Jumaat,01 Ogos 2014

Cikgu Rania 2 (Siri 3): Hati yang terluka!

Oleh Samsiah Mohd Nor

WAJAH Murni murung. Hilang seleranya untuk makan walaupun perutnya lapar dan sudah berkeroncong. Nasi bersama lauk-pauk yang dibeli Rais tidak berusik langsung. Selain diserang rasa mual, dia juga rusuh mengenangkan banyak perkara. Pasal kerja, masa depan, maruah diri dan macam-macam lagi. Dia menjeling perutnya yang berisi janin.

Dia benci kandungan itu. Kerana kandungan tersebut, dia dilanda masalah besar. Berhenti kerja tanpa notis, hilang kawan-kawan. Hilang keseronokan dan kena berkurung di kondominium mewah yang tak ubah seperti sarang burung. Lebih teruk, dia terpaksa menumpang belas ehsan Rais. Tanpa Rais, lagi susah hidupnya.

“Makanlah Murni,” Rais memujuk. Air mata Murni mengalir. Esak kecilnya terdengar.

“Murni...tak boleh nak makan,” sahut Murni perlahan. Dia sedang mengawal perasaannya.


Rais belas melihatkan keadaan Murni. Tiada tempat untuk dituju setelah berlaku musibah padanya. Nasib baik dia terserempak dengan Murni di sebuah hospital swasta di bahagian pendaftaran. Dia yang baru selesai menziarahi seorang kawan lama yang mengidap demam denggi terkejut melihat Murni yang nampak pucat lesi.

Gadis itu bersendirian, murung dan kelihatan takut-takut bila dihampiri.

Rais dapat mengagak ada sesuatu yang menimpa Murni. Mula-mula Murni tidak mahu berterus-terang apabila ditanya Rais tetapi setelah diugut barulah Murni membuka mulut. Terkejut Rais sebaik sahaja Murni memaklumkan bahawa dia mengandung lebih dua bulan dan berniat menggugurkan kandungannya. Sempat Rais menasihatinya sebelum membawa gadis malang itu ke sebuah restoran berdekatan.
Kemudian, Rais membawanya pulang ke rumah Puan Sri Rania.

Rancangannya untuk membantu Murni. Belum sempat apa-apa, Puan Sri Zalia menutup pintu perbincangan. Murni dihalau keluar dan buat sementara waktu gadis malang itu ditempatkan di kondominiumnya di kawasan perumahan Bukit Mulia.

“Makan sikit,” pujuk Rais lembut. Nasi disendukkan ke pinggan.

“Murni tak ada selera.”

“Buat masa sekarang, Murni tak boleh fikir pasal tak ada selera. Bayi dalam kandungan Murni perlukan makanan. Lepas makan Murni kena ambil vitamin-vitamin yang doktor bagi tu,” nasihat Rais lagi.

Murni mencebik. Termakan juga dengan nasihat Rais. Dia mula makan walaupun nampak seperti terpaksa. Lelaki itu sedar banyak dugaan yang terpaksa ditempuh oleh gadis semuda Murni. Dia terkenang cerita Ummar Qayyum.

Betapa kecewanya Murni apabila Ummar Qayyum memilih Rania. Sebab itu, Ummar Qayyum faham dan dapat memaafkan Murni atas sikap buruknya terhadap dirinya dan Rania. Lebih daripada itu, Ummar Qayyum kenang akan jasa dan kebaikan Murni melayan ibunya semasa mereka tiga beradik sibuk dengan urusan masing-masing.

“Betul Murni tak hendak maklumkan pada abang Qayyum?” tanya Rais lama kemudian.

“Betul. Jangan sesekali abang bagitahu abang Qayyum,” mendadak Murni membantah.

“Abang Murni di kampung? Nenek Ninda? Tak nak beritahu juga?” Rais teringat waris Murni yang lain.

“Jangan. Murni tak mahu menyusahkan mereka. Biarlah Murni seorang yang menanggungnya.” Murni berhenti mengais makanannya.

