Ahad,31 Ogos 2014

Ansuran rendah Suzuki Swift 1.5 Liter

SUZUKI Malaysia Automobile Sdn Bhd (SMA), pengedar kenderaan Suzuki di negara ini menerusi kerjasama AmBank (M) Bhd (AmBank) memperkenalkan skim pembiayaan kenderaan bagi model Suzuki Swift 1.5 Liter GX dengan bayaran bulanan serendah RM555 bagi tempoh selama sembilan tahun.

Model kereta berkenaan yang ditawarkan pada harga jauh lebih rendah kira-kira RM10,000 daripada varian Swift 1.5L GLX dan GXS adalah bukti komitmen SMA menawarkan kereta pada harga yang berpatutan tanpa berkompromi mengenai aspek keselamatan ke pasaran tempatan.


Pengarah Urusan SMA, Ibrahim Maidin berkata, pengenalan model yang disertai promosi pakej pembiayaan berakhir 30 November depan itu adalah selari dengan senario ekonomi semasa apabila kos sara hidup yang semakin meningkat berikutan kenaikan harga barang sedangkan kenderaan kini sudah menjadi satu barangan keperluan.

“Model ini yang dipasang sepenuhnya di Pekan, Pahang ini adalah lanjutan daripada model Swift sedia ada dan disasarkan sebagai kereta pertama kepada golongan muda profesional yang mahukan sebuah kereta yang memiliki ciri-ciri pemanduan serta keselamatan diperlukan,” katanya selepas majlis pelancaran varian Suzuki Swift 1.5 Liter GX di Subang, semalam.


Model Swift GX yang disasarkan jualan kira-kira 400 unit sebulan itu dipadankan dengan dua beg udara keselamatan, sistem brek anti kunci (ABS) dan pengagihan brek elektronik ditawarkan pada harga atas jalan termasuk insurans ialah RM65,888 seunit.


Sementara itu, Ibrahim berkata pihaknya akan melancarkan model baru kereta sedan Suzuki Kizashi berkuasa 2.4 Liter pada Januari tahun depan pada anggaran harga antara RM130,000 hingga RM170,000 seunit dalam usaha meningkatkan penguasaan pasaran daripada 1.2 peratus kepada 1.7 peratus tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/10/05
`