PERAK akan menubuhkan akademi bola sepak dalam usaha memastikan negeri itu tidak ketandusan pemain berbakat bagi meneruskan kesinambungan dan kegemilangannya dalam sukan utama rakyat negara ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika mengumumkan perkara itu menegaskan, satu kawasan bersesuaian bakal dikenal pasti bagi pelaksanaan projek itu yang akan menjadi tanda mercu kejayaan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa). Justeru itu, persetujuan usahasama sudah dicapai dengan sebuah syarikat gergasi antarabangsa, Vale bagi merealisasikan impian itu.
“Memandangkan sukan bola sepak sukan utama di negara ini, kerajaan negeri berusaha melaksanakan projek pembangunan bagi memastikan mutu bola sepak Perak terus meningkat,” katanya selepas majlis memperkenalkan pemain skuad Liga Super Perak di kediamannnya, semalam.
Terdahulu, Dr Zambry berharap pemain Perak mempamer perwatakan mantap, bermain dengan penuh berdisiplin serta kesungguhan agar dapat memberi saingan sengit dalam kempen Liga M.
“Disiplin, kesungguhan serta semangat juang kental antara formula bagi menghasilkan kejayaan dalam permainan bola sepak.
“Saya harap pemain Perak mempamerkan ciri-ciri itu dalam setiap perlawanan agar dapat melakar kejayaan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, sasaran kali ini ialah untuk merangkul satu gelaran dan berharap pemain dan pengurusan pasukan berusaha menjayakan impian itu.
PUTRAJAYA: Satu lagi kematian akibat demam denggi dilapor di Selangor bagi tempoh 12 hingga 18 Feb, ...