Sabtu,26 Julai 2014

Borak Lokasi: Kerenah 3 nenek, 3 cucu

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kisah tiga nenek menjaga tiga orang cucu kesayangan masing-masing dengan satu impian dan acuan yang berbeza sememangnya menarik untuk dikupas. Ketiga-tiga cucu ini pula adalah anak dara yang sedang menuntut di sebuah institut pengajian tinggi.

Inilah tarikan drama bersiri Tiga Nenek Tiga Dara arahan Jo Yusof terbitan Ardwerk Production Sdn Bhd yang terus diberi kepercayaan menghasilkan drama untuk siaran RTM.

Drama lakonan Emma Maembong, Ein Malek, Fifi Natasha, Rosnah Mat Aris, Ku Fridah dan Aripah Damanhuri ini adalah rentetan kejayaan Menantu 3 Rasa yang diminati penonton ketika disiarkan RTM sebelum ini. Bagaimanapun konsep ceritanya diolah dengan menampilkan tiga nenek iaitu Mak Chah (Rosnah Mat Aris), Mak Senah Aripah Damanhuri) dan Mak Tipah (Ku Fridah) yang membesarkan cucu masing-masing.

Mereka bertiga cuba mempengaruhi sikap cucu ini mengikut cita rasa mereka sendiri sedangkan ketiga-tiganya kini berada di usia remaja yang mempunyai impian dan cita-cita berbeza.


Baru-baru ini, RAP berpeluang meninjau penggambaran drama ini di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang menjadi lokasi utama drama ini. Ketika itu Jo selaku pengarah sedang sibuk meneliti sudut yang sesuai untuk penggambaran babak pendaftaran pelajar baru di sebuah fakulti di situ.


Nama Jo bukan baru kerana sudah terbabit dalam produksi drama dan filem sejak tahun 80-an lagi. Antara pembabitan terbesarnya ialah dalam filem Anak Sarawak, Kembara Seniman Jalanan, Puteri dan pelbagai drama. Terbaru ialah Mashitah yang sedang ditayang menerusi TV2.

Jo berkata, Tiga Nenek Tiga Dara adalah drama genre komedi situasi yang menggambarkan kerenah tiga nenek dan tiga cucu mereka. Keseluruhan jalan ceritanya adalah ceria dan berkisarkan mengenai kehidupan remaja. Bagaimanapun ia tetap mempunyai mesej tersendiri.

“Ketiga-tiga pemegang watak nenek ini memang dikenali dengan kehebatan lakonan mereka. Manakala peranan cucu pula dipikul oleh Emma Maembong sebagai Suhaila, Erin Malek (Suhana) dan Fifi Natasha (Suhaini).

“Mereka amat rapat dan sayang dengan ketiga-tiga nenek mereka, tetapi lebih fokus dan cenderung kepada seorang nenek. Jadi, pelbagai ragam dan peristiwa berlaku pada hari itu.

“Walaupun membabitkan ramai pelakon termasuk pelakon tambahan, penggambaran berjalan lancar kerana semuanya tahu tugas masing-masing. Saya pun dah faham karakter setiap pelakon dan tak susah nak bentuk lakonan mereka,” katanya.

Pasukannya juga mendapat kerjasama sepenuhnya dari UTM sekali gus memudahkan penggambaran yang memakan masa selama 45 hari ini. Lokasi lain ialah sekitar ibu kota dan Subang.

Sebagai pengarah berpengalaman, Jo mengambil pendekatan memenangi hati setiap pelakon untuk mendapatkan hasil terbaik. Baginya, pelakon lama dan pelakon baru mempunyai perangai masing-masing.

“Saya ada cara untuk memenangi hati pelakon lama. Sementara pelakon baru terutamanya remaja pula perlu pendekatan yang lebih mudah. Namun ia bukan sampai memanjakan kerana layanan yang perlu diberikan sama sahaja. Tiada yang lebih dan tiada yang kurang.

“Bagaimanapun untuk cerita konsep begini, saya lebih suka wujudkan suasana ceria di set. Saya sendiri perlu nampak ceria kerana kalau muka nampak serius susah pula nak bekerja. Malah, saya pernah ditegur oleh pelakon kerana muka nampak ‘ketat’. Inilah yang perlu dielakkan.

