Khamis,21 Ogos 2014

Borak Lokasi: Nongkrong bukan sambungan Ngangkung

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

FILEM Ngangkung yang menempa sejarah sebagai filem pecah panggung, banyak berlatar suasana malam bagi disesuaikan dengan ceritanya yang mengisahkan kegilaan terhadap pemujaan nombor ekor.

Tidak menghairankan apabila filem Nongkrong berkonsep sama seperti Ngangkung juga, banyak merakamkan waktu malam sebagai latarnya kerana masih menampilkan topik pemujaan nombor ekor.

Sekali lagi, Ismail Bob Hasim tampil dengan genre komedi seram menerusi filem ketujuh arahannya yang menjalani penggambaran di pinggir hutan sebuah kampung di Sijangkang, Selangor.

Dibawa meninjau ke lokasi filem terbitan Metrowealth Pictures (MIG) ini sekitar jam 10 malam, dapat disaksikan kegigihan tenaga kerja filem ini yang bertungkus lumus menyediakan set serta pelbagai kerja lain sebelum penggambaran sebenar dijalankan.


Jika Ngangkung dijayakan Shaheizy Sam, Angah Raja Lawak dan Azad Jazimin, Nongkrong juga diterajui tiga pelakon lelaki tetapi kali ini ada perubahan apabila Sam dan Angan mendapat rakan baru, Epy Raja Lawak.


Tiga pelakon utama ini bersama pelakon lainnya, gigih menghayati serta melakonkan watak mereka biarpun berlarutan hingga awal pagi. Tidak nampak kepenatan di wajah mereka biarpun terpaksa mengulangi sesuatu babak berkali-kali bagi mendapatkan hasil yang terbaik.

Kata Ismail, Nongkrong bukanlah kesinambungan cerita Ngangkung sebaliknya konsep pemujaan nombor ekor nampak seakan sama. Sambutan yang baik terhadap cerita begini membuatkan MIG tampil sekali lagi mengutarakan topik yang sama.

“Cerita hantu memang sudah berlambak di pasaran, tapi isu nombor ekor seakan baru dalam filem. Disebabkan konsep cerita ini, penggambarannya banyak dilakukan waktu malam. Cabarannya berbeza daripada siang kerana kami perlu banyak sediakan lighting yang sesuai.

“40 peratus penggambaran juga perlu dibuat ‘mock up’ untuk tempat pemujaan. Kru saya bersedia sehari suntuk untuk siapkan apa yang dikehendaki. Penggambaran biasanya bermula dari jam 6 petang hingga awal pagi esoknya. Memang semua bekerja keras demi menyiapkan filem ini sebagai sebuah filem yang terbaik.

“Tak dinafikan, penggambaran waktu malam sangat berisiko terutamanya berkaitan keselamatan pelakon yang berdepan serangan haiwan berbisa serta perkara lain.
Bagaimanapun sebelum penggambaran bermula, kru saya akan tinjau dulu lokasi bagi memastikan ia selamat. Ada ustaz yang membantu kelancaran penggambaran.

“Saya juga senang panggil orang kampung yang mahir kawasan itu untuk membantu.
Dia pesan kepada kami supaya sentiasa jaga tingkah laku dan percakapan, jangan buat sepah serta jangan buat benda tak elok. Kadangkala kami tak sedar apa yang dibuat. Tapi alhamdulillah penggambaran berjalan lancar tanpa masalah besar,” katanya.

Bob mengakui, awalnya Epy kelihatan sukar menyesuaikan diri namun lama kelamaan dapat membentuk keserasian dengan Sam dan Angah, seterusnya dapat memberikan lakonan memuaskan hatinya.

“Epy sememangnya baru tapi saya puas hati dengan komitmen yang diberikan. Dia tak jemu belajar memperbaiki lakonannya. Saya nampak dia boleh berjaya sekiranya terus diberi peluang,” katanya.

Mengambil pendekatan yang mudah, Ismail menambah kerja kamera untuk filem ini juga seperti biasa tanpa banyak eksperimen. Bagaimanapun, mereka tetap memasukkan sedikit kesan janaan komputer dalam satu adegan.

“Saya pilih konsep penceritaan yang ringkas tanpa mahu memeningkan kepala penonton. Matlamat mereka ialah nak datang berhibur. Filem ini sangat santai dan sesuai ditonton seisi keluarga, sama seperti Ngangkung,” katanya.

Nongkrong mengisahkan tiga pemuda, Aman (Angah), Bada (Sam) dan Cumi (Epy) yang cuba mencari kekayaan dengan menggunakan jalan yang tidak sepatutnya iaitu meminta nombor ekor.

Cumi terdesak ingin meminang kekasihnya, Lin (Nuremy) manakala Bada dan Aman yang mahu mengubah nasib keluarga, tekad menemui bomoh bagi melaksanakan hasrat mereka.

Segala-galanya bermula apabila seorang bomoh handal menjalankan upacara memanggil puteri laut untuk membantu mereka. Puteri bersetuju dengan syarat, salah seorang daripada mereka bertiga iaitu Bada perlu berkahwin dengannya.
Melihatkan kejelitaan Puteri, Bada tanpa bertangguh terus bersetuju.

Usai sahaja upacara perkahwinan, Puteri bertukar rupa menjadi hantu yang menakutkan menyebabkan semua mereka lari lintang pukang. Bomoh pula dibunuh oleh hantu Puteri.

Hidup mereka berubah apabila hantu Puteri terus mengejar dan menghantui kehidupan mereka termasuklah mengganggu Zura (Siti Aziz), isteri Aman yang sedang hamil dan Haryani, anak perempuan Bada yang masih kecil.



INFO:

FILEM: Nongkrong
TERBITAN: Metrowealth Pictures (MIG).
PENERBIT: David Teo
PENGARAH: Ismail Bob Hasim
PENOLONG PENGARAH 1: Eoon Shuhaini
PENOLONG PENGARAH 2: Herdawati
PENGARAH FOTOGRAFI: Ridwan (Dekwan)
SKRIP: Panel MIG & Shariman
KONTI: Wan Natasya Aida Rosli
PENGARAH SENI: Anuar John Paharudin
SOLEKAN: Shahrul Nisa Bin Mat Rus
SOLEKAN: Mustapa Midak
THE MAKING OF: Mohd Ikhram Izzazuddin Zainuddin (Atom)
STILL PHOTO: Hairi
PENYELARAS PRODUKSI: Azahari Abdul Hamid
PENYELARAS LOKASI: Mohd Azaromi Mohd Ghazali
KOORDINATOR: Shahrul Anuar Ibrahim
RUNNER: Muhammad Abu Baihaqi Barsir
PEMBANTU PRODUKSI: Hasri b. Hashim/Mohd. Helmie Reeza Zolkefly/Aziz Azizan

PELAKON: Shaheizy Sam, Angah Raja Lawak, Epy Raja Lawak, Mon Ryanti, Fyza Kadir dan Nuremy

Artikel ini disiarkan pada : 2011/11/16
`