Jumaat,22 Ogos 2014

Cinta Kura-Kura Tiz & Aeril

Oleh Elrafaei Sapi

PERTAMA kali digandingkan di layar perak sebagai pasangan kekasih, pastinya mengundang perasaan gemuruh dan terdetik rasa malu untuk mendampingi pasangan.

Pengalaman ini dilalui pelakon baru yang semakin meningkat popular, Aeril Zafrel apabila mendapat peluang berganding bersama pelakon jelita, Tiz Zaqyah. Sebagai anak seni yang baru bertapak dalam bidang lakon, Aeril berasakan berlakon di sisi Tiz yang cukup popular dengan drama bersiri, Nur Kasih suatu peluang keemasan yang ditunggu.

Aeril berkata, dia mendapat tahu Tiz sebagai pasangan pelakon utamanya ketika dua minggu sebelum penggambaran filem Cinta Kura-Kura terbitan KRU Studios dijalankan. Ketika hadir pada sesi baca skrip filem ini, dia tidak menyangka akan bersama Tiz menjadi tunjang menggerak perjalanan cerita ini.

Ketika fotografi ini diatur KRU Studios di Palm Garden Hotel, IOI Resort, Putrajaya kelmarin, jelas kelihatan keserasian di antara Aeril dengan Tiz. Mungkin masih ramai yang belum mengenali Aeril di pentas lakon berbanding Tiz tetapi dia pernah mencuri tumpuan menerusi drama bersiri, Klik di Astro Ceria dan filem pertamanya, Aku Tak Bodoh ditayangkan tahun lalu.

Foto

Foto


Aeril berkata, dia bersama Tiz mula berkawan rapat ketika terbabit dalam filem ini. Dalam filem arahan Nizam Zakaria ini, Aeril membawakan watak Adam mempunyai perasaan sayang pada haiwan iaitu kura-kura manakala Tiz sebagai Nani, memelihara kura-kura, Nico.


Hubungan dua watak ini bertemu selepas Nani berpindah ke rumah abangnya, Amin (Bob AF2) dan mereka berjiran dengan Aeril. Mengambil subjek kura-kura, mereka menjadi rapat sehingga masing-masing memendam perasaan cinta.

“Sepanjang berlakon bersama Tiz dalam filem ini, saya berpandangan dia seorang yang sangat ‘mudah mesra’ dan boleh terima pandangan satu sama lain. Malah, kami senang berbincang ketika melakukan latihan dan berlakon, situasi ini membuatkan kami selesa menghayati karakter.

“Sama ada di dalam set atau di luar, saya fikir apabila pelakon itu banyak meluangkan masa bersama dan bergurau satu sama lain, ia boleh membuatkan hubungan itu menjadi lebih rapat dan mesra,” katanya.

Berbicara lanjut aspek lakonan, Aeril menyukai watak Adam yang membawa karakter berbeza daripada apa yang pernah dilakonkannya sebelum ini. Sambil merujuk pada watak utama, kura-kura, dia perlu lebih banyak berkomunikasi dengan haiwan ini dalam banyak adegan.

“Dalam cerita ini karakter saya digambarkan mempunyai kelebihan boleh bercakap dengan kura-kura. Memang kelakar dan sukar pada mulanya kerana ia memerlukan imaginasi seolah kura-kura ini memang boleh berkomunikasi dengan manusia.

“Di awal perkenalan Adam dengan Nani, Adam juga berkawan rapat dengan Nico iaitu kura-kura peliharaan Nani. Situasi ini sebenarnya membuatkan Nani berasa cemburu.

“Di set penggambaran, berlakon dengan cara imaginasi dan selamba, memberi cabaran yang besar pada saya. Untuk mendapat penghayatan dan aksi lakonan terbaik, saya sendiri sanggup beli patung kura-kura untuk buat latihan,” katanya merujuk kembali penggambaran dijalankan awal tahun lalu di sekitar Shah Alam, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Menyingkap pengalaman di lokasi penggambaran, Aeril mengakui ia suatu yang menyeronokkan dan mencuit hati apatah lagi pelbagai adegan spontan berlaku bersama kura-kura sebenar ketika berlakon. Filem ini menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) untuk menampakkan kura-kura bercakap.

