Khamis,02 Oktober 2014

Ajak kanak-kanak istimewa bermain

SEMANGAT perpaduan dan kesukanan sememangnya perlu diterapkan sejak awal dalam diri generasi muda di negara ini.

Sejak di bangku prasekolah lagi, generasi muda ini mula didedahkan dengan aktiviti sukan yang membabitkan penyertaan pelbagai bangsa dan agama di Malaysia.

Bagaimanapun, aktiviti sukan ini lazimnya dianjurkan untuk kanak-kanak normal dan jarang diwujudkan khusus bagi kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) sedangkan mereka turut berhak merasai keseronokan bermain dan bersukan seperti rakan sebaya yang lain.

Kekurangan aktiviti untuk kanak-kanak OKU itu memberi ilham kepada Kelab Sukan SportsUnite untuk bekerjasama dengan Pusat Jagaan dan Insan Istimewa IMC menganjurkan karnival sukaneka unik dengan tema ‘Jom Main’ atau ‘Lets Play’ di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara (MSN), baru-baru ini.


Karnival disertai 170 peserta istimewa itu jelas membawa semangat perpaduan dan kesukanan di kalangan pelbagai kaum.


Peserta berusia antara empat hingga 26 tahun itu membabitkan tujuh pusat iaitu Pusat Jagaan dan Latihan Insan Istimewa IMC, Lutheria Cameron dan Port Dickson, Rumah Bethamy Simpang Empat (Perak), Pusat Latihan Pekerjaan Kiwanis, Pusat Kanak-Kanak Istimewa Kajang, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti - Taman Kanagapuram serta Pusat Insan Istimewa (Subang Jaya).

Seramai 90 sukarelawan dari semua pusat kanak-kanak terbabit serta pasukan perubatan dari Institut Sukan Negara bertugas bagi memastikan peserta sentiasa dalam keadaan baik dan terkawal.

Selain Kelab Sukan Sports­Unite dan Pusat Jagaan dan Insan Istimewa IMC, karnival ini turut disokong kuat MSN, Institut Sukan Negara (ISN), Milo, minuman isotonik Revive dan Figos.

Menurut Pengetua Pusat Jagaan dan Latihan Insan Istimewa IMC, Raaginee Shalesh, penganjuran karnival ini berupaya meningkatkan tahap keyakinan diri peserta.

“Selain berseronok, kanak-kanak ini turut mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi, ditambah sambutan serta sokongan menggalakkan daripada ibu bapa peserta,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Sukan SportsUnite, Datuk Dina Rizal berkata, karnival ini adalah salah satu usaha kelab yang mengutamakan keseronokan dan semangat perpaduan melalui sukan di kalangan kanak-kanak.

“Setiap kanak-kanak berhak menikmati zaman muda mereka dengan aktiviti sukan yang menyeronokkan. Berdasarkan kejayaan dan sambutan daripada karnival ini, kami merancang untuk terus mengadakan acara yang sama untuk kanak-kanak istimewa ini,” katanya.

Selepas mengharungi 10 cabaran sukaneka, Pusat Kanak-Kanak Istimewa Kajang dinobatkan juara, disusuli Pusat Bethamy Simpang Empat dan tempat ketiga
diraih Pusat Latihan Pekerjaan Kiwanis.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/10/19
`