Rabu,03 September 2014

Cerita raya korban 3 superstar

Oleh Norhayati Nordin

SEBAIK laungan takbir bergema, itu menandakan Aidiladha 1431 H dirai. Justeru, kira-kira 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia kini berkumpul di Tanah Suci Makkah mengerjakan haji. Apapun, tidak semua manusia bertuah melaksanakan rukun Islam kelima itu.

Hanya insan terpilih dan mendapat seruan yang berpeluang merasai pengalamannya. Oleh itu, pastinya ketenangan jiwa dirasai tatkala kalimah keramat memuji Tuhan tidak putus-putus dizahirkan. Bahkan, di kala itu juga diri terasa dekat dengan-Nya.

Sehubungan itu, sempena meraikan Aidiladha yang mulia ini, tiga artis popular tanah air iaitu Fazira Wan Chek atau Erra Fazira, Fahrin Ahmad dan Lisa Surihani Mohamed berkongsi pengertian Aidiladha mereka selain hasrat untuk mengerjakan haji pada usia muda.

Foto

Foto

PRIMADONA FILEM...Erra (kiri) anggap Lisa ada bakat dan pakej.

Fahrin teringin ke Makkah bersama isteri

EMPAT kali melakukan umrah, Fahrin menyimpan impian mengerjakan haji selepas dia mendirikan rumah tangga. Katanya ia perkara pertama akan lakukan sebaik hajat membina keluarga dimakbulkan Tuhan. Katanya dia mahu buat haji bersama isteri.
“Tak tahulah bila jodoh saya akan sampai. Apapun, saya merayu kepada media supaya tiada lagi kisah berkaitan peribadi diperkatakan. Cukuplah, dengan apa yang ditulis sebelum ini kerana saya menginginkan perjalanan jodoh yang lancar.

“Tiada lagi spekulasi, malah kisah dengan siapa saya berkawan. Jujurnya, saya tidak mahu lagi diri dikaitkan dengan gosip peribadi walaupun ia adalah lumrah kehidupan seorang artis. Sebagai manusia biasa, saya mengharapkan diberi ruang untuk itu,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Fahrin berkata dia kini dalam proses menukar karier demi jaminan masa depannya. Ujarnya dia merancang untuk terbabit dalam bidang perniagaan dan jika tiada aral, ia akan diumum tidak lama lagi.

“Sama ada hujung tahun ini atau awal tahun depan, saya akan mengumumkannya. Ditambah lagi, pada usia yang kini sudah mencecah 30-an, sudah sampai masanya saya merancang karier baru. Lagipun, selama menjadi artis terlalu banyak menyakitkan hati.

“Begitu juga dengan harga pengorbanan yang tinggi perlu saya bayar. Jadi, sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya perlahankan sedikit aktiviti seni,” katanya kini terbabit menjayakan drama Dia Bukan Maria arahan sutradara hebat, Erma Fatima.

Menyentuh soal kerinduannya terhadap Tanah Suci, Fahrin berkata dia mahu memandang Kaabah dan berdoa di hadapannya. Kata Fahrin, jiwa dan perasaan sangat tenang sepanjang beribadat kerana segala urusan duniawi dilupakan.

Bagaimanapun, Fahrin sangat bersyukur dapat mengerjakan umrah 10 hari sebelum kedatangan Aidilfitri lalu dan turut meraikannya di Tanah Suci. Kini, Fahrin turut memaklumkan dia mempersiapkan diri untuk mengerjakan haji pula sementara masih muda dan bertenaga.


Erra sudah daftar untuk tunaikan haji

ERRA yang sudah beberapa kali menjejakkan kaki di Tanah Suci mengerjakan umrah, tidak berselindung memberitahu dia sudah pun mendaftar untuk haji. Bagaimanapun, kini dia perlu menunggu giliran.

“Selain merindui Kaabah, saya juga rindu pada perasaan yang tenang dan damai. Terutama apabila sepenuh masa terisi dengan ibadat dan berdoa kepada-Nya. Jadi, jiwa sangat tenang dan kesepian amat dirasai sepanjang bertawakal.

“Perasaan seperti itu memang tak pernah dirasakan di rumah. Oleh itu, saya sangat berharap ketika usia masih muda ini dapat mengerjakan haji. Itu doa saya dan semoga ia dimakbulkan suatu hari nanti,” kata pelakon yang pernah mendapat jolokan Primadona Filem Melayu ini.

Ditanya mengenai sambutannya, Erra berkata dia dan keluarga meraikan Aidiladha secara sederhana dengan berkumpul bersama. Malah, tak ketinggalan melakukan ibadah korban.

