Rabu,01 Oktober 2014

Cikgu Rania 2 (Siri 2): Rania! Aku rindu

Oleh Samsiah Mohd Nor

UDARA di luar sungguh sejuk. Suasana petang di Cork City pada jam 6 sudah beransur gelap. Jauh bezanya dengan situasi di Malaysia yang masih terang dan meriah pada jam tersebut. Ummar Qayyum masih beratur di hadapan kaunter kedai runcit halal Khan Spices. Ada seorang pelanggan lagi di hadapannya. Dia mahu membeli barang-barang makanan seperti roti dan biskut untuk dimakan pada waktu malam atau semasa sarapan esok. Tadi, dia tidak menjamah apa-apa makanan pun setelah selesai mesyuarat bersama kumpulan pengurusan di cawangan Cork City.

Dia sudah muak makan makanan yang sama disediakan oleh pihak pengurusan. Sudah masuk hari kelapan dia berseminar dan bermesyuarat di situ. Mula-mula sampai, dia masih boleh menerimanya tetapi masuk hari kelima, perutnya sudah pandai memilih. Justeru, dia lebih rela mengisi perut dengan roti dan biskut sahaja.

Di luar kedai runcit Khan Spices, dapat dilihat dengan jelas orang yang lalu lalang di kaki lima. Mereka berjalan laju menuju haluan masing-masing. Semua berpakaian lengkap dengan topi, mafla, sarung tangan dan baju sejuk yang tebal-tebal.

Baru bulan Oktober, sudah begini sejuknya apatah lagi menjelang musim salji hujung tahun nanti, fikir Ummar Qayyum. Dia menggosok-gosokkan kedua-dua belah tangan sambil memerhatikan gelagat sepasang kembar perempuan berketurunan Melayu yang sedang bergurau senda dan kejar mengejar di luar kedai runcit.

Seorang daripada mereka mengenakan ‘bubble jacket’ berwarna merah jambu manakala seorang lagi memaki trench coat merah. Mafla bewarna merah meliliti leher kedua-duanya. Sesekali mereka menarik tangan seorang wanita yang berada bersama mereka. Gelagat lucu mereka menarik hatinya. Wanita yang barangkali ibu kepada pasangan kembar itu sibuk dengan telefon bimbitnya.
Kelihatan dia seperti cuba menghubungi seseorang. Sesekali dia menegur kanak-kanak riang itu. Diam sejenak anak-anak itu tapi selepas itu mereka kembali kejar mengejar di sekeliling wanita yang berpakaian serba hitam itu.


“Your change sir,” kata jurujual lelaki berbangsa Maghribi sambil menghulurkan baki wang kepadanya.

Ummar Qayyum tersentak. “Thank you,” ucapnya mesra seraya mencapai sebuah beg kertas yang mengandungi roti dan biskut yang baru dibeli.

Sebaik pintu pasar mini dibuka, udara dingin menyerbu masuk. Pintu automatik itu segera pula tertutup tatkala Ummar Qayyum keluar. Sambil mengepit beg kertas dan memastikan beg laptop yang digalas sentiasa selamat, Ummar Qayyum mengemaskan lilitan mafla di leher. Dia berjalan laju menuju ke perhentian bas.
Kanak-kanak kembar yang dilihat tadi turut berhenti dan duduk di tempat duduk di perhentian bas. Mereka masih bergurua senda dan berbicara dalam bahasa Inggeris. Wanita yang barangkali ibu si kembar itu masih sibuk dengan telefon bimbitnya. Dia tidak nampak wajah wanita yang mengadap arah yang bertentangan dengannya.

Orang Malaysia ke Indonesia atau Filipina? Detik hati Ummar Qayyum sendiri.
Seronok pula melihat telatah pasangan kembar yang riang itu. Seorang wanita tua menegur mereka. Si kembar membalas dan petah pula melayan soalan-soalan daripada wanita tua itu.

Aku harap aku juga akan dapat anak-anak yang cergas dan comel seperti mereka.
Rania! Kalau tiada aral melintangi kita, pastinya kita sudah menjadi pasangan suami isteri dan kau barangkali sudah pun mengandungkan anak kita. Apa khabarmu Rania? Tiba-tiba datang selangit rindu pada Rania. Minggu depan, aku akan pulang ke Malaysia Ren. Sebulan aku di sana. Aku harap sesuatu yang manis dan indah menunggu aku. Menunggu kita!

