Khamis,13 Februari 2014

Cikgu Rania 2 (Siri 25): Secangkir cinta yang tumpah

Oleh Samsiah Mohd Nor

“PUAN Sri kena banyak rehat. Dia tak boleh stres,” terang Doktor Dayana, pakar jantung yang memeriksa keadaan Puan Sri Zalia sebelum keluar dari bilik Angsana, bilik mewah yang menempatkan Puan Sri Zalia. Sebelum itu, banyak informasi yang diberikan Doktor Dayana tentang keadaan Puan Sri Zalia.

Dia terkena serangan jantung peringkat awal. Walaupun tidak serius, tetapi dia perlu mengambil ubat secara berkala. Rais berasa bersalah yang teramat sangat setelah mendengar berita itu.

“Salah abang,” adunya pada Rania.

Wajah hiba Rais tidak dapat dibendung. Hujung kasutnya menguis-guis rumput di bawah bangku tempat dia bersembang dengan Rania. Sengaja dia duduk-duduk di situ bersama Rania untuk berbincang tentang permasalahan keluarga.


“Apa yang berlaku bang? Kenapa mama sampai pengsan?” tanya Rania.


Dia sangat-sangat mahu tahu punca yang menyebabkan ibunya pengsan semasa berada bersama Rais dengan Murni.

“Mama terkejut dengar abang nak bercerai dengan Murni.” Tanpa berselindung Rais menjelaskan perkara sebenar.

“Abang nak bercerai dengan Murni? Kenapa?”

“Kan abang dah cakap dulu, abang kahwin dengan Murni sebab nak selamatkan bayinya.”

“Bila semua dah selamat, abang nak ceraikan dia? Macam tu?” Rania tidak bersetuju langsung mendengar keputusan abangnya.

Rais terdiam.

“Patutlah mama stres,” komen Rania.

“Kita dua-dua buat mama stres.” Rais tidak suka Rania meletakkan kesalahan tersebut pada dirinya seorang. Dia juga menempelak Rania bahawa ibu mereka turut menyebut tentang masalah yang melanda Rania dengan Ummar Qayyum.

“Apa masalah Ren dengan Qayyum....baru kahwin dah asyik bertelagah!”

Rania mengeluh resah. “Dia tu lah...”

“Apa?”

“Macam mana Ren tak bengang abang, dia asyik bergayut dengan Ummi Kalthum, kawan lama masa mereka sama-sama belajar di Sydney dulu. Dari hari nak ke Melaka hari tu, perempuan tu asyik telefon dia. Kat rumah kita pun sama. Itu masa Ren sedar. Masa Ren tak tahu...entah berapa puluh kali sehari dia orang berbual agaknya.” Wajah Rania masam kelat.

“Oh, kes cemburulah ni,” Rais mengejek. “Tak adalah Ren. Abang kenal Qayyum tu.”

“Ren pun macam abang juga dulu, tapi dulu! Sekarang tak lagi. Makin dekat dengan Qayyum, Ren rasa Ren makin tak kenal dia. Ren tak tahu macam mana latar belakang dia dulu, siapa dia! Entah-entah playboy! Dulu dengan Murni, sekarang dengan Ummi Kalthum pula!” Rania menceceh.

“Perempuan yang suka dekat dia,” Rais mempertahankan Ummar Qayyum.

“Perlu ke dia layan? Boleh saja kalau dia tak nak layankan?” Rania menjeling. “Bayangkan hari tu, masa nak ke Melaka, setengah jam dia bersembang dengan perempuan tu! Apa ke hal tu?” Rania betul-betul marah.

“Dah, dah cukup! Masalah Ren kecil saja, nanti boleh selesai. Jom naik tengok mama,” ujar Rais.

