Sabtu,12 Julai 2014

Bapa bebas, balik Filipina

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

JOHOR BAHRU: Bapa kandung Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang yang dibunuh sebelum dibakar, dibebaskan daripada tahanan polis, namun akan dihantar ke negara asalnya Filipina kerana dia tiada dokumen sah yang membolehkannya tinggal di negara ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff (gambar) berkata, lelaki berusia 30-an itu dibebaskan selepas polis tiada bukti kukuh yang boleh mengaitkannya dalam kes pembunuhan kejam itu.


“Kami tahan dia (bapa kandung Dirang) hanya untuk membantu siasatan dan kini saya sahkan dia tiada kaitan dengan pembunuhan Dirang. Bagaimanapun, kami tetap akan menghantarnya pulang ke negara asalnya atas faktor tidak mempunyai dokumen sah.

“Kini sudah jelas, perbuatan kejam yang dilakukan ke atas Dirang tidak dilakukan bapa kandungnya sendiri dan orang awam diharap tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara terbabit,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam.


Menurutnya, sehingga kini, tarikh tepat ayah kandung Dirang dihantar ke negara asalnya masih belum diketahui dan akan ditetapkan selepas proses perbincangan dan siasatan Jabatan Imigresen Johor.


Sementara itu, ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, berkata, nalurinya kuat mengatakan bekas suaminya itu tidak mempunyai kaitan dengan pembunuhan Dirang.

“Memang dari mula saya sudah mengagak dia tiada kaitan dalam kes ini kerana dia datang ke sini hanya untuk membantu kami mencari Dirang.


“Saya yakin, dia tidak akan tergamak membunuh dan membakar anak sendiri kerana dia tetap ayah kandung Dirang walau apapun yang terjadi,” katanya.

Pada 1 Mac lalu, Dirang dilaporkan hilang ketika membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam di sini, sebelum disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dan dibakar.


Kematiannya disahkan melalui ujian deoxyribonucleic asid (DNA) terhadap rangka manusia yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, 8 Mac lalu, apabila ia sepadan dengan DNA ibu Dirang, Roselyn.


Ekoran kes pembunuhan kejam terbabit, polis menahan tiga suspek dan bapa kandung Dirang bagi membantu siasatan.


Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/17
`