Khamis,02 Oktober 2014

Cikgu Rania 2 (Siri 38): Bunga Lara Cinta!

Oleh Samsiah Mohd Nor

Pagi-pagi lagi Ummar Qayyum sudah muncul dengan sebuah bakul kiriman Makcik Rohaya. Malam tadi dia memang setia menunggu di luar bilik Rania sehingga ibu mertuanya datang balik. Kemudian, barulah dia pulang ke rumah. Selepas solat Subuh pagi tadi, dia terus bersiap dan datang ke hospital semula.

“Awal!” tegur Puan Sri Zalia sepatah.

“Saja datang awal. Kalau mama nak balik mandi, saya boleh temankan Ren,” usul Ummar Qayyum.

Puan Sri Zalia mengerling kepada Rania. Tiada tindak balas. Puan Sri Zalia memberi isyarat supaya Ummar Qayyum dekati Rania. Cemas-cemas, Ummar Qayyum hampiri si isteri. Wanita yang baru keguguran itu mematungkan diri. Bibirnya pucat. Matanya kuyu dan tidak bermaya.


Pandangannya pula kosong. Ummar Qayyum berasa terseksa melihat keadaan Rania tapi laranya berganda melihat kedinginan Rania. Dia mahu memegang tangan Rania. Dia mahu memujuknya. Dia mahu memeluk Rania dan dia mahu berkongsi cerita tentang derita kehilangan anak mereka. Tetapi Rania kaku seperti semalam. Kalau begitu, bagaimana dia mahu meluahkan segala apa yang tersirat di dalam kalbunya kepada Rania?


“Ren...” panggilnya perlahan.

Rania tetap kaku. Tiada suara yang keluar dari mulut Rania kecuali hembusan nafasnya yang lesu. Seperti semalam, Rania masih belum mampu memandang muka Ummar Qayyum. Perasaannya kacau-bilau saat itu. Dia tidak pasti apa yang dia rasa tetapi satu yang nyata - Ummar Qayyum semakin jauh daripadanya.

Zara Aliya dan Tan Sri Razlan datang serentak bersama Ros Ilyani dan Rais. Ummar Qayyum melayan Tan Sri Razlan dan Rais berbual di satu sudut di dalam kamar yang agak luas itu. Sesekali Ummar Qayyum mengintai Rania dari celahan sanak-saudara yang mengelilinginya. Rasa rindu pada Rania semakin menjadi-jadi.

Tangan Rania dikucup Zara Aliya. Dia berbicara seadanya sebelum memberi ruang kepada Ros Ilyani pula. Ros Ilyani cium pipi Rania di kiri dan di kanan. Wajah Rania basah. Kesedihan bertakung di air mukanya. Hiba Ros Ilyani melihatnya. Jarang wajah Rania diulit sengsara sebegitu. Tapi kini wajah Rania bersimbah duka yang berlarutan. Masakan tidak, kehilangan kandungan pertama yang sudah tentunya ditunggu oleh setiap pasangan.

“Sabar ya Ren, nanti Ren boleh mengandung lagi,” seloroh Ros Ilyani yang masih tidak tahu tentang kemelut yang melanda rumah tangga Rania.

Rania terjebik. “Macam mana bulan madu?” tanya Rania berbasi-basi padahal air mukanya langsung tidak ceria.

Tidak sampai hati Ros Ilyani mahu menjawab. Puan Sri Zalia menyendukkan bubur yang dimasak oleh Makcik Rohaya pada Rania.

“Makan bubur ni Ren.” Mangkuk berisi bubur berserta dengan ikan bilis, telur masin dan lobak jeruk diletak di atas meja di sisi katil Rania.

“Kak Ros suapkan.” Ros Ilyani duduk di sisi katil Rania.

“Tak apa Kak Ros. Ren boleh makan sendiri.”