“Abang Rais risaukan keselamatan Murni. Siapa yang jaga murni masa abang tak ada.”

Rais benar-benar mengambil berat tentang Murni yang sebatang kara itu. Tidak dinafikan Murni pernah membuat onar kepada Rania tapi sifat kemanusiaannya
menghalang dia membalas dendam. Kalau dia tidak membantu Murni siapa lagi?
Ummar Qayyum tiada di Malaysia. Siapa yang akan ambil tahu pasal Murni kalau bukan aku! Aku perlu menjaganya sehinggalah Murni selamat melahirkan anak.
Selepas itu terpulanglah pada Murni untuk menentukan masa depannya, fikir Rais lagi.

“Murni boleh jaga diri.”

“Tak apalah Murni. Murni duduk saja di sini. Abang Rais boleh duduk dengan kawan abang.”

Jam di tangan dijeling Rais. Dia ada mesyuarat dengan kakitangan syarikat jam 2.30 petang.

“Abang ada mesyuarat kejap lagi.”

“Pergilah abang, jangan susah kerana Murni. Murni pun dah banyak susahkan abang.”

“Jangan lupa makan vitamin. Malam nanti abang datang hantar makan malam.”

Rais memakai kasut dan sekali lagi berpesan pada Murni supaya mengunci pintu kondominium sebaik saja dia pergi. Murni selak pintu kondo dari dalam.
Fikirannya rusuh benar. Dia duduk kembali mengadap meja makan.

Selain makanan, di atas meja makan, ada broadband dengan laptop yang dibawa Rais. Kerana tidak lalu makan dan dibelengu kerisauan, Murni melayari internet.
Dia membaca Facebook Ummar Qayyum. Tiada yang menarik. Dia beralih ke facebook Rania pula. Hatinya pedih membaca komen-komen yang memuji-muji Rania. Nasib baik tidak ada nama Ummar Qayyum dalam komen-komen tersebut. Untungnya jadi anak orang kaya macam Rania. Dimanja, disayangi dan ditatang bagai minyak penuh.

Aku ini macam langit dengan bumi dibandingkan dengan Rania. Dia terbayang-bayang bagaimana Puan Sri Zalia mencerca-cercanya sesuka hati. Rania pula menoleh ke arah lain semasa dia menyalami dan mencium tangan Rania. Hina sangatkah aku ini? Belum lagi mereka tahu keadaan yang menimpa aku. Kalau mereka tahu aku mengandung tanpa nikah, berlori-lori agaknya mereka mengumpat aku. Di mata mereka, aku tak ubah seperti melukut di tepi gantang. Nasib baik Rais bersimpati dengan nasib aku. Kalau tidak, entahlah! Hiba sungguh hatinya kenang nasib badan.

Sekali lagi dia membaca komen-komen di Facebook Rania. Selain anak-anak murid, ada nama-nama seperti Halim, FF dan Arjuna Nilakandi. Semua memuja-muja Rania. Dia menepis laptop itu. Rasa marah dan geram datang berganti dengan rasa sedih pilu.

Rania juga di kala itu sedang membaca komen Arjuna Nilakandi sementara menunggu ibunya bersiap. Dia sudah berjanji dengan Puan Sri untuk menemaninya membeli-belah di pusat beli-belah Pavilion.

Ren, rindumu untuk siapa?

Rania membaca komen daripada Arjuna Nilakandi. Berkali-kali dibacanya.
Panggilan ‘Ren’ itu dirasakan macam panggilan Ummar Qayyum sahaja. Siapa Arjuna Nilakandi ini? Fikir Rania sejenak. Dia mengimbau komen-komen terdahulu daripada Arjuna Nilakandi. Ada satu sebelum ini iaitu ucapan Selamat Ulang Tahun.

Semoga dirimu sentiasa dalam lindungan-Nya.

Ummar Qayyumkah? Berdetik hati Rania sebab cara dia bertanya macam cara Ummar Qayyum. Ah! Tak mungkin. Kenapa Qayyum nak guna nama lain? Bukan dialah!