Malas dia hendak mendengar cerita Rania. Mereka berdua berjalan beriringan menuju ke tingkat tiga di Bilik Angsana. Puan Sri Zalia sedang berbaring di katilnya semasa mereka memasuki kamarnya. Tan Sri Razlan duduk di kerusi di sebelah katil sementara Ummar Qayyum berdiri di tepi jendela. Dia memandang sayu Rania yang baru masuk ke bilik ibunya. Rania memeluk ibunya tanpa mempedulikannya.

“Mama...”

Wajah Puan Sri Zalia pucat. Dia kelihatan lemah. Mindanya tidak dapat menolak masalah yang melanda anak-anaknya. Dia teringat peristiwa yang berlaku sebelum dia pengsan. Tangan Rania digenggamnya.

“Mama...tak mahu Ren gaduh-gaduh lagi...,” bisiknya perlahan di telinga Rania.

Rania peluk ibunya lebih erat.

“Mama jangan bimbang masalah kami. Mama kena jaga kesihatan mama.”

Puan Sri Zalia gelengkan kepalanya. Dia tetap berkeras mahukan Rania menjaga keharmonian rumah tangga yang baru dibina.

“Bila mama boleh keluar ayah?”

“Kalau mama okey, doktor kata lusa.”

“Malam ni Ren nak jaga mama.”

“Ayah jaga mama malam ni,” kata Tan Sri Razlan.

Ummar Qayyum yang menyandar di dinding hanya menjadi pemerhati.

“Esok kan ayah ada meeting penting,” Rania memberi peringatan.

“Meeting pukul 10 pagi. Sempat!” tutur Tan Sri Razlan.

Mendengar itu Rania diam. Dia turut bersetuju dengan rancangan ayahnya. Sudah lama ayah dan ibu tidak berbual-bual mesra seperti itu, barangkali inilah saat yang sesuai untuk ayah memujuk ibu, fikirnya.

“Ren pergilah makan apa-apa dengan Ummar Qayyum,” cadang ayahnya.

“Ren tak lapar.”

“Qayyum tak nak makan? Dari tadi tak makan apa-apakan?” Tan Sri Razlan bertanyakan Ummar Qayyum pula.

“Saya pun tak lapar ayah,” sahut Ummar Qayyum. Dia tahu sisa-sisa kemarahan Rania terhadapnya masih ada. Rania langsung tidak menegurnya sejak ibunya pengsan sehingga kini. Apa salahku? Kalau berbual dengan Ummi Kalthum merupakan satu kesalahan pada Rania, besar sangatkah kesalahan itu? Ummar Qayyum benar-benar tidak mengerti. Rania seperti wanita yang sudah jauh berubah daripada yang dikenali sebelum ini. Puas dia beralah, tetapi Rania tetap dengan keras kepalanya. Dia mahu berbincang, tetapi Rania melarikan diri dan tidak mahu bercakap dengannya.

Semasa hendak pulang, Rania menyalami tangan ayahnya, tapi tidak pula mengganggu ibunya yang sedang tidur.

“Kirim salam pada mama ya ayah. Cakap kat mama esok Ren datang,” ujarnya.

Ummar Qayyum setia di sisi Rania.

“Baik, drive carefully ya!” pesan Tan Sri Razlan. Kerana banyak yang difikirkan, dia tidak sedar perang dingin yang masih berterusan antara Rania dan Ummar Qayyum. Dia melihat jam di tangannya sebaik sahaja kelibat Rania bersama Ummar Qayyum lenyap di balik pintu. Kalau ikut perancangan, dia ada rancangan dengan Zara Aliya pada malam itu, tapi melihatkan keadaan isterinya tidak sampai hati pula hendak ditinggalkannya.

Masa inilah aku harus bersama dengannya dan waktu beginilah aku diberi peluang untuk menjernihkan situasi keruh rumah tangga, fikirnya. Dihubungi Zara Aliya untuk memaklumkan situasi tersebut.

“Alah ayah ni, asyik cancelled saja rancangan,” rengek Zara Aliya.