Rania membetulkan kedudukannya. Tidak banyak bubur yang masuk ke perut Rania. Hilang seleranya bersama getir hidup yang dilalui akhir-akhir ini. Dia berasa senak di bahagian perut dan peranakan. Dadanya pula berasa ketat. Sesekali dia menarik nafas yang terasa sempit setiap kali melewati bahagian kerongkongnya.

“Minum Milo,” arah ibu-nya. Tiga kali teguk, Rania berhenti. Tan Sri Razlan hampirinya.

“Ayah dah nak kena pergi, Ren jaga diri baik-baik,” bisik Tan Sri Razlan semasa Rania baru menyendalkan tubuh pada bantal yang dilipat dua. Sekejap lagi Tan Sri Razlan perlu bergerak ke KLIA dan terbang ke China atas urusan kerja.

“Ayah masih ingat permintaan Ren?” bisik Rania pada ayahnya balik.

Hanya mereka berdua sahaja yang tahu pokok persoalan yang dibincangkan. Tan Sri Razlan angguk.

“Ren tak main-main ya ayah. Ren serius,” tekan Rania. Suaranya diperlahankan agar tidak didengar oleh yang lain. Kedua-dua bahu Rania dipegang Tan Sri Razlan.

“Yang penting Ren jaga diri. Urusan lain serah pada ayah,” janji Tan Sri Razlan.

Dahi Rania dikucup lembut. Puan Sri Zalia mengiringi suaminya hingga ke pintu lif yang letaknya selang sebilik dari bilik Rania.

Sebaik sahaja Tan Sri Razlan pergi, tetamu yang datang silih berganti termasuk saudara-mara, guru-guru dan rakan taulan. Semua diterima seadanya oleh Rania tetapi apabila kelibat Murni yang datang bersama ibu mertuanya tersuluh dek matanya, jantung Rania berdegup kencang. Spontan dia teringat peristiwa yang berlaku di rumah sebelum dia terjatuh di dalam bilik air.

Aku tak mahu ingat apa-apa. Aku nak berehat de-ngan tenang, detik hati Rania. Murni mengekor Nenek Ninda dan datang bersalam dengannya. Kemudian, mereka berdua berbual-bual pula dengan ibunya. Mereka tidak lama di situ. Setengah jam kemudian, mereka meminta diri untuk pulang.

Rania perasan Ummar Qayyum mengiringi Nenek Ninda dan Murni turun ke bawah. Apabila Ummar Qayyum masuk semula ke bilik, tetamu sudah menyusut. Yang ada hanya keluarga. Dia kemudiannya berbual dengan Rais. Tidak lama kemudian, tinggal dia bersama Puan Sri Zalia sahaja di dalam kamar tersebut. Sekali lagi Ummar Qayyum hampiri Rania, seperti tadi, penerimaan Rania tetap sama.

“Sabar Qayyum. Ren masih bersedih,” Puan Sri Zalia cuba mententeramkan Ummar Qayyum walaupun dia mula berasa tidak sedap hati. Namun, masuk hari keempat, keadaan Rania masih tidak berubah, Puan Sri Zalia mulai kecut perut.

Puan Sri Zalia sudah mati akal hendak memujuk Rania. Kerasnya hati Rania atau mungkin selama ini Rania memendam perasaan dan menjeruk hati. Sekali meletup ibarat tiada maaf bagi Ummar Qayyum.

“Berbuallah dengan Qayyum. sekejap pun tak apa!” pujuk Puan Sri Zalia.

Ummar Qayyum berdiri di sisi Puan Sri Zalia. Rania memalingkan mukanya. Bingung Puan Sri Zalia me-ngenangkan sikap Rania. Dia langsung tidak sudi memandang muka si suami. Besar sangatkah masalah mereka? Apa dosa dan salah Ummar Qayyum?

“Mama nak balik sekejap. Qayyum temankan Ren ya?” Puan Sri Zalia masukkan baju kotor Rania di dalam beg. Rania tetap menggeleng.

Tangan Puan Sri Zalia dicapai lalu dikucup tapi Ummar Qayyum tidak diendahkan langsung. Mati akal Puan Sri Zalia dibuatnya.