“Alhamdulillah dari awal penggambaran hingga akhir, saya tak berdepan dengan masalah besar. Kesemua mereka bersungguh-sungguh memberikan lakonan terbaik masing-masing,” katanya.

Tidak dinafikan penampilan Emma Maembong yang semakin meningkat, memberi kelebihan buat drama ini. Mengulas perkara ini, Jo menganggap Emma bertuah kerana cepat mengecapi nikmat populariti dalam kariernya.

“Dia bertuah kerana mempunyai pakej iaitu rupa dan bakat yang seiring. Ini semua adalah rezeki dan dia perlu membuktikan kepercayaan yang diberikan oleh semua dengan memberikan lakonan terbaik. Tiada siapa yang perlu cemburu dengan kejayaan yang dikecapinya sekarang,” katanya.


SINOSPIS

Tiga Nenek Tiga Dara mengisahkan Suhaila, gadis berusia 20 tahun yang menuntut di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam jurusan Undang-undang dan amat rapat dengan Mak Chah. Namun, perwatakan serta gaya penampilannya dikawal Mak Chah yang mahukan cucu kesayangannya itu menjadi seorang penyanyi dan model.

Namun, apa yang diharapkan Mak Chah itu berbeza dengan Suhaila yang dilihat lebih tertib dan bersuara merdu apabila mengaji al-Quran. Tingkah lakunya memang bercanggah dengan apa yang diinginkan Mak Chah.

Suhana yang menuntut di IPTS sama dalam bidang Kejuruteraan Bunyi pula bersikap agresif dan amat meminati muzik. Dia amat meminati aktiviti lasak serta bermain muzik bersama rakan-rakannya di studio dan berpakaian ala lelaki.

Suhana disayangi Mak Tipah yang menyimpan impian untuk menjadikan Suhana seorang chef terkenal. Namun, Suhana amat tidak menyenangi perkara itu kerana tidak sesuai dengan penampilannya.

Sementara itu, Suhani yang turut menuntut di IPTS sama dalam jurusan perniagaan menjadi cucu kesayangan Mak Senah. Dia seorang yang suka bergaya dan pandai menyanyi, namun Mak Senah mendidiknya supaya Suhani menjadi seorang ustazah. Namun, Suhani bercita-cita memiliki perniagaan butik.

Perwatakan ketiga-tiga mereka yang berbeza dengan apa yang diinginkan nenek masing-masing mencetus konflik antara mereka. Namun, apa yang menarik ketiga-tiga cucu mereka itu amat akrab dan sering berkongsi segala kisah suka duka bersama di samping tinggal bersama ketiga-tiga nenek yang amat mereka sayangi.


PROFIL PRODUKSI:

JUDUL: Tiga Nenek Tiga Dara
PENERBIT EKSEKUTIF: Shaharudin Thamby
PENERBIT: Ardwerk Production Sdn Bhd
IDEA ASAL & SKRIP: Tok Uban
PENGARAH: Jo Yusof
PENGURUS PRODUKSI: Kam Abg Manap
PENOLONG PENGARAH: Sime Gridgette Zelle
JURUKAMERA: Fahizal Abdullah
PEMBANTU JURUKAMERA: Mohd Ridzuan Yahya
KESINAMBUNGAN: Mohd Saiful Nizam
SOLEKAN: Nurul Adhwa
PENGARAH SENI: Mohd Faiz Yahya
PEMBANTU PENGARAH SENI: Khairul Anuar
RUNNER: Mohd Hasfarizal Abu Hassan
HANDYMAN: Abd Rahman Abd Bakhil
PENATA CAHAYA: Asri Kamarudin
PEMBANTU PENATA CAHAYA: Arshad Jalil
AUDIOMAN: Mohd Ikliluddin Rasdi
BOOM: Muhammad Azril Ayyob

PELAKON:

  • Emma Maembong (Suhaila)
  • Erin Malek (Suhana)
  • Fifi Natasha (Suhaini)
  • Rosnah Mat Aris (Mak Chah)
  • Ku Fridah (Mak Tipah)
  • Aripah Damanhuri (Mak Senah)
  • Kay Khaydir (Hakimi)
  • Zakri Pilih Kasih 3 (Azrai)
  • Jack Hafiz (Fitri)
  • Norisz Ismail (Farah)
  • Aman Nasim (Hafiz)
  • Boy Iman (En Daud)

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20
  • `