“Bukan ayah sengaja. Kan ayah dah cakap mak cik tak sihat,” ujar Tan Sri Razlan yang berdiri agak jauh dari katil isterinya. Bicaranya pun seakan-akan berbisik takut didengari isterinya yang sedang tidur.

“Boleh Zara visit mak cik?” tanya Zara Aliya.

Tan Sri Razlan terdiam sejenak. Niat anaknya murni, tetapi sesuaikah? Bolehkah isterinya menerima kunjungan anak tersebut? Tidak marahkah Zalia nanti melihat Zara Aliya?

“Boleh ayah?”

Tan Sri Razlan tidak membalas pertanyaan anaknya, tetapi menukar tajuk perbualan. Dia bertanyakan hal-hal lain berkenaan si anak dan sebelum menghentikan perbualan, dia menasihati anak itu supaya tahu menjaga diri. Zara Aliya merungut sebaik sahaja talian dimatikan. Dia membaling telefon bimbitnya di atas sofa lembut. Wajahnya berkerut. Cuba dihubungi ayahnya beberapa kali, tetapi tiada jawapan.

Tan Sri Razlan akhirnya mematikan telefon bimbitnya. Dia mengeluh payah. Dia tahu Zara Aliya merajuk.

Sengaja tidak dijawab panggilan Zara Aliya demi menjaga hati Puan Sri Zalia yang sudah pun tersedar dari tidur. Puan Sri Zalia batuk-batuk kecil. Terkocoh-kocoh Tan Sri Razlan menghulurkan air kosong padanya. Selepas meneguk air, Puan Sri Zalia berbaring semula tanpa mengendahkan si suami. Dia memandang kosong semasa Tan Sri Razlan bersolat Maghrib di penjuru bilik. Hatinya dihiris pilu setiap kali mengingatkan peristiwa pembohongan yang dilakukan oleh si suami. Belum habis kisah suami, anak-anak pula dikait masalah!

Dada Puan Sri Zalia berasa sebak. Selesai meraup muka dan membaca doa, Tan Sri Razlan dekati isterinya dan membantunya berwuduk. Puan Sri Zalia bersolat dengan cara duduk. Air matanya mengalir semasa doa dipanjatkan. Jiwanya berasa tenang. Rasa berdosa tiba-tiba melingkarinya. Datang pula rasa bersalah kerana menyisihkan suami. Sepanjang petang tadi, tidak banyak berlaku komunikasi antara dirinya dengan si suami.

Sepatah ditanya oleh suami sepatah juga dijawab olehnya. Untuk tidak memburukkan keadaan, Tan Sri Razlan mengikut saja rentak Puan Sri Zalia. Malam itu terdapat sedikit perubahan. Puan Sri Zalia mahu bercakap dengannya. Walaupun tidak semesra dahulu, tapi memadailah buat permulaan, fikir Tan Si Razlan. Puan Sri Zalia turut mengadu tentang dadanya yang masih berasa sendat dan perutnya yang berasa sebu. Tan Sri Razlan menuangkan susu segar yang diambil dari peti ais mini ke dalam mug lalu diunjukkan kepada Puan Sri Zalia. Dia duduk bertenggek di sisi katil. Diampu tubuh Puan Sri Zalia untuk duduk dan membantunya minum susu.

“Anak-anak mana?” tanya Puan Sri Zalia lama kemudian.

“Saya suruh mereka balik. Malam ni saya jaga awak,” beritahu Tan Sri Razlan.

Wajahnya tenang semasa merenung wajah isteri yang sudah lama menjeruk rasa terhadapnya. Puan Sri Zalia melemparkan pandangan ke luar tingkap dari Bilik Angsana. Dia terkenangkan anak-anaknya. Dia masih ingat apa yang berlaku sebelum tiba-tiba dia jatuh pengsan.