“Tak apalah. Petang nanti mama datang balik. Jom Qayyum.”

Bingit kepala Puan Sri Zalia memikirkan masalah anak menantu. Dua hari sudah, ada disentuh tentang perkara tersebut pada Nenek Ninda, namun perempuan itu hanya angkat bahu.

“Akak tak tahu apa masalah mereka Lia. Kan mereka duduk bersama Lia. Lia yang patut tahu,” kata Nenek Ninda selamba.

Melihat air muka Nenek Ninda yang sedemikian, hilang mood Puan Sri Zalia untuk membincangkan masalah anak menantu bersama besannya itu. Kepada Ros Ilyani dicurahkan perasaan hati yang rusuh mengenangkan masalah Rania dengan Ummar Qayyum.

“Cuba-cubalah Ros pula pujuk Ren tu, manalah tahu dia termakan dengan kata-kata Ros,” pinta Puan Sri Zalia.

“Ros akan cuba mama, tapi Ros sendiri tak tahu apa masalah mereka,” akui Ros Ilyani.

Dia sendiri baru masuk dalam keluarga itu dan sedang menyesuaikan diri dengan situasi baru.

“Mama sendiri pun terlepas pandang. Mula-mula dulu okey saja mama tengok. Bila mereka mula berkemelut mama pun tak sedar. Tiba-tiba saja mama perasan mereka makin renggang. Ingatkan sibuk dengan urusan masing-masing...”

Ros Ilyani picit belakang ibu mertuanya. Dalam sekali keluhan Puan Sri Zalia. Masuk hari ketiga Ros Ilyani balik ke rumah selepas bulan madu, baru Puan Sri Zalia berpeluang bertanyakan perancangan mereka berdua.

“Rais syorkan kami duduk di kondominium kat Taman Universiti mama. Dia dah bayar deposit rumah buat sementara waktu.”

“Terpulanglah pada kamu berdua.”

“Eh, mana Murni? Tak nampak pun dia dengan anaknya sejak mama balik,” Puan Sri Zalia baru perasan.

“Makcik Rohaya beritahu Murni ikut Nenek Ninda balik kampung,” beritahu Ros Ilyani pada Puan Sri Zalia.

“Bila?” Terkejut Puan Sri Zalia mendengar. Berkerut dahinya.

“Pagi tadi.”

“Balik begitu saja. Dia tak beritahu mama pun!” Rajuk bunyi nadanya.

“Sebab Ros dengan Rais dah balik kot! Murni tak selesa.” Ros Ilyani pula berasa bersalah.

“Kalau ya pun. Beradablah sikit. Kak Ninda pun sama. Tak sempat-sempat!” leter Puan Sri Zalia.

Dia sedar akhir-akhir banyak dugaan untuk keluarga mereka tapi sikap toleransi perlu ada dalam kalangan ahli keluarga.

“Mungkin Murni masih perlukan masa untuk terima Ros,” kata Ros Ilyani lama kemudian.

Puan Sri Zalia terdiam sejenak. Kesibukan me-nguruskan Rania menyebabkan dia tidak sempat memikirkan hal-hal lain. Balik dari hospital, badan sudah benar-benar penat. Selesai solat Isyak, dia akan mengaji seketika dan berulang ke hospital semula. Begitulah rutin hidupnya sejak Rania dimasukkan ke hospital.

“Biar sajalah kalau dia nak balik. Kita pun tak sempat nak melayan dia dengan anaknya. Itu yang terbaik buat dia sementara waktu ni,” putus Puan Sri Zalia.

Malas dia hendak me-nyerabutkan fikirannya dengan masalah anak-anak. Cukuplah masalah Rania seorang yang dipikulnya sekarang. Makcik Rohaya muncul dengan bekalan untuk Rania seperti biasa.