Menyentuh soal kariernya, Erra berkata dia kini selesa kerana masa lebih ditumpukan kepada keluarga. Ujarnya, walaupun sudah tidak sesibuk dulu, tetapi Erra bersyukur kerjaya seninya masih berjalan lancar. Bagi Erra, keluarga adalah keutamaan.

“Pada usia sekarang, saya memang menitik beratkan kebahagiaan keluarga. Bahkan, saya juga dalam perancangan menubuhkan kelab seni untuk ibu bapa dan anak. Penubuhan kelab ini untuk memberi ruang kepada seisi keluarga menceburi seni.

“Menerusi kelab ini, anak-anak didedahkan dengan aktiviti seni seperti mewarna dan ibu bapa pula menjurus kepada kraftangan,” katanya memaklumkan sanggup menunggu dua atau tiga tahun untuk berlakon filem semula demi watak yang sesuai.

Menyentuh soal Lisa yang kini dilabel sebagai ‘primadona filem Melayu’ yang terbaru menggantikannya, Erra berkata dia sendiri tidak tahu siapa sebenarnya yang memberikan gelaran itu. Ujarnya dalam soal ini sesiapa saja boleh melabelkan seseorang pelakon.

“Sebagai artis, saya melayan saja setiap gelaran diberikan itu selagi ia tidak mengaibkan. Apapun, saya melihat Lisa sebagai pelakon yang berbakat kerana dia berjaya merealisasikan setiap watak dengan baik. Bagi saya, sekarang adalah rezeki Lisa.

“Ditambah pakej lengkap yang ada pada dirinya seperti cantik dan berbakat, ia juga tuah buat Lisa. Jadi, saya rasa Lisa pelakon yang baik. Berbanding pada kemunculan saya dulu, watak yang diterima tak banyak beza dan hampir sama saja,” katanya.

Turut menjadi penasihat dalam program Mari Menari terbitan Astro, Erra berkata jadualnya kini sangat padat. Bahkan, dia sangat berpuas hati dengan komitmen diberikan peserta. Katanya peserta bersaing secara sihat dan mereka cukup bersemangat.


Lisa idam buat umrah

BERBICARA mengenai haji, Lisa berkata dia masih belum berpeluang menjejakkan kaki di Tanah Suci. Katanya dia memang menyimpan impian untuk mengerjakan umrah lebih dulu sebelum haji. Ujar Lisa, barangkali seruan untuknya belum sampai.

“Mengikut kata orang tua dulu, untuk ke Tanah Suci ini bersandarkan seruan. Jadi, mungkin seruan untuk saya mengerjakan rukun Islam kelima ini belum menjelma. Apapun, saya harap dapat mengerjakan haji pada usia muda kerana masih kuat.

“Mendengar cerita ibu dan arwah bapa yang pernah mengerjakan haji, saya memang teringin sangat untuk ke Tanah Suci. Saya ingin merasai ketenangan dan kedamaian mereka beribadat kepada Allah. Saya juga ingin menjadi tetamu Allah suatu hari nanti,” katanya.

Ditanya mengenai sambutan Aidiladha tahun ini, Lisa berkata dia sekeluarga meraikannya secara sederhana. Katanya seperti biasa, dia juga melakukan ibadah korban.

Baru dua tahun aktif sebagai pelakon, Lisa Surihani sudah membintangi tujuh filem. Bahkan, baru-baru ini dia meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) yang sekali gus meletakkan dirinya sebagai primadona filem Melayu alaf baru.

Ditanya mengenai gelaran itu, Lisa nyata tersentak dan memaklumkan dia masih terlalu baru dalam industri seni tanah air. Katanya banyak teknik lakonan perlu dipelajarinya untuk menjadi pelakon yang baik. Bahkan, mampu berlakon dengan berkesan.

“Siapa saya untuk dianggap sebagai primadona. Bagi saya, gelaran itu masih terlalu awal untuk digalas kerana banyak yang perlu diperbaiki dalam lakonan. Apapun, jika itulah yang diberikan peminat, saya menerima dengan perasaan rendah diri.

“Saya menghargainya sebagai anak seni. Bagaimanapun, saya tidak pernah tahu diri ini sudah layak untuk menerima gelaran primadona itu. ­Semuanya daripada peminat dan penonton yang menilai lakonan saya. Namun, saya sendiri tak anggap diri primadona.

“Gelaran itu terlalu besar bagi saya,” katanya yang kini sibuk menjayakan ­penggambaran drama bersiri Jangan Pandang Belakang Congkak untuk Astro Warna (saluran 132). Malah, dalam masa sama turut menjadi pengacara program Mari Menari di Astro Ria (saluran 104), setiap Sabtu, jam 9 malam.


Penghargaan:
Busana Erra - Rizman Ruzaini Creations (017 476 6004)
Busana Lisa - Innai Batik

Artikel ini disiarkan pada : 2010/11/16
`