinta dan tergila-gilakan suaranya itu.

“Ia tak ubah macam Sabariah Mansor angau apabila mendengar suara dan tiupan saksofon Kassim Selamat dalam Ibu Mertuaku,” kata ibu saya sambil tertawa.
Sempat juga saya membawa ibu menonton salah satu kemunculan Ahmad Jais di Istana Budaya (IB) tidak lama dulu.

Zaman dulu mana ada YouTube. Orang kita pun bukan semuanya ada peti TV. Jadi masing-masing hanya mampu dengar suara dan melayan gambar-gambar artis dalam akhbar, majalah hiburan dan kulit album EP saja.

Kemunculan Ahmad Jais pada 1960-an menjadi satu fenomena kerna suaranya sangat lunak dalam mendendangkan lagu asli dan langgam (pop). Kucupan Azimat, Azizah, Di Ambang Sore, Bahtera Merdeka, Harapan Kecewa, Gelisah dan Lembaran Terakhir antara lagu-lagu–nya yang menjadi siulan ramai dan hari ini bertahan sebagai irama ‘evergreen’.

Kemudian aura Ahmad Jais menjadi bertambah kuat apabila dia berduet dengan Rafeah Buang. Lagu Juwitaku Sayang adalah lagu duet terbaik mereka. Paduan suara mereka sangat serasi dan hingga hari ini membuatkan saya khayal seketika mendengarnya. Lagu itu asalnya dinyanyikan oleh P Ramlee dan Lena untuk filem Melayu klasik ‘Pembalasan’ terbitan 1950.

Kemudian apabila Ahmad Jais muncul sebagai bintang undangan bersama seorang lagu pasangan duetnya, Kartina Dahari dalam filem Aksi Kucing, lagu nyanyian mereka, Budi Setahun Segunung Intan pula menjadi melodi hit.

Hari ini saya dengar ramai generasi muda menjadikan intro saksofon dalam Budi Setahun Segunung Intan sebagai nada dering untuk telefon bimbit mereka. Jelas sekali intro lagu itu sangat ‘catchy’ bagi menarik perhatian tuan punya telefon bimbit kalau mesin canggih mereka itu berbunyi.

Kata Mamat Khalid, kekagumannya terhadap Ahmad Jais tergambar dengan adanya Budi Setahun Segunung Intan dalam filemnya, Man Laksa. Namun Mamat akui sangat segan untuk melamar Ahmad Jais sendiri berlakon dalam filem itu kerana merasakan Ahmad Jais bintang yang cukup hebat untuk didekati.

Lalu tempat itu digantikan secara ‘miming’ atau ‘lipsync’ oleh bintang Akademi Fantasia (AF), pasangan Zahid dan Farah Breep Breep.

Kata Mamat lagi, lagu Gelisah nyanyian Ahmad Jais adalah lagu Melayu paling digemarinya baik dari segi melodi, susunan muzik dan seni katanya. Malah Mamat setuju apabila saya katakan Gelisah adalah lagu Melayu paling romantik!

Sebagai tanda minat lagu Gelisah, Mamat turut memilih lagu itu untuk menghiasi telemovie arahannya berjudul Mat Nor Khushairi & The Velvet Boys.

Sebenarnya saya tidak rapat sangat dengan Ahmad Jais namun sejak menjadi wartawan hiburan ada juga beberapa kali saya mewawancara penyanyi pujaan saya itu dan bertemunya dalam beberapa majlis.

Apa yang dapat saya katakan, Ahmad Jais kadangkala suka loyar buruk dan cakap ‘straight forward’. Kalau pada sesetengah orang, ia nampak semacam kasar tetapi itulah kemesraan Ahmad Jais. Biasalah orang dulu-dulu, mesranya lain. Dia memang juga berlawak dan bercerita.

Kali terakhir saya berborak dengan Ahmad Jais adalah ketika Harian Metro hendak menganjurkan Konsert Terima Kasih sempena ulang tahun ke-20 akhbar ini di Dataran Merdeka, Mac lalu. Sebelum itu saya bertemunya di IB ketika dia menjayakan Konsert Bahtera Merdeka yang memberikan saya satu kepuasan maksimum.

Pada malam konsert di Dataran Merdeka itu, Ahmad Jais duduk tersenyum menunggu giliran di sisi pentas. Dia buat pertama kalinya akan menyanyi bersama Bunckface. Saya sempat menyapa beliau, “Datuk, OK tak?” Lalu beliau menjawab: “OK, OK...”

Memang satu sejarah apabila Ahmad Jais berjaya menyanyikan lagu joget Umpan Jinak Di Air Tenang bersama vokalis kumpulan itu, Sam yang memang ‘rugged’ orangnya. Nampak satu paduan baru dan lama yang sangat unik. Memang dari awal lagi, ‘big bos’ saya, Datuk Mustafa Omar (Pak Mus) mahukan Ahmad Jais berduet seorang artis baru maka dengan itu, tercapai sudahlah impian Pak Mus.

Dengan ditonton hampir 100,000 warga kota, konsert itu meninggalkan sejarah cukup manis buat Ahmad Jais dan kami semua. Malah bagi saya itulah konsert anjuran Harian Metro dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berjaya mengumpulkan ramai penya–nyi terkenal seperti Ramli Sarip, Datuk Siti Nurhaliza, Alyah, Black, Shahir, Ella, Stacy, Adam, Johan dan Zizan.

Hari ini Ahmad Jais sudah tiada lagi di dunia. Yang tinggal hanyalah kenangan manis dan jasa beliau buat kita semua, penggemar lagu-lagu Melayu. Tuhan meminjamkan Ahmad Jais buat seketika untuk menghiburkan kita dengan suaranya itu. Al-Fatihah buat Ahmad Jais. Terima kasih kerana menghiburkan kami dengan Azizah dan Selamat Hari Raya mu -- roslenmetro@yahoo.com

Artikel ini disiarkan pada : 2011/10/14
`