“Ros temankan mama nanti. Malam karang kalau mama nak balik tidur kat rumah, Ros boleh jaga Ren kat hospital,” Ros Ilyani menawarkan diri.

Puan Sri Zalia lega mendengarnya. Badannya sudah terlebih penat.

“Kalau begitu, petang mama pergi dengan Qayyum. Malam Ros pergi dengan Rais,” cadang Puan Sri Zalia.

“Rais kata dia nak ikut juga petang nanti,” kata Ros Ilyani.

“Kalau dia nak ikut tak apalah. Ros berehatlah kat rumah petang ni. Malam karang datang,” jawab Puan Sri Zalia.

“Puan Sri, ada sesuatu yang saya nak bincang de-ngan Puan Sri..” ujar Makcik Rohaya yang masih tercegat di hadapan mereka. Wajahnya serba salah.

“Hal apa kak?” suara Puan Sri Zalia tidak bermaya.

“Hal Murni...”

“Murni kan dah balik kampung.”

“Sebab tu saya nak bincang.”

“Tunggulah dulu kak. Saya tengah serabut ni, penat pun ya!” Puan Sri Zalia memicit-micit dahinya. Makcik Rohaya terkulat-kulat. Hal itu penting tetapi dia tidak tahu bagaimana mahu tekankan pada Puan Sri Zalia akan perkara tersebut.

“Bawakan saya air suam dengan panadol,” arah Puan Sri Zalia kemudiannya.

Makcik Rohaya beredar dan kembali semula dengan apa yang dipinta.

“Kalau Puan Sri penat, biar saya dengan Ros yang temankan Ren kat hospital...” Makcik Rohaya menawarkan diri.

“Tak apa, tak apa. Saya boleh pergi,” Puan Sri Zalia bangkit masuk ke bilik selepas dua biji panadol dengan segelas air suam masuk ke perutnya.

Petang itu, dia ke hospital bersama Ummar Qayyum dan Rais. Dia masuk ke bilik Rania sementara Ummar Qayyum bersama Rais berbual-bual di luar kamar. Hanya dia dan Rania sahaja di dalam kamar. Puan Sri Zalia berasakan sudah tiba masanya untuk dia menegur sikap keras hati Rania terhadap Ummar Qayyum.

“Sampai bila Ren nak hukum Qayyum?” tanya Puan Sri Zalia.

“Siapa Ren nak hukum dia?”

“Ren tak nak jumpa dia, tak nak pandang muka dia. Ren menghukum dia lah tu! Ren kena ingat. Qayyum suami Ren. Berdosa tindakan Ren ni!”

Setiap kali hal itu dibincangkan, air mata Rania mudah saja meluncur.

“Bukan Ren saja yang sedih atas kehilangan bayi tu, Qayyum pun sama. Seluruh keluarga bersedih!” pujuk Puan Sri Zalia tidak putus-putus.

Serta-merta air muka Rania berubah. Benarkah Ummar Qayyum sama merasai apa yang dia rasa? Selama dia mengandung, siapa yang bersusah payah menjaga kandungan? Ummar Qayyum tidak peduli! Itu yang dia rasa.

“Malam ni biar Qayyum jaga Ren ya! Boleh ya Ren?” pujuk Puan Sri Zalia lagi.

Tanpa sepatah kata, dia hanya menggelengkan kepalanya berkali-kali.

“Kasihan Qayyum, dah empat hari Ren tak layan dia. Ren tak hendak bercakap dengan dia, biarlah dia temankan Ren malam ni!” pujuk Puan Sri Zalia lagi.

Rania membatukan diri. Ombak di dadanya berdebur hebat. Hatinya tercedera parah sekali. Jangan sesekali Qayyum tunjukkan muka! Aku tak sudi! Aku tak sudi! Rintih hati Rania.

“Boleh Qayyum temankan?” tanya Puan Sri Zalia tanpa mengetahui gelora yang sedang melanda tasik hati Rania. Disangka Rania sedang berfikir.

“Boleh ya Ren?” ulangnya lagi.

