Khamis,24 Julai 2014

Buku cerita saiz besar lebih menarik

Oleh Siti Zarinah Sahib

KE mana perginya lebah? Ke sarang lebah. Ke mana perginya rama-rama? Hisap madu dari bunga. Ke mana perginya kucing? Pergi mengejar tikus. Ke mana perginya tikus? Masuk ke dalam lubang. Ke mana perginya Alia? Alia sudah letih Alia hendak tidur.

Ayat-ayat di atas pastinya mengundang tarikan kepada kanak-kanak yang baru belajar membaca atau mengenal huruf.

Ini kerana penggunaan ayat yang ringkas serta berulang-ulang menjadikannya menarik untuk dibaca.

Pada masa sama, jika diberikan sebuah buku cerita berukuran biasa, kecil dan comel manakala sebuah lagi berukuran kertas A3 dengan ilustrasi gambar yang menarik serta teks yang sangat ringkas dan padat, mana satu pilihan anda?

Foto

NANI...terpanggil menulis kerana ingin hasilkan bahan bacaan bermutu.

Foto

BUKU BESAR...Nani menghasilkan buku besar dengan ilustrasi menarik kerana ingin menarik minat kanak-kanak membaca.


Bagi kanak-kanak terutama peringkat prasekolah pasti memilih buku cerita berukuran besar kerana tertarik dengan­ gambar berwarna-warni serta ilustrasi yang menarik. Malah, buku ini menjadi daya tarikan sebagai permulaan merangsang minat membaca di kalangan anak-anak.


Namun tanggungjawab ibu bapa belum terlepas sepenuh­nya hanya dengan menyediakan bahan bacaan saja. Ibu bapa harus bersama anak-anak menyertai aktiviti membaca atau membacakan buku cerita kepada mereka pada setiap malam bagi merangsang tahap pemikiran kritis mereka.

Menurut penulis buku kanak-kanak yang juga Penyelaras Makmal Prasekolah Fakulti Ekologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Nani Menon, buku cerita bergambar bersaiz besar lebih memberi kepuasan kepada kanak-kanak, sekali gus menarik minat membaca.

Menurutnya, tanpa teks yang banyak, gambar sudah boleh menceritakan segala-galanya.

Malah, menerusi gambar kanak-kanak akan saling memberikan jawapan berbeza ke atas setiap ilustrasi yang dilihat mereka.

“Di Malaysia buku berbahasa Melayu berukuran besar tidak banyak di pasaran, yang ada buku cerita dari Barat dan dijual pada harga yang mahal.

“Justeru, ini menjadi titik permulaan saya menghasilkan buku berukuran besar, selain menyediakan alat bantuan mengajar kepada guru tadika di Malaysia,” katanya yang turut mengajar kelas prasekolah untuk kanak-kanak berusia lima dan enam tahun di UPM.

Menurut Nina, buku besar lebih praktikal dan sesuai digunakan dalam pengajaran di sekolah kerana kanak-kanak lebih mudah membaca dan senang untuk difahami.

“Cuba bayangkan di dalam satu kelas terdapat 25 murid, sudah tentu ini mengehadkan tumpuan mata mereka sekiranya guru menggunakan buku berukuran biasa. Berbeza de­ngan buku besar kerana semua kanak-kanak boleh melihatnya dengan jelas,” katanya yang menggunakan nama samaran Alia Nina iaitu gabungan nama anak-anak dan suaminya.

Selain memberi tumpuan pada gambar dan teks, keba­nyakan buku kanak-kanak yang dihasilkan Nina berbentuk persoalan serta konsep tertentu.

Misalnya buku bersiri Permata Hatiku seperti Jangan Takut, Di Mana Ibu Saya?, Baju Cantik, Apa Yang Bergerak? dan Cuba Buat Sendiri adalah karya terbaru Nina yang diterbitkan PTS Profesional Publishing Sdn Bhd diterjemahkan dalam bentuk persoalan.

Ada juga yang disertakan konsep Sains dan Matematik menerusi pengiraan dan ukuran serta nilai murni seperti hubungan dengan kawan dan ibu bapa.

“Kanak-kanak sifatnya suka bertanya. Oleh itu, setiap hari ada saja persoalan dalam fikiran mereka seperti apa, mengapa, bagaimana dan siapa.

“Bagi setiap persoalan, kanak-kanak berupaya mencari jawapan sendiri yang akan merangsang pemikiran kanak-kanak menerusi teknik pemikiran kreatif dan kritis,” katanya.

Menurutnya, apa yang disampaikan menerusi teks hanya sebagai panduan saja kerana kanak-kanak menjawab soalan berdasarkan pengalaman mereka seharian.