“Ada adegan ketika saya memaksa kura-kura sebenar bercakap dengan menggegarkan badannya, dia kemudian memberi respon sehingga berak atas saya. Ada juga, adegan yang sepatutnya saya berkomunikasi dengannya tetapi kura-kura itu pula memasukkan kepalanya ke dalam.

“Dalam memahami sikap kura-kura ini, saya menyedari haiwan ini tidaklah bertindak ganas tetapi selepas kita banyak belajar bagaimana menjaganya, saya sendiri berasa lebih selesa,” katanya.

Tiz pula menyatakan lakonannya kali ini lebih bersifat ringan berbanding watak-wataknya sebelum ini yang banyak bermain emosi dan lebih menjurus pada soal cinta. Secara peribadi, Tiz menyatakan dia selesa membawakan karakter komedi selepas pernah membawa watak sebegini menerusi drama Suzana, Aduh-Aduh Sayang dan Mencari Jalan Lurus.

“Cerita ini menarik kerana ada elemen komedi diselitkan. Begitu juga, saya bersama Aeril banyak bermain warna merah dan hijau kerana merah itu membawa maksud cinta manakala hijau adalah kura-kura.

“Bagi saya, lakonan dan dialog memainkan peranan penting dan banyak membantu dalam memberikan elemen komedi itu sampai kepada penonton. Sebenarnya, berlakon komedi lebih mudah kerana kita boleh membawa perwatakan sendiri secara semula jadi dalam watak itu.

“Merujuk pada watak Nani dengan Adam, mereka mempunyai perasaan cinta satu sama lain tetapi tidak melafazkannya. Nani menunggu bila Adam mahu melamarnya tetapi sikap Adam seolah lembap seperti kura-kura,” katanya.

Tiz akui perasaan cinta antara Nani dengan Adam diibarat cinta pandang pertama apabila masing-masing tertarik untuk mendekati tetapi tidak dilakukan dengan serius. Sambil mencari titik serasi dengan Aeril melakonkan karakter pasangan kekasih, Tiz juga tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan kura-kura.

“Saya tidak kekok bersama kura-kura kerana saya juga menyukai haiwan peliharaan. Saya sendiri memelihara ‘sugar glider’ dan kucing di rumah dan saya rasakan perasaan sayang yang wujud terhadap kura-kura mahupun haiwan peliharaan saya sama saja.

“Menariknya, dalam filem ini Nico makan pizza dan ada adegan saya menyuapkan pizza kepada Nico. Saya fikir adegan ini menarik untuk ditonton menggambarkan perasaan sayang antara manusia dengan haiwan cukup erat,” katanya.

Berbicara perkembang lain, Tiz semakin sibuk dengan komitmen drama baru termasuk kini terbabit dengan penggambaran Keroncong Untuk Ana arahan Eirma Fatima yang dijayakan bersama Datuk Rahim Razali dan Fatimah Abu Bakar.

Menyentuh azam 2012, dia mahu memperbaiki kelemahan lakonan sambil menyimpan impian membawa karakter wanita lasak. Tiz berpandangan watak yang dilakonkan sebelum ini bukan ‘stereotaip’ tetapi ia berbeza dengan merujuk pada plot dan perkembangan watak.



7 perkara mengenai Aeril Zafrel

Kalau tak jadi artis?
Ahli perniagaan

Saya paling suka buat...
Tengok DVD

Superhero paling diminati?
Superman

Buku terakhir dibaca?
Ya Allah Kenapa Kau Uji Aku

Filem tempatan paling ‘best’?
Puteri Gunung Ledang

Barang yang masih belum dibeli?
Rumah

Kereta pilihan?
Chevrolet Bumblebee


7 perkara mengenai Tiz Zaqyah


Barang paling disayangi?
iPad

Tabiat pelik diri sendiri?
Gigit bibir, kuku dan makan ais

Impian belum dicapai?
Melancong banyak tempat

Idola?
Tun Dr Mahathir Mohamad & Angelina Jolie

Aktiviti masa lapang?
Rakam gambar dan melukis

Kekasih dalam mimpi?
Edward Cullen

Haiwan yang paling ditakuti?
Lipas

Artikel ini disiarkan pada : 2012/01/11
`