“Tak payahlah awak fikir apa-apa lagi. Awak kena banyak berehat dan jangan stres. Itu pesan doktor,” ujar Tan Sri Razlan seperti dapat membaca apa yang bergolak di fikiran isterinya. Dia telah dimaklumkan tentang kemelut yang melanda rumah tangga Rais-Murni, malah perselisihan faham antara Ummar Qayyum dan Rania juga diketahuinya.

“Saya risaukan anak-anak!” Puan Sri Zalia terjebik.

“Buat masa ni awak kena jaga kesihatan awak. Budak-budak tu dah dewasa, tahulah mereka mengemudi hidup mereka masing-masing.”

“Kalau betul macam awak kata tu, tak adalah saya tersadai kat katil klinik ni,” protes Puan Sri Zalia.

“Dah, dah jangan fikirkan lagi. Awak kena sembuh cepat. Nanti, kalau awak dah sihat, saya ingat nak booking tiket. Kita sekeluarga ke Makkah buat umrah. Bawa semua anak-anak dan menantu,” cadang Tan Sri Razlan.

Berseri sedikit air muka Puan Sri Razlan mendengar cadangan suaminya. Dia tersenyum sejuring. Esoknya tatkala Rania datang mengunjungi ibunya di bilik, wajah ibunya nampak ceria dan jauh lebih sihat dari semalam. Bersama mereka, ada sebuah bakul yang dibawa oleh Ummar Qayyum.

Kedua-dua orang tua itu disalami oleh anak menantu. Ummar Qayyum menyampaikan salam ibunya kepada kedua-dua ibu bapa mentua. Sempat Tan Sri Razlan berbisik sesuatu di telinga Rania sebelum dia meminta diri pulang ke rumah untuk bersiap-siap menghadiri mesyuarat.

“Patutlah mama happy,” bisik Rania seraya duduk di sisi ibunya. Ummar Qayyum pula berdiri di tepi katil.

“Dah lama mama mengidam nak ke Makkah satu keluarga. Seronoknya dapat mengerjakan umrah beramai-ramai,” Puan Sri Zalia melahirkan isi hatinya. Rania susun bekalan yang dibawa dari rumah di meja sisi.

“Mak cik buatkan mama bubur air dengan ikan jeruk,” terang Rania. Selain bubur air, ada karamel kegemaran Puan Sri Zalia dibekalkan bersama. Rania pindahkan sebahagian daripada bubur ke dalam mangkuk lalu ditaburkan ikan jeruk yang sudah diracik bersama daun sup di atasnya.

Ummar Qayyum suka melihat cara Rania melayan ibunya. Dia anak yang sangat penyayang, tapi mengapa dengan aku Rania berubah laku? Tak aku sangka hati Rania sekeras kerikil!

“Kamu berdua masih bergaduh lagi?” tegur Puan Sri Zalia tidak semena-mena.

Dia perasan sepatah kata pun tidak terucap antara mereka. Masakan perang dingin antara anak menantunya masih berpanjangan! Berubah air muka Ummar Qayyum disergah begitu. Rania menundukkan mukanya.

“Taklah...,” sahut Rania lama kemudiannya. Ummar Qayyum berdehem kecil.

“Mama tak suka!” Daripada wajah yang ceria, berubah muka Puan Sri Zalia jadi kelat. “Berumah tangga ibarat kamu melayari perahu di lautan. Kalau dah di laut, ada pasang surutnya. Kamu berdua kenalah pandai mengemudi perahu.”

“Mama tak payah risau...kami okey saja.” Rania cuba berselindung daripada ibunya. Dia menyuapi ibunya bubur air yang sudah sebati bergaul dengan ikan jeruk dan daun sup.

“Jangan sampai perahu kamu tak tentu arah!” sambung Puan Sri Zalia sebaik sahaja bubur yang disuap Rania ditelannya. Rania hulurkan pula air kosong tatkala melihat ibunya seperti tercekik.

“Masa makan mama tak payah bercakap,” leternya pula kepada Puan Sri Zalia.

