Rabu,30 Julai 2014

Cabaran pertahanan

Oleh Mohd Sabran Md Sani

KUALA LUMPUR: Sistem pertahanan dan keselamatan sesebuah negara berdaulat banyak bergantung kepada keupayaannya melindungi diri selain dipengaruhi rantaian dalam hubungan diplomatik, perjanjian perdagangan serta kerjasama bidang pertahanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha mempertahan dan menjaga keselamatan negara menjadi cabaran utama dalam era globalisasi terutama bagi menjamin kedaulatan, keutuhan wilayah dan kesejahteraan ekonomi negara.


“Rangkaian dibina atas hubungan diplomatik, perjanjian perdagangan dan kerjasama pertahanan membolehkan sesebuah negara berdaulat mendapat bantuan daripada rakan strategik dalam tempoh diperlukan.

“Boleh dikatakan perspektif keselamatan Malaysia banyak dipengaruhi geografi, realiti politik, ketenteraan dan ekonomi rantau ini selain lokasinya yang strategik di Asia Tenggara,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Putrajaya 2012 bertema ‘Meningkatkan Multilateralism Untuk Pertahanan dan Keselamatan Serantau’ sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.


Terdahulu, Ahmad Zahid mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meluangkan masa dua jam mengunjungi tapak pameran DSA yang disertai pelbagai negara dan syarikat industri pertahanan.

Antara ruang pameran dilawati Najib termasuk syarikat menghasilkan peralatan ketenteraan dari Afrika Selatan dan Turki selain diberikan penerangan mengenai peralatan pertahanan dihasilkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/18
`