Rania membuat kesimpulan sendiri. Entah ke manalah lelaki sombong itu sekarang? Sejak pergi, dia langsung tidak mengirim khabar apatah lagi menanyakan khabarku. Berlagak!

Mak cik Rohaya memanggil namanya dari luar pintu bilik yang terbuka.

“Ren, Puan Sri dah siap. Dia tunggu kat bawah,” beritahu mak cik Rohaya yang sedang berdiri di luar biliknya.

“Okey...okey Ren turun.” Rania tutup laptop. Dia yang sudah bersiap memakai jean kelabu dengan blaus warna putih capai beg galas dan berlari-lari anak mendapatkan ibunya yang sedang bersantai sendirian di ruang tamu.

“Hai manisnya anak dara mama seorang ni. Hairannya sampai sekarang belum bertemu jodoh!” usik Puan Sri Zalia. Mak cik Rohaya tertawa menggelekek mendengarnya.

“Mak cik Rohaya ada calon tak untuk Ren?” Gurau Rania selamba.

“Nak kena cari anak raja nak diganding dengan Ren ni Puan Sri,” tokok mak cik Rohaya pula.

“Ameen...” seloroh Rania.

Puan Sri Zalia memaut bahu Rania menuruni anak tangga. Pak Mud sudah sedia menunggu di tempat parkir di hadapan pintu masuk utama banglo mewah. Pak Mud sekarang sudah menjadi pemandu peribadi sepenuh masa untuk Puan Sri Zalia.

“Kalau sempat karang, kita singgah di rumah kawan mama Datin Rafeah ye!” ujar Puan Sri Zalia semasa di dalam kereta.

“Nak singgah buat apa mama?”

“Anak lelaki dia baru balik dari New York.”

“So...?”

“Bolehlah kenal-kenal dengan Ren.”

“Astaghfirullahalazim mama ni...tak nak Ren. Macam timba cari perigi saja.”

“Eh...apa pula perigi timba ni? Mama nak ziarah Datin Rafeah. Kebetulan pula anaknya Abdullah Faheem tu baru balik dari New York. Dia baru dapat ijazah kedoktoran dalam bidang kejuruteraan elektrik. Bolehlah kita pergi ucap tahniah”

“Dahlah mama, cukup cukuplah tu. Ren tak berminat. Mama tak ingat Farhan dulu?”

“Farhan tu lain sayang. Lagipun Farhan tu budak baik, terperangkap dengan perempuan tak baik. Faheem ni lain. Dia alim sikit.”

“Dah, dah. Sekarang ni Ren tak nak fikir tentang semua tu. Sekolah tengah sibuk hujung-hujung persekolahan ni. Ren nak concentrate budak-budak nak exam.
Banyak program peningkatan kat sekolah yang Ren terlibat.”

“Tak ganggu langsung kerja Ren kat sekolah tu kalau sekadar nak jumpa dan kenal-kenal.”

“I’m not interested,” tegas suara Rania. “Daripada mama sibukkan tentang jodoh Ren, baik mama fikirkan tentang Abang Rais. Lepas hari tu, abang Rais tak muncul-muncul kat rumah kita. Itu yang patut mama risaukan.”

Diam sekejap Puan Sri Zalia. Terfikir juga di benaknya ke mana agaknya Rais membawa si Murni tu? Puan Sri ingat kata-kata terakhir Rais bahawa dia akan menjaga Murni. Pasal apa pula dia nak menjaga si Murni? Selama ini siapa yang menjaga Murni? Perempuan itu memang licik. Dulu, dia memperdaya Ummar Qayyum dan memangsakan Rania. Sekarang dia masuk jarum ke Rais pula! Hebat betul dia.

“Pak Mud tahu tak tentang Rais?” tanya Puan Sri Zalia tiba-tiba.