Komen Rania menyebabkan Puan Sri Zalia terus diam. Ummar Qayyum duduk di penjuru bilik sambil membelek-belek surat khabar. Dia tidak berminat membaca akhbar tersebut sebab fikirannya sedang melayang.

Seperti Puan Sri Zalia, dia juga dilanda kecelaruan. Walaupun Rania banyak berdolak-dalik, tetapi Ummar Qayyum yakin ibunya sedar kemelut yang melanda mereka. Hakikatnya mereka masih tidak bercakap. Hatinya benar-benar terusik dengan sikap dingin Rania. Malam tadi, Rania tidur di bilik ibu bapanya dan meninggalkan Ummar Qayyum sendirian di kamar. Puas Ummar Qayyum mengetuk pintu bilik tapi langsung tidak diendahkan. Panggilan telefon Ummar Qayyum tidak dijawab, malah berpuluh-puluh SMS memujuk rayu daripada Ummar Qayyum langsung tidak diendahkan. Pagi tadi, awal-awal lagi Ummar Qayyum telah bersiap-sedia menunggu Rania di ruang tamu utama. Dia bimbang kalau-kalau Rania akan memandu sendirian ke klinik dan meninggalkannya di rumah. Ah! Hati seorang isteri, sukarnya untuk aku memahami!

“Kalau kita nak berangkat ke Makkah nanti, Qayyum ikut sekali ya! Kalau Qayyum ada kat Sweden, Qayyum turun dari sana saja,” kata Puan Sri Zalia sebaik sahaja selesai makan.

Ummar Qayyum yang sedang melamun tersentak. Dia sekadar tersenyum mendengar usulan Puan Sri Zalia.

“Mama ni, tengah sakit-sakit pun boleh sihat kalau nak berjalan,” sindir Rania.

“Bukan berjalan, kita nak buat umrah. Mama suka sangat. Dah banyak sangat bala menimpa keluarga kita!” Puan Sri Zalia melepaskan apa yang tersengkak di dadanya. Sambil itu dia mahu menyindir mereka berdua.

“Mama, mana ada balanya! Itukan ujian daripada Allah...”

“Pandailah Ren bercakap. Kalau betul ujian, kenapa Ren tak ambil iktibar?” Ditempelaknya Rania dengan selamba. Bengkak hati Rania. Dia menjeling Ummar Qayyum yang sedari tadi asyik mencuri pandang padanya.

“Perkara kecil-kecil tu jangan dibesar-besarkan,” leter Puan Sri Zalia lagi, tetapi apabila Rania menyuruhnya berhenti bercakap, dia akur.

“Mama jangan stres tahu! Doktor dah pesan banyak kali,” giliran Rania pula membebel.

Dia menjeling Ummar Qayyum seraya berbisik perlahan padanya semasa melintasi kelibat lelaki itu.

“You nak pergi mana-mana pergi sajalah, tak payahlah nak berkepok kat sini...”

“Sayang nak abang pergi?” ungkap Ummar Qayyum balik. Cara Rania bercakap dengannya kurang disenangi.

“Terpulang...” sahut Rania dan pura-pura seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sewaktu dikerling ibunya.

Puan Sri Zalia terbatuk-batuk kecil. Dia memandang Rania dengan wajah berkerut. Ternyata telahannya benar. Tidak disangka perselisihan faham antara anak menantunya berlarutan. Dia yakin Rania yang bersalah. Walaupun Rania anak yang baik dan berbudi, tapi dia ada angin. Ada masa-masanya sikap Rania sukar ditafsir. Apa yang Rania tidak puas hati? Apa yang telah dibuat oleh Ummar
Qayyum sampai lama benar marah Rania? Puan Sri Zalia tertanya-tanya sendiri. Dadanya berombak kecil. Melihat ibunya seperti sedang membilang kesalahannya, Rania minta diri.

“Ren nak ke mana?” Puan Sri Zalia kehairanan.

“Nak keluar sekejap.”

