Khamis,24 April 2014

Borak Lokasi: Cabaran filem bajet kecil

PENGARAH yang ‘meletup’ dengan filem Ombak Rindu, Osman Ali, memang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam bidang perfileman. Antara karyanya yang turut mendapat tempat di hati penonton adalah Cun!, Puaka Tebing Biru, Anak Halal dan Jiwa Taiko.

Namun selepas kejayaan Ombak Rindu, Osman akui dia berdepan dengan tekanan kerana memikirkan persepsi orang yang terlalu tinggi terhadapnya.

“Pada mulanya, saya berasa risau untuk mengarahkan filem seram ini. Namun saya tetap teruskan kerana ingin mencabar diri sendiri. Saya dapat idea buat filem ini selepas menonton banyak filem seram Hollywood termasuk yang pelik-pelik seperti karya Tim Burton selain menilai kejadian yang pernah berlaku di sekeliling kita.

“Malah pernah saya baca dalam akhbar orang membunuh kerana mendengar ada suara halus yang memintanya untuk berbuat demikian.


“Apapun, selaku pengarah, tanggungjawab dan komitmen saya untuk memberikan yang terbaik dan kini saya serahkan pada penonton untuk menilai hasilnya nanti.


“Selain itu, saya juga berdepan dengan cabaran besar kerana selalu membuat filem dengan hanya bajet sekitar RM1 juta. Bukan senang untuk kita buat filem yang bagus dan berkualiti kalau bajet rendah,” katanya.

Berkongsi pengalaman bekerjasama dengan dua aktres terbaik negara, Maya Karin dan Umie Aida, Osman berkata mereka sentiasa memberikan komitmen terbaik kepadanya.

“Saya sudah pernah bekerja dengan Maya dan Umie kami sudah faham kehendak masing-masing. Apabila dapat idea membuat cerita ini, saya sudah nampak Maya untuk bawa watak ini kerana tarikan pada bola matanya yang boleh berkata-kata.
Tidak ramai pelakon yang ada kelebihan itu kerana permainan mata Maya sangat hebat.

“Saya mahu gambarkan di sebalik wajah Jwanita yang lembut itu dia sebenarnya ada sisi gelap. Apa yang saya lihat, Maya sangat bersungguh-sungguh menjiwai watak Jwanita sehingga di set penggambaran pun dia tetap terbawa-bawa dengan karakter Jwanita.

“Saya juga pernah bekerja dengan Umie sebelum ini. Sebenarnya, mudah bekerjasama dengan pelakon yang bagus seperti mereka kerana mereka cukup serasi dalam filem ini,” kata Osman.

Ditanya babak paling susah, kata Osman, ada beberapa babak yang mencabar kredibilitinya dalam filem itu.

“Babak paling susah ialah ketika Jwanita mengorek lubang kubur untuk keluarkan mayat pembantu mangsa yang dibunuhnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/01
`