“Tak tahu Puan Sri,” sahut Pak Mud yang memang tidak tahu menahu langsung tentang perkembangan Rais. Rohaya ada memberitahunya tentang peristiwa Rais bawa Murni ke rumah tapi itu saja. Yang selebihnya dia tidak tahu. Pemanduan diteruskan dengan berhati-hati. Kereta dipandu Pak Mud sudah masuk ke selekoh menghala ke pusat beli-belah mewah itu.

“Mmm...tak apalah Pak Mud.” Berkerut muka Puan Sri Zalia. “Mama hairan betul.
Macam mana Abang Rais kamu boleh terpedaya dengan kata-kata perempuan seperti Murni. Tiba-tiba saja datang rumah cara macam tu. Budak tu pun satu. Selalunya budak kampung tahu malu. Ini!!!” Masam muka Puan Sri Zalia.

Rania diam. Dia terfikir ke mana Rais membawa Murni. Apa masalah yang dihadapi Murni sampai Rais sanggup membelakangkan arahan ibu? Rania ingin tahu juga. Sudah hampir seminggu Rais tak balik rumah. Rania tahu Rais ada sebuah kondominium di Bukit Mulia tapi tempat itu hanya rumah singgahnya saja.

Jangan dibawa Murni ke situ sudah, nanti tak pasal-pasal kena cekup.
Mengenangkan itu, datang risau di hati Rania.

“Agak-agak mama, mana Abang Rais bawa Murni pergi? Dia kata dia nak jaga Murni.”

“Tak adanya dia nak jaga budak tu. Tak bersebab. Saja dia nak mengugut mama.
Mama tahulah Rais tu. Tengok kes dia dengan Haryati tu. Selamba sahaja dia berpisah! Kadangkala si Rais macam budak-budak juga.”

“Kan dia kata Murni ada masalah?” tekan Rania.

“Masalah pun, apa pasal Rais pula nak memikulnya. Ibarat memikul biawak hidup!
Tak payah Rais nak menyibuk. Lagipun budak tu hanya nak menangguk di air keruh!” Puan Sri Zalia lagi marah mendengarnya.

“Abang pun dah banyak hari tak balik. Mana abang pergi agaknya!”

“Mana mama tahu. Biarlah dia! Kawan dia ramai. Kondo ada. Mama tak risau sebab dia orang lelaki. Kalau Rania tentulah tak lena tidur mama.”

Pak Mud memberhentikan kereta betul-betul di pintu utama Pavilion. Selepas menurunkan dua beranak itu Pak Mud pergi. Rania terkenangkan Murni. Kepada siapa Murni minta tolong kalau Rais tak bantu?

“Murni mama?”

“Boleh tak Ren jangan sebut nama perempuan tu lagi! Ren tak ingat apa dia buat pada Ren sampai Ren dengan Oayyum putus ikatan. Ren tak ingat?”

Rania diam. Memang itu angkara Murni tapi keputusan yang dibuat keputusan dirinya. Betul Murni ugut dirinya tapi bila dikenang-kenang kenapa dia mesti takut pada ugutan Murni. Ah, barangkali betul juga kata Murni, kalau tidak kerana aku mungkin Qayyum sudah jadi miliknya. Qayyum lebih dulu kenal Murni.
Qayyum pun tak setia. Semudah itu cinta beralih arah. Entah-entah dengan aku pun dia boleh buat macam tu bila jumpa orang baru! Terfikir di benak Rania.

“Tapi ma...bukan salah Murni sepenuhnya. Kasihan juga Murni mama. Dialah yang jaga nenek Ninda masa semua anak-anak nenek Ninda berada di kota. Dia simpan hati dan berangan untuk kahwin dengan Qayyum tapi alih-alih Qayyum berpaling tadah.”

“Masalahnya Qayyum suka pada dia ke?” Mata Puan Sri Zalia sudah liar mencari butik beg tangan berjenama. Pavilion merupakan salah satu pusat beli-belah yang dia suka.

“Murni kata kalau tak kerana Ren, mereka dah diijab kabul. Ren ni penyibuk. Ren ni macam biduk. Ren ingat bila Ren berlalu bercantumlah kiambang. Mana Ren sangka Ummar Qayyum tak kahwin juga dengan Murni.”