Rania menangis teresak-esak. Dicuba memujuk hati untuk menerima takdir yang datang tapi tidak semudah itu untuk dia menerima kunjungan Ummar Qayyum. Sejujurnya dia tidak sudi melihat muka Ummar Qayyum malah jauh di sudut hati, dia berasa sangat kecewa dengan Ummar Qayyum.

Hati yang sudah lama merajuk pada si suami, rupa-rupanya telah berbisul tanpa disedari. Lama-lama bisul menjadi besar dan merebak umpama api dalam sekam. Dan kini? Masih adakah tempat untuk Ummar Qayyum di ruang hatinya yang semakin sempit?

“Kenapa Ren marahkan Ummar Qayyum sangat-sangat? Apa salah Qayyum sayang?”

“Ren tak nak cakap apa-apa.” Esak tangis Rania berlagu.

“Takkan Ren nak salahkan Qayyum. Ini bukan salah Qayyum.” Puan Sri Zalia mulai berkeras. Dia tidak mahu Rania berterusan menyalahkan Ummar Qayyum atas keguguran kandungannya.

“Boleh tak mama tinggalkan Ren sendiri, Ren tak nak cakap apa-apa.” Hidung Rania kembang kempis.

“Qayyum temankan Ren ya sayang!” pujukan Puan Sri Zalia terdengar lagi.

“Ren tak nak gangguan. Ren pohon biarkan Ren sendiri,” Rania meraba perutnya.

Anak mama, maafkan mama! Jiwanya lirih setiap kali terkenangkan anak yang hanya sempat dikandung
seketika sahaja.

“Ren...” pujukan Puan Sri Zalia ternyata tidak berbekas langsung di hati Rania.

“Tolonglah mama, tolonglah. Mama baliklah. Tinggalkan Ren. Ren nak bersendirian,” ujar Rania. Dia menarik selimut lalu menutup mukanya.

“Malam nanti, Kak Ros datang temankan,” beritahu Puan Sri Zalia. Rania tidak menjawab.

Di luar, hujan mulai turun membasahi bumi. Puan Sri Zalia bangkit lalu menarik langsir jendela. Puan Sri Zalia berpesan macam-macam pada jururawat yang ditugaskan menjaga Rania. Sebelum beredar dia menarik selimut yang menutupi muka anak kesayangannya. Sebuah kucupan dilepaskan di dahi.

“Telefon mama kalau Ren nak apa-apa ya,” pesan Puan Sri Zalia sebelum pergi.

Dalam gelap malam, dalam basah curahan hujan dan dentuman bertubi-tubi suara guruh dan petir, Rania berkelubung melayan rawan hatinya. Dia bersendirian di wad mewah di hospital swasta yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka. Dia tidak kisah ditinggalkan bersendirian di tempat sunyi dan terasing itu. Dia lebih rela bersama jururawat-jururawat yang sabar melayan kerenah pesakit. Dia melayan perasaan.

Kalaulah Ummar Qayyum lebih prihatin kepadanya, banyak perkara buruk dapat dielakkan. Dia percaya semua yang berlaku atas kehendak Yang Esa dan takdir Tuhan tiada siapa yang dapat menolak tapi manusia boleh berusaha untuk mencegah sesuatu. Manusia boleh bertolak-ansur dan boleh bertimbang rasa terhadap insan lemah lebih-lebih lagi pada perempuan mengandung sepertinya.

Namun mengapa rasa ihsan dan belas serta tolak-ansur dan timbang rasa yang diharapkan daripada si suami tidak kelihatan sewaktu dia amat-amat memerlukannya? Mengapa Ummar Qayyum begitu dingin dan membiarkan sahaja masalah yang berlaku antara mereka berlarutan? Mengapa Ummar Qayyum tidak berusaha menjernihkan situasi dan membiarkan orang lain menangguk di air keruh?

