Khamis,31 Julai 2014

Cara pasang penyangkut langsir

Oleh Hartini Mohd Nawi

BERADA di ruang kediaman yang mempunyai persekitaran selesa, kemas dan bersih sememangnya memberikan perlambangan gaya hidup pemiliknya.

Apatah lagi penataan kediaman dilengkapi dekorasi yang kelihatan eksklusif, bersifat dwifungsi dan praktikal digunakan.

Penggunaan penyangkut langsir umpamanya, bukan sekadar tampil sebagai pelengkap langsir di pintu atau tingkap semata-mata.

Kehadirannya yang sesuai sebagai elemen hiasan yang boleh diguna pakai dalam pelbagai tujuan atau hiasan sudah memadai.

Foto

UNIK...ukiran menarik selari kegunaan.

Foto

TAHAN LASAK...material berkualiti jadi keutamaan.

Foto

KREATIF...rekaan menarik selari cita rasa.


H & A Crafts yang terkenal dalam menawarkan perabot eksklusif dan hiasan dalaman kini turut menampilkan pelbagai pilihan penyangkut langsir selari konsep dekorasi.


Pemiliknya, Halina Talib berkata, kepelbagaian produk berkenaan bertujuan memberi pilihan kepada pelanggan untuk menghias kediaman mengikut kreativiti sesuai idea penataan.

“Menghias rumah tidak bermakna perlu membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk mendapatkan aksesori hiasan mahal.

“Jika kreatif, produk hiasan murah khususnya penyangkut langsir juga boleh kelihatan cantik.

“Paling penting anda bijak memilih dan reka letak aksesori hiasan itu juga perlu diberi perhatian utama supaya sesuai dengan langsir atau kemasan lain di setiap ruang,” katanya.

Kini, penyangkut langsir semakin digemari kebanyakan pemilik kediaman kerana reka bentuknya menarik di samping membolehkan langsir disangkut dalam pelbagai gaya.

Halina berkata, penyangkut langsir yang bermotifkan bunga-bungaan antara yang popular kerana menampilkan karakter atau seni ukiran menarik.

“Penyangkut langsir motif berkenaan kian digemari kerana mudah disesuaikan dengan semua konsep dekorasi, selain dihasilkan daripada material berkualiti dan tahan lasak.

“Menariknya produk berkenaan sesuai sebagai peleng­kap aksesori hiasan atau dimanfaatkan sebagai penyangkut pelbagai guna,” kata Halina.

Pilihan penyangkut sesuai juga menzahirkan penataan berbeza pada langsir di setiap pintu atau langsir kediaman.

Penggunaannya juga menyerlahkan daya kreativiti dalam menggayakan ikatan langsir berlainan jika bosan dengan suasana biasa.

Bagaimanapun, ramai yang membatalkan hasrat untuk memasang penyangkut langsir pada tingkap atau pintu bilik.

Ini kerana memikirkan ia adalah sesuatu yang menyukarkan dan perlu mengupah tukang untuk melakukannya.

Penggunaan alat gerudi yang sesuai untuk pemasangan pe­nyangkut langsir penting bagi membolehkan ia dilakukan sendiri.

Maklumat lanjut, anda boleh mengunjungi H & A Crafts di No 7A, 9 & 9A, Jalan SG 3/14, Pusat Bandar Sri Gombak, Batu Caves, Selangor.

> Berikut kaedah pemasangan penyangkut langsir:

  • Sediakan kelengkapan seperti gerudi tukul, skru, plug dinding, tukul dan alat mengukur lurus.

  • Tentukan di mana hendak dipasang dan ketinggiannya.

  • Pilih mata gerudi yang sama besar dengan plug dinding.

  • Gerudi lubang di tempat yang sudah ditentukan menggunakan gerudi tukul.

  • Masukkan plug dinding.

  • Skrukan alat penyangkut langsir.

  • Gunakan alat mengukur lurus dan lakukan kaedah sama di bahagian satu lagi.

    Artikel ini disiarkan pada : 2010/12/10
  • `