Khamis,20 Februari 2014

Beli-belah di Jakarta

MEMBELI-belah di luar negara memberi kita kepuasan apabila dapat membeli dan memiliki sesuatu barang yang tidak dijual di pasaran tempatan.

Ramai ke Jakarta atau Bandung untuk mendapatkan barangan murah untuk dijual ketika Ramadhan seperti baju kebaya, telekung, kain batik serta kasut.

Aktiviti membeli-belah semakin rancak menjelang Aidilfitri apabila ibu bapa ingin membeli barangan yang lebih murah di negara jiran.

Ikuti tip yang disediakan sekiranya anda melancong ke Jakarta.


1) Tentukan jenis barang

Buat senarai barang yang ingin dicari contohnya pakaian, hiasan kayu dan buah tangan untuk rakan pejabat agar anda dapat membezakan harga barangan dengan setiap kedai.


2) Lokasi

Jika ingin membeli telekung dan busana muslimah, singgahlah ke Pasar Tanah Abang. Anda yang mencari produk pakaian wanita dan lelaki yang terbaru, bolehlah berkunjung ke Mangga Dua.

Barangan berjenama pula boleh didapati di pusat membeli-belah di kawasan Sudirman, Thamrin dan Kelapa Gading. Sekiranya anda peminat koleksi antik, singgahlah Jalan Surabaya kerana ia adalah syurga penggemar barangan antik.


3) Waktu

Jika ingin membeli-belah di pasar, datang pagi hari, contohnya Pasar Tanah Abang yang dibuka pada 8 pagi. Mungkin tidak ramai pelanggan ketika itu jadi rebutlah peluang untuk memilih barangan yang anda mahukan.

Berlainan di Pasar Senen, anda dinasihatkan datang ketika kedai hampir tutup kerana ketika itulah peniaga mula melelong barang dengan harga murah.


4) Tempat makan

Sebelum memulakan aktiviti membeli-belah, pastikan anda sudah bersarapan atau makan tengah hari.

Anda pasti memerlukan tenaga untuk tidak mudah pening, loya atau cepat penat selepas berjalan dari satu kedai ke kedai dan berasak-asak ketika membeli barang.


5) Bawa kawan/teman

Elak berjalan seorang diri ketika di luar negara melainkan anda biasa dengan keadaan di situ.

Bawalah teman atau bergerak dalam satu rombongan ketika ingin berbelanja. Peniaga di bandar akan memberi diskaun yang lebih murah jika barang dibeli secara borong.


6) Karnival jualan

Sangat menguntungkan sekiranya anda membeli barang di pusat membeli-belah ketika berlangsungnya karnival jualan kerana pesta diskaun memberi kelebihan kepada pembeli.

Antara karnival jualan yang sering mencuri tumpuan ialah jualan tengah malam yang diadakan pada akhir tahun dan pada musim cuti sekolah.

Pelancong berpeluang menikmati Jualan Hebat Jakarta yang bermula dari Jun hingga Julai setiap tahun dengan pelbagai diskaun hebat.


7) Penginapan

Jika datang ke Jakarta membeli barang, pastikan ada menginap di hotel berdekatan dengan pusat membeli-belah.

Ini dapat mengelak terperangkap dalam kesesakan jalan raya di bandar Jakarta.


8) Pameran jualan

Singgah ke Jakarta Fair pada Jun hingga Julai di Pekan Raya Jakarta, Kemayoran yang mempamerkan pelbagai barangan.

Pameran flora dan fauna pula diadakan di Lapangan Banteng manakala barangan seperti komputer, automotif hinggalah produk pelancongan pula boleh diperolehi di Jakarta Convention Center.

Ketika inilah, pelancong dan penduduk tempatan berlumba-lumba mendapatkan harga terbaik sekiranya ingin mendapatkan sesuatu barangan atau tiket penerbangan.


9) Bazar

Selain pusat membeli-belah dan pasar, anda digalakkan untuk berbelanja di bazar dan kawasan peniaga kaki lima.

Bazar seperti di ‘downtown’ atau ‘uptown’ mempunyai pelbagai barangan menarik, antik dan murah dengan harga yang boleh ditawar menawar berbanding di pusat membeli-belah.

Cuba singgah di Kemang atau ke Kota Tua Jakarta yang meriah dan berpesta dengan pelbagai barangan jualan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/06/20
`