“Mummy, the bus is here,” terdengar suara salah seorang kembar memaklumi ibu mereka manakala kembar yang seorang lagi sedang menarik tangan wanita yang kelam-kabut menyimpan telefon bimbitnya di dalam beg tangan. Bas bernombor 208 sudah berhenti. Ummar Qayyum memberi ruang kepada wanita dan pasangan kembar itu menaiki bas terlebih dahulu.

“Qayyum...?” Tegur wanita tersebut sebaik sahaja terpandangkan Ummar Qayyum.

Dia berdiri di anak tangga manakala Ummar Qayyum masih di tepi pintu bas.
Ummar Qayyum merenung wanita yang menegurnya seketika. Bagai gugur jantungnya seketika tatkala menyedari dan mengecam wanita itu.

“Ummi?” ucapnya sepatah tapi nyaris tidak kedengaran. Benarkah Ummi Kalthum?
Dek terkejut, Ummar Qayyum terkaku di situ.

“Are you coming in sir?” Sapa pemandu bas melihat Ummar Qayyum tidak bergerak.

“Yes...i’m coming....i’m coming! Sorry,” sahut Ummar Qayyum.

Dia seperti berada di awang-awangan. Dengan tergesa-gesa Ummar Qayyum memijak anak tangga bas dan mengikut langkah wanita tersebut.

Ummi! Berdetik hatinya lagi sewaktu melangkah di belakang wanita yang sekian lama tidak ditemui itu. Bagaimana aku boleh berjumpamu di sini Ummi? Kecilnya dunia. Perasaan Ummar Qayyum bagai tidak menentu. Pasangan kembar yang petah sudah mendapat tempat duduk. Mereka memanggil-manggil ibu mereka dan mengarahkannya duduk di kerusi di belakang mereka. Ummi Kalthum mengikut sahaja arahan si anak dan duduk dengan tertib. Tempat duduk di sebelahnya kosong.
Ummar Qayyum teragak-agak untuk duduk di sebelah wanita itu.

“You can sit next to me Qayyum,” sapa wanita itu lembut.

Senyumnya menawan dan wajah keibuannya terserlah. Dengan izin, Ummar Qayyum melabuhkan punggungnya dan duduk di sebelah Ummi Kalthum. Bergetar dadanya seketika. Kali terakhir dia bersama-sama wanita bernama Ummi Kalthum itu ialah semasa mereka sama-sama belajar di Sydney beberapa tahun lalu. Setelah Ummi Kalthum berkahwin dengan Lokman Hakim, dia tidak lagi berhubungan dengan Ummi Kalthum mahupun Lokman Hakim. Kini, takdir mempertemukannya kembali dengan wanita itu.

Ummar Qayyum mendengus perlahan. Dia meletakkan beg galas di bawah manakala beg kertas berisi makanan diletakkan di riba. Si kembar berpusing ke belakang.

“Do you know him mummy?” tanya salah seorang daripada mereka.

“Yes. My old friend,” sahut Ummi Kalthum tertib. Wajahnya mengukir senyuman.

Pasangan comel itu tersenyum riang mempamerkan gigi mereka yang putih dan tersusun rapi, “Hi uncle, i am Batrisya and she is Anastasia.”

“Hi...what a lovely name both of you have.”

“What’s yours?”

“Okey girls. Now you have to sit properly because the bus is moving,” Belum sempat Ummar Qayyum menjawab, Ummi Kalthum lebih dahulu mengarahkan anak-anaknya supaya tertib di dalam bas.

“Okey mummy,” sahut mereka serentak dan akur dengan arahan si ibu.
“Wonderful kids you have Ummi,” pujian Ummar Qayyum menerbitkan sejuring senyum di bibir Ummi Kalthum.

“Terima kasih Qayyum.”

“Tak sangka jumpa you di sini setelah sekian lama,” Ummar Qayyum membetulkan kedudukannya.

“I pun terkejut. Tiba-tiba you muncul depan I,” akui Ummi Kalthum.

Ummar Qayyum mendengus. Untuk seketika tiada suara yang keluar daripada mulut mereka berdua. Masing-masing masih terperanjat dengan pertemuan yang tidak pernah terduga itu. Banyak yang bermain di minda Ummar Qayyum dan begitu juga Ummi Kalthum.

“You tinggal sekitar sini Ummi?” tanya Ummar Qayyum akhirnya.

“I tinggal di kawasan Wylton Manok,”

“Sejak bila you berhijrah ke sini?”

“ Tiga tahun lalu. Bukan berhijrah pun! Minggu ni minggu akhir kami di sini.
Minggu depan dah nak balik dan tinggal di Malaysia,” jelas Ummi Kalthum.

Bas bergerak dan berhenti mengambil penumpang. Sewaktu Ummar Qayyum membantu seorang lelaki tua yang hampir terjatuh sewaktu berjalan menuju ke tempat duduk belakang, Ummi Khaltum mencuri pandang ke wajah lelaki yang pernah bertakhta di hati.

Debaran di dadanya berkocak kencang. Ummar Qayyum tidak banyak berubah pun.
Malah tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa Ummar Qayyum lebih kacak dan segak daripada dahulu. Sudah beristerikah dia? Hati Ummi Kalthum bertanya sendiri.

“Lokman kerja di sini?” tanya Ummar Qayyum apabila bas bergerak semula.

“Lokman sambung Master. I ikut dia.”

“So sekarang Lokman macam mana? Dah habis belajar?”

“Lokman akan terus sambung PhD di sini. Tapi I dengan anak-anak balik Malaysia dulu. Dia akan ikut kemudian,” jelas Ummi Kalthum.

Akan terus menetap di Malaysiakah Ummi? Berdetik hati Ummar Qayyum.

“Lokman mana?” tanya Ummar Qayyum sambil mencuit pipi si kembar yang sedang mengintainya dari celahan kerusi. Mereka tertawa menggelekek.

“Sibuk dengan tesis. Tinggal editing, “ sahut Ummi Kalthum.

“So how’s your life...?”

“Macam yang you tengok ni. Sibuk dengan anak-anak dan tugas sebagai isteri,”
suara Ummi Kalthum kendur sikit.

Dia tidak menampakkan wajah yang ceria sewaktu bercakap. Seperti ada sesuatu yang disembunyikan.

“I am happy for you. Sesekali I tertanya-tanya juga tentang kehidupan you. But I am very sure that you are happy with your life. Dengan anak-anak yang comel ni. Cemburu I tengok.” Ummar Qayyum tergelak kecil. Wajah Ummi Kalthum berubah.

“I masih keep in touch dengan beberapa kawan kita masa di Sydney dulu. You masih ingat Mimi, Zenadin, Ikram, Faris?” Ummar Qayyum sengaja menukar topik perbualan apabila menyedari rona keruh bermukim di wajah Ummi Kalthum.

“Ingat. Sesekali I baca juga coretan mereka dalam FB. Tapi I tak nampak pun nama you Qayyum,” perlahan Ummi Kalthum bersuara cuba menyampaikan sesuatu.

“Ada. I guna username yang lain. Kawan-kawan yang rapat saja yang tahu.”

“Oh! Patutlah I tak nampak nama you. I pun guna username yang berbeza juga,”
akui Ummi Kalthum.

Ummar Qayyum menjeling sekilas pada ibu muda yang pernah menjadi kekasih hatinya suatu waktu dulu. Kerana salah faham, tak bertemu jodoh antara mereka.
Semoga perkara yang sama tidak berlaku antara aku dengan Rania. Rania! Terselit juga ingatannya pada Rania dalam perbualannya dengan Ummi Kalthum.

“You buat apa di sini Qayyum?”

“I datang mesyuarat dan seminar. Dah lebih seminggu I di sini.”

“You kerja di mana?”

“I di Sweden sejak empat bulan lalu. Sebelum tu di Malaysia uruskan business family. My brother yang tinggal di US dah balik semula ke Malaysia. Jadi I merantaulah sementara masih single ni...”

“You masih single?” tanya Ummi Kalthum ragu-ragu.

“Yes...I’m still alone,”

“I ingat you dengan Murni,” ujar Ummi Kalthum. Ada sayu yang terselit antara kata-katanya.

“Oh...you masih ingat dengan nama Murni tu?” Terkejut Ummar Qayyum mendengarnya. Tidak sangka Ummi Kalthum masih ingat akan nama itu.

“I takkan lupa Qayyum,”

“Kan I dah beritahu you dulu tentang perkara sebenar.”

Ummi Kalthum diam. Dadanya berombak-ombak. Dia mengawalnya sebaik mungkin.
Sejujurnya, dia tidak pernah sunyi daripada mengingati Ummar Qayyum. Ada tikanya dia berasa kesal kerana mengambil tindakan terburu-buru menikahi Lokman Hakim kerana menyangkakan Ummar Qayyum sudah berkahwin dengan Murni.
Rupa-rupanya Ummar Qayyum hanya berjenaka. Aduhai! Kalau sudah tiada jodoh! Dia memejamkan matanya sedetik.

Bertemu dirimu kembali Qayyum, menyenakkan dadaku. Ummi Kalthum melemparkan pandangan matanya ke luar tingkap. Anak-anaknya becok bercerita sesama mereka.
Ummi Kalthum pandang sekilas ke wajah Ummar Qayyum tapi segera mengalihkan pandangan apabila lelaki itu menoleh ke arahnya. Dia lelaki yang pernah diberikan harapan setinggi gunung untuk hidup bersama. Malangnya punah harapan dek salah faham. Sayu hati Ummi Kalthum mengenangkan itu semua. Walaupun dia sudah mempunyai anak kembar, tetapi ingatannya pada Ummar Qayyum jarang sekali terlepas. Adakah aku kesal dengan takdir yang tersurat buat diriku ini? Dia bermonolog sendiri.

“I akan berhenti di perhentian satu lagi. Kalau you tak keberatan, sudi tinggalkan pada I nombor you untuk I hubungi,” ujar Ummi Kalthum. Terkedu Ummar Qayyum mendengarnya.

“I miss call you,” kata Ummar Qayyum kemudian.

Ummi menyebut nombornya lalu didail oleh Ummar Qayyum.

“Keep in touch please,” rayu wanita itu sebelum bangkit dari tempat duduknya.

Bas berhenti di perhentian bas dalam kawasan Wylton Manok. Ummar Qayyum bangun dan memberi ruang pada Ummi Kalthum. Sekali lagi suara pasangan kembar itu riuh rendah mengucapkan selamat tinggal pada Ummar Qayyum. Bas bergerak. Ummar Qayyum menoleh sekilas. Hatinya berasa semacam melihat Ummi Kalthum dan anak-anak kembarnya.

Sudah tentu kau sangat bahagia Ummi. Syukur!

Itu yang aku harapkan walaupun aku tidak berkesempatan bertanya banyak kepadamu.

Sampai di perhentian bas yang terletak tidak jauh dari B&B di Cork iaitu Acton Lodge, Ummar Qayyum turun dan berjalan laju menuju ke kediamannya. Sepanjang jalan, banyak yang mengacau benaknya tapi dia mahu segera sampai di bilik dan mandi air panas. Sehari suntuk dia memerah kepala dan berasa begitu penat sekali. Masuk sahaja ke bilik, diletakkan barangan yang dibeli di atas meja kecil. Dia membersihkan diri, memakai pakaian tebal dan terus bersolat Maghrib.
Selesai berdoa, diraupnya muka dan termenung seketika di dada sejadah. Dia berasa seperti ada sesuatu yang hilang saat itu.

Rania! Ucapnya tanpa sedar. Segera dia menghampiri beg laptopnya, memasang suis on lalu terus disambung ke internet. Dia membaca catatan di Facebook Rania. Sememangnya, walaupun Rania tidak pernah mengirimnya sebarang berita, tetapi perkembangan diri Rania sering diikuti di Facebook sementelah dia merupakan salah seorang daripada rakan FB Rania tanpa diketahui gadis itu.
Tahukah kau Rania, akulah Arjuna Nilakandi? Telah kulayangkan ucapan ringkas sempena ulang tahunmu semalam Ren tapi ... aku yakin kau tidak tahu. Buat sementara waktu biarlah kau tidak tahu Ren. Biarlah kau mencari dirimu sebelum kau bertemu aku! Fikir Ummar Qayyum seraya meneliti catatan-catatan di wall Facebook milik Rania. Status terkini Rania, sebaris ayat mudah iaitu I MISS YOU bagai tergantung.

Pada siapa ayat I MISS YOU itu Rania tujukan? Rindu itu umum. Boleh jadi kerinduan pada Allah, pada situasi, pada alam dan tidak mustahil pada manusia.
Manusia siapa? Keluarga? Saudara-mara? Kekasih?

Rindu itu untuk siapa Ren? Bisik Ummar Qayyum sambil memeluk tubuh yang digigit kesejukan. Untuk akukah? Aku sangat berharap rindu itu kau tujukan padaku yang jauh ini. Kemudian mata Ummar Qayyum merayap pula pada komen-komen yang singgah di situ. Hati Ummar Qayyum berbolak-balik membaca komen-komen daripada anak-anak murid dan peminat-peminat Rania.


RANIA RAZLAN - I MISS YOU

Farvin - I miss you too teacher

Adilah Rashid - I miss you tree teacher

Koh Joo Hin - Miss you four five six teacher

Nadhirah - I miss you as much as the sky, teacher

Khadijah - Sibuklah Farvin, Adilah, Koh dan Nadhirah ni. Cikgu miss orang lainlah. Rindu siapa cikgu? Buah hati ek?

HALIM - Rindu kau juga Ren!

ZahidAbuBakar - Owh! Cikgu.. siapa Halim tu? Buah hati cikgu ya? Kalau makan nasi kunyit jangan lupakan saya dan anak-anak murid cikgu yang lain.

Kautsar - Apa ada pada Rindu, Ren?

CPR - Rindu- Ren! Cikgu...nama cikgu kan ada persamaan dengan RENDU! Siapa Halim tu cikgu? Hehehe.

FF - Rinduku senantiasa basah buatmu dan aku selalu mengintaimu di balik purnama malam tapi barangkali kau tidak pernah tahu kewujudanku.

Kautsar - Wah cikgu banyak peminat!

Shazwani - Orang cantiklah katakan. Memang cikgu Rania cantik pun kan!


Beberapa komen yang dikirim kepada Rania menyelitkan rasa cemburu Ummar Qayyum terutamanya komen daripada Halim dan FF.

Halim? Berani juga Halim mengutarakan kata rindunya pada Rania di laman terbuka yang dibaca oleh banyak orang. Masih lagikah Halim berhubungan dengan Rania selepas putusnya ikatan antara mereka? Masihkah ada ‘rasa’ antara Rania dengan Halim sungguhpun di akhir cerita, hubungan mereka putus di saat-saat hampir diijab kabul? Dan aku? Bodohkah aku kerana pergi begitu sahaja sedang peluang untukku terbuka luas?

Ummar Qayyum melemparkan pandangan di luar tingkap. Gelap. Terimbau kenangan terindah bersama Rania. Terimbau juga saat-saat terakhir sewaktu dia pergi meninggalkan Rania.

Tidak. Aku tidak pernah kesal kerana pergi. Aku tidak mahu menangguk di air keruh. Aku tidak mahu mengambil kesempatan kala Rania sedang di ambang keliru dan sedih. Aku akan memberi Rania masa dan ruang untuk dia benar-benar mengenal dirinya sebelum dia menerima orang asing seperti aku. Mata Ummar Qayyum masih meneliti bait-bait komen di FB Rania.

Siapa FF pula? Hati Ummar Qayyum tiba-tiba berdetik. Seingat Ummar Qayyum semenjak menjadi pembaca setia di wall FB milik Rania, identiti FF belum pernah ada. Dia yakin FF ialah seorang lelaki. Secret admirer Raniakah? Ummar Qayyum membaca catatan FF sekali lagi dan kemudian diulang-ulang.

“Rania...Rinduku senantiasa basah buatmu dan aku selalu mengintaimu di balik purnama malam tapi barangkali kau tidak pernah tahu kewujudanku.”

Ayatnya indah sekali. Memang tidak terfikir dek benakku kalimah yang seindah itu. Siapa FF ini? Kekasih Rania? Atau guru di sekolah Rania? Ummar Qayyum dilanda kerisauan yang datang tidak semena-mena. Dia menaip sesuatu di bawah komen seterusnya. Lalu ditekan butang enter. Terpampang komennya di kedudukan paling bawah.

Arjuna Nilakandi - Ren...rindumu untuk siapa?

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/16
`