Ahad,31 Ogos 2014

Bas jatuh gaung: Dapat liputan meluas media asing

KUALA LUMPUR: Kemalangan bas di Genting Highlands semalam mendapat liputan meluas dalam media antarabangsa, yang menyifatkannya sebagai kejadian yang menyayat hati.

Berita mengenainya disiar beberapa media dalam talian, termasuk CNN, AFP, AlJazeera, Fox News, France24, Bangkok Post, Huffington Post, Wall Street Journal, Times of India, Gulfnews dan agensi berita China Xinhua.

CNN, memetik berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dengan tajuk 'Malaysia bus crash: 37 killed in plunge into ravine', AFP pula menulis 'Foreigners among 37 dead in horrific Malaysia bus crash', dan Xinhua melaparkannya dengan tajuk 'Bus falls into ravine in Malaysia, killing 37'.

Kebanyakan media asing menggunakan foto yang menunjukkan anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membawa mangsa tragedi dengan menggunakan tali dan peralatan menyelamat seperti pengusung berbentuk bakul.


Dalam kejadian pada 2.22 petang di Km3.5 Jalan Genting Highlands itu, sebuah bas yang membawa 53 penumpang, termasuk beberapa warga asing, terjunam ke dalam gaung ketika menuruni pusat peranginan berkenaan untuk ke ibu negara.


Tragedi itu juga mendapat ulasan pelbagai pihak melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter tentang kelemahan langkah keselamatan dan tabiat buruk pemandu.

Di samping mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan mendoakan kesejahteraan mereka yang terselamat dalam kemalangan itu, ramai pengguna Facebook mencadangkan agar PUSPAKOM bersikap lebih tegas dan ketat dalam pemeriksaan kenderaan, manakala ciri jalan raya pula perlu ditingkatkan. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/22
`