“Itu tandanya Qayyum tak cintakan dia. Qayyum cintakan Ren tahu tak?”

Rania pening kepala. Betul ke Qayyum cintakan aku? Kalau betul kenapa sebaris ayat untuk ucap selamat hari jadi pun tak terhantar untuk aku.

“Sombong! Berlagak! Benci aku,” kutuk Rania.

Dua orang jurujual menyambut mereka di pintu masuk. Puan Sri Zalia sudah rambang mata sebaik saja memasuki sebuah kedai beg tangan berjenama. Rania duduk di kerusi dan memerhatikan saja telatah ibunya yang gila beg tangan. Di dalam almari di bilik mama, bersusun beg tangan pelbagai jenama. Baru-baru ini sebuah beg tangan jenama LV dibeli ayah. Belum berusik pun. Mama kurang suka bentuknya.

Puan Sri Zalia masih sibuk memilih beg-beg berjenama yang teratur cantik di rak. Seorang jurujual Cina sentiasa mengekori langkah ibunya. Bersembur-sembur air liurnya mempromosi beg tangan sampai hendak tergelak Rania melihatnya.

“Yang ni Ren, okey tak?” Puan Sri Zalia bawa sebuah beg tangan berwarna merah lumut lalu ditunjukkan pada Ren.

“Cantik ma,” sahut Ren sambil lewa.

“Ni puan punya anak tak mahu beli handbag ke?” soalnya pelat.

“Dia tak suka,” jawab Puan Sri Zalia.

“Manyak cantik wooo. Tak mahu cuba. Ini handbag baru dari Itali. Cantik awak pakai. Muda, putih, pakailah...”

“Tak minatlah,” sahut Rania selamba.

“Awak punya mak manyak wang. Kasi belilah.”

“Amoi, awak cakap bahasa Melayu tak betul. Kalau awak cakap betul-betul baru saya tengok awak punya beg tangan,” ugut Rania.

“Saya tarak pandai. SPM dulu pun tarak lulus.”

“Tulah, siapa suruh cakap macam tu. Saya tak minat nak beli.”

“Aiyooo manyak lugi woo.” Dia geleng-geleng kepala dan pergi balik kepada Puan Sri Zalia.

Rania teringat Abang Rais. Dia mendail nombor Rais. Seperti tadi, Rais tidak menjawab panggilannya.

Mengada-ngadalah abang ni. Mana dia bawa Murni pergi? Murni ni pun satu. Macam mana dia boleh hubungi Abang Rais? Apa hubungan mereka berdua? Fikir Rania sampai pening kepala. Dalam pada dia terfikir-fikir itu, tiba-tiba matanya terpandangkan kelibat seseorang yang sangat dikenali sedang lalu di luar kedai. Seorang lelaki berumur yang masih segak berjalan dengan seorang perempuan muda. Berderau darah Rania. Hampir gugur jantungnya detik itu.

“Ayah!” Hanya sepatah kata saja terucap. Bibir Rania menggeletar. Segera Rania palingkan pandangan ke arah ibu. Ibu masih sibuk meneliti dua beg tangan yang telah pun diletakkan di atas meja kaunter. Rania macam orang gila.
Kepalanya berpusing-pusing. S Sekejap memandangi ayah yang berganding mesra dengan seorang gadis muda yang barangkali sebayanya manakala seketika kemudian dia menoleh pula ke arah ibu yang leka dengan beg tangan.

“Ya Allah, janganlah sampai mama Nampak.” Dalam kalut dia berdoa. Segera dia menuju ke arah ibunya. Dia berdiri betul-betul di hadapan ibu. Dia takut akan beberapa kemungkinan yang bakal berlaku sekiranya kelibat ayah bersama perempuan muda itu tersuluh dek ibu.

“Kenapa ni, tepilah sikit Ren, mama tak nampak ni,” tegur ibunya.

Rania hampir pengsan waktu ibunya angkat muka dan memandang ke luar kedai.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/23
`