“Keluar ke mana seorang begitu?”

“Kejap saja mama,” ujarnya dan terus keluar. Di luar pintu bilik ibunya, terserempak dia dengan Rais bersama Murni tanpa Fahim.

“Mana Fahim?” tanya Rania.

“Dengan pengasuh,” sahut Murni. “Mama macam mana?” soal Murni pula.

“Mama dah okey.”

“Kak Ren nak ke mana ni?” tegur Murni.

“Kak Ren nak jalan-jalan kat taman kejap. Jom ikut akak,” ajak Rania. Murni pandang Rais.

Apabila Rais anggukkan kepalanya, Murni akur. Murni mengikut Rania. Mereka duduk di sebuah bangku yang mengadap taman permainan mini kanak-kanak.

“Kak Ren masih bergaduh dengan Abang Qayyum?” cungkil Murni apabila ada ruang untuk dia bertanyakan soalan peribadi kepada Rania.

Panjang keluhan Rania mendengar soalan Murni.

“Kita orang perempuan macam nilah kak. Susah nak faham lelaki kan?”

Rania mengeluh. “Barangkali kami berdua buat silap. Belum saling kenal masa kami ambil keputusan untuk berumah tangga.”

“Maksud Kak Ren?”

“Yalah, akak belum betul-betul kenal abang Qayyum awak tu,” akui Rania tanpa berselindung.

“Macam hubungan Murni dengan Abang Raislah. Murni tak salahkan Abang Rais kalau dia nak bercerai dengan Murni lepas Fahim selamat dilahirkan,” Murni bercakap untuk menagih simpati.

“Mana boleh Rais buat macam tu,” bantah Rania.

“Abang Rais boleh buat kalau dia nak.”

“Akak tak setuju.”

“Tak apalah kak, Murni pun sedar siapa Murni. Dikutip abang Rais pun dah seribu rahmat buat Murni.”

“Murni jangan cakap macam tu. Kami dah anggap Murni macam keluarga kami sendiri, malah Fahim mama anggap macam cucu mama sendiri tau.”

“Murni tahu kak, tapi keputusan bukan terletak di tangan Murni. Abang Rais yang akan tentukan,” Murni berhiba.

Rania genggam tangan Murni.

“Murni jangan bimbang, kami akan pertahankan Murni, percayalah...”

“Akak pun banyak masalah, tak payahlah susah-susah untuk Murni...”

“Masalah akak pun bukanlah masalah yang besar sangat, salah faham saja.”

“Murni pun tak faham. Nampak macam serasi saja akak dengan Abang Qayyum, tapi bergolak juga, apa masalahnya?” cungkil Murni lagi.

“Orang ketiga.”

“Orang ketiga?” Murni berfikir sejenak sebelum menyambung, “Hari tu, masa akak bergaduh dengan Abang Qayyum, Murni dengar akak sebut nama Ummi Kalthum. Tak silap Murni, Ummi Kalthum tu yang datang masa kenduri kahwin kat kampung tu kan?”

Rania angguk. “Dia pun kenal Murni.”

“Dia kenal Murni? Siapa dia Kak Ren?”

“Dia sama belajar dengan Abang Qayyum masa di Sydney dulu. Tapi akak perasan, akhir-akhir ini, dia selalu telefon Abang Qayyum, tu yang buat akak marah.”

“Murni rasa dulu Acap pernah cakap pada Murni tentang Ummi Kalthum ni. Tak silap Murni, Ummi ni pernah jadi kekasih Abang Qayyum masa mereka belajar sama-sama.”

“Apa? Ummi Kalthum pernah jadi kekasih Ummar Qayyum?” Rania seperti tidak percaya mendengarnya. Rasa amarahnya membuak-buak. “Kenapa dia tak beritahu akak masa akak tanya?”

Rania menjerit. Dia betul-betul sakit hati dan rasa tertipu. Murni tersenyum
di dalam hati!

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/31
`