Rabu,24 September 2014

Daging lebih enak

Oleh Mohd Sabran Md Sani

KETIKA ini tidak ada satu pun baka ayam kampung yang stabil kerana kebanyakan dikacukkan dengan baka ayam daging betina berwarna dari luar negara.

Permintaan ayam kampung yang meningkat di pasaran menyebabkan industri menggunakan kaedah kacukan baka luar sebagai alternatif.

Bagi memastikan daging ayam dihasilkan memenuhi ciri-ciri tempatan, kaedah pembiakbakaan ayam kampung tempatan dan ayam hutan adalah jalan terbaik.

Universiti Putra Malaysia (UPM) melakar sejarah dalam dunia pembakaan haiwan melalui penghasilan baka ayam kampung dikenali Akar Putra.

Foto

AYAM kampung biasa yang dikacukkan dengan ayam hutan untuk menghasilkan Akar Putra.

Foto

SAIZ telur besar mampu menghasilkan anak ayam kampung Akar Putra lebih besar.

Foto

AYAM jantan kampung Akar Putra mempunyai ekor lebih panjang dan cantik.


Penyelidikan baka ayam baru itu dilakukan Profesor Madya Dr Azhar Kasim pada 2005 dengan kacukan ayam kampung dengan ayam hutan.


Baka ayam kampung ini diberikan nama Akar Putra iaitu simbolik baka ayam hutan tempatan yang 'berakar' di kampus hijau UPM.

Beliau berkata, hasil kacukan itu, Akar Putra mempunyai ciri tambah nilai termasuk dagingnya lebih sedap.

"Warisan anak-anak ayam daripada gen ayam hutan di universiti itu dengan ayam kampung tempatan menghasilkan induk jantan.

"Ayam kampung Akar Putra dapat dihasilkan melalui pencatuman induk jantan dan induk betina," katanya yang bertugas di Jabatan Sains Haiwan Fakulti Pertanian, UPM, Serdang.

Beliau berkata, di peringkat permulaan, induk betina dihasilkan melalui gabungan beberapa jenis ayam kampung yang dikumpulkan di seluruh negara.

"Kajian menjurus kepada menghasilkan induk betina yang tinggi pengeluaran telur serta saiz telur yang besar supaya anak yang tetas mempunyai kecergasan baik.

"Saiz telur yang besar adalah satu kelebihan dan ciri ini diperlukan bagi memastikan anak ayam kampung Akar Putra baru menetas mempunyai tahap kecergasan tinggi, selera makan yang baik dan membesar dengan cepat dari ayam kampung biasa," katanya.

Katanya, induk jantan mengandungi warisan ayam hutan tempatan di kampus itu manakala ayam jantan hutan liar diambil dari spesies 'gallus gallus' atau 'Red Junglefowl'.

"Spesies ini mudah dilihat di sekitar kampus UPM yang terkenal dengan kawasan dusun buah-buahan dan ladang sawit," katanya.

Menurutnya, ayam hutan jantan yang merayau berhampiran lokasi kajian dibiarkan mengawan secara semulajadi dengan sekumpulan ayam kampung betina.

"Anak hasil dari cantuman ayam hutan UPM dengan ayam kampung ini menjadi komponen penting kajian baka.

"Gabungan ayam hutan UPM dengan ayam kampung ini dijadikan induk jantan.

"Kajian mendapati baka Akar Putra memiliki tahap kecergasan tinggi dan daya ketahanan lebih baik.

"Tumpuan kajian kini untuk melihat tingkah laku supaya baka Akar Putra tidak menunjukkan tahap agresif keterlaluan," katanya.

"Pencantuman induk jantan juga menghasilkan ayam baka Akar Putra berleher botak, berkaki panjang dan lebih