Misalnya Nani yang menyambung pengajian dalam bidang sarjana memberitahu, berdasarkan kajian yang dijalankan terhadap kanak-kanak prasekolah di bandar dan luar bandar, terdapat perbezaan yang jelas kepada setiap jawapan yang diberikan mereka.

“Kanak-kanak di luar bandar akan memberikan jawapan atas apa yang dilihat mereka misal­nya haiwan yang pernah dilihat seperti lembu, kerbau, ayam, itik, bukit, sawah atau ladang.

“Berbeza dengan kanak-kanak di bandar, jawapan mereka tidak sama dengan kanak-kanak di luar bandar,” katanya.

Berdasarkan pengalamannya sebagai penulis buku, ramai ibu bapa takut membelikan buku besar untuk anak-anak kerana bimbang akan dikoyakkan mereka.

Dalam hal ini, ibu bapa harus mendidik anak mereka sejak kecil supaya menghargai buku dan tidak menganggapnya sebagai barang permainan.

“Sejak kecil anak-anak harus diajar bagaimana menjaga buku, apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan.

“Bagi ibu bapa pula, beli bahan bacaan sesuai untuk anak-anak selain, membentuk minat membaca ketika anak masih kecil lagi.

“Mungkin ibu bapa boleh membelikan hadiah buku pada ulang tahun hari lahir mereka serta memastikan buku tersenarai sebagai barang utama ketika ibu bapa membeli barang dapur,” kata Nina yang sedang menjalani program Permata Negara untuk Unit Program Latihan Pendidik Permata Negara.

Tambahnya, anak-anak yang didedahkan dengan bahan bacaan secara rutin dan membacakan buku pada setiap malam sebelum tidur akan menarik minat anak-anak membaca. Lama-kelamaan perkara ini akan menjadi amalan yang wajib dilakukan sepanjang masa secara sukarela.

Nina yang memulakan kerjaya sebagai penulis buku kanak-kanak sejak 2003, setakat ini sudah menghasilkan lebih 10 buku yang menjadi rujukan guru prasekolah serta taska di seluruh negara.

Minatnya terbentuk setelah mendapat semangat daripada penulis terkenal, Ainon Rahmat yang mengatakan kebimba­ngannya terhadap kekurangan bahan bacaan bermutu yang ada di Malaysia.

“Saya terpanggil untuk menulis buku kanak-kanak disebab­kan ingin menghasilkan bahan bacaan bermutu, ditambah pula bidang saya berkaitan kanak-kanak.

“Justeru, saya berharap penghasilan buku ­bermutu ini mampu menarik minat membaca pada awal usia seperti kanak-kanak di United Kingdom yang menjadikan membaca sebagai aktiviti utama mereka,” kata Nina yang ­menjadikan buku berbahasa Inggeris yang menerima ­anugerah sebagai rujukan utamanya.

Lima buku besar Permata Hatiku boleh didapati di semua kedai buku seluruh negara pada harga RM16 untuk Semenanjung Malaysia manakala Sabah dan Sarawak berharga RM18.

Panduan memilih buku:

  • Pilih buku berdasarkan isi kandungannya. Misalnya buku Matematik bukan hanya nombor saja, tetapi mengenai ruang, ukuran, pembahagian sedikit atau banyak. Penyampaian dalam bentuk cerita adalah lebih berkesan.

  • Buku haruslah mengandungi nilai murni seperti sifat bekerjasama, berkongsi, tanggungjawab serta menghargai alam sekitar.

  • Ayat digunakan dapat meningkatkan perbendaharaan kata anak-anak.

  • Untuk kanak-kanak prasekolah, cari buku yang mempunyai perkataan dan muka surat sedikit serta disampaikan secara berulang-ulang.

    Misalnya untuk kanak-kanak prasekolah sebaiknya pilih daripada 14 sehingga 16 muka surat saja manakala sekolah rendah 32 muka surat. Ini bagi mengelak kanak-kanak hilang tumpuan kepada pembacaan mereka, selain mengekalkan minat membaca.

  • Untuk bayi, cari buku yang senang dibasuh dan tidak mudah rosak seperti buku berbentuk kain, kemudian apabila mereka sudah faham konsep tidak merosakkan buku barulah tukar kepada buku berkulit keras.

  • Untuk kanak-kanak prasekolah, buku cerita lebih berkesan bagi membentuk pemikiran kritis mereka berbanding buku latihan seperti mewarna atau pengiraan.

    Artikel ini disiarkan pada : 2010/12/01
  • `