Itulah puncanya yang membuatkan hatinya rabak teruk. Itulah sebabnya dia jadi benci kepada Ummar Qayyum. Kerana itu, dia tidak sanggup memandang muka Ummar Qayyum. Dia tidak boleh memandangnya. Dia tidak sudi. Pergilah Ummar Qayyum dari sisinya. Pergilah ke mana-mana sahaja dia mahu pergi. Pergi!

Pintu biliknya tiba-tiba diketuk. Rania memusingkan tubuhnya. Ketukan berbunyi lagi. Rania mendiamkan diri. Kerana bimbang, Rania membunyikan loceng kecemasan. Seorang jururawat muncul di depan pintu bilik. Di belakangnya berdiri Ummar Qayyum.

Tersentap hati Rania. Jururawat itu pergi sebaik sahaja Rania memintanya berbuat demikian. Pintu bilik ditutup. Rania tahu Ummar Qayyum berada di dalam bilik bersamanya kini. Seperti tadi dia memusingkan tubuhnya menghala ke arah tingkap yang langsirnya telah ditarik ibunya. Bunyi tapak kasut Ummar Qayyum mendekati katil. Rania berasa berdebar-debar. Kenapa dia muncul?

Ummar Qayyum sudah berdiri di hadapannya kini. Rania membina kekuatan. Ikutkan hati dia memang sudah tidak sudi memandang Ummar Qayyum lagi. Kerusi dicapai Ummar Qayyum lalu dia duduk mengadap Rania.

“Pergi...,” kata Rania perlahan. Wajahnya langsung tidak dipalingkan pada Ummar Qayyum.

“Abang tahu Ren tak sudi jumpa abang. Ren benci abang dan tak nak tengok muka abang...,” kata Ummar Qayyum perlahan-lahan. “Tapi beri peluang pada abang untuk tahu apa dosa dan salah abang pada Ren.”

Rania terjebik. Hancur hatinya mendengar kata-kata Ummar Qayyum. Sehingga detik ini, Ummar Qayyum masih tertinggal di dalam mimpinya. Barangkali mimpi itu tidak membawa apa-apa makna pada diri Ummar Qayyum tapi mimpi itu mengganggu hidupnya. Ummar Qayyum masih tidak tahu apa masalah mereka? Lebih teruk, dia membiarkan masalah itu berlarutan dan tergamak pula bertanya apa dosa dan salahnya. Tangan Rania cuba dipegang tapi segera direntap Rania.

“Kalau abang bersalah dan berdosa pada Ren, maafkan abang!” Suara garau Ummar Qayyum mulai terputus-putus.

“Abang cuba yang terbaik untuk menjernihkan hubungan kita dengan membiarkan Ren sendiri tapi kalau itu silap abang dan salah percaturan abang, abang mohon kemaafan dari Ren. Abang akui kesilapan abang!”

Sebaknya dada Rania hanya Tuhan yang maha mengetahui. Betapa Ummar Qayyum tidak tahu bahawa dialah satu-satunya lelaki yang sangat dicintai, dihormati dan diharap bersama Ummar Qayyumlah kolek kecil mereka akan berkembang dan belayar di lautan cinta tapi baru saja di gigi air, kolek kecil itu sudah dilambung ombak dan tidak mampu untuk bertahan. Kalau malam ini merupakan malam penentuan, aku reda! Ikrarnya dalam hati.

“Ren...” seulas kata terlontar lagi dari bibir Ummar Qayyum.

Dada Rania berkocak kencang.

“Maafkan abang kalau kehadiran abang di sisi Ren, merosakkan hati Ren. Abang pun keliru tentang masalah kita. Abang tak sangka ia berkesudahan seperti ini. Abang tak pernah duga, kemarahan Ren pada abang sampai ke tahap ini!” luah Ummar Qayyum lagi.

“Pergi!” suara Rania mulai serak.

“Ren...”

“Pergi....” Rania mulai batuk-batuk kecil. Bersama hujan yang lebat menyimbah bumi, air mata Rania turut sama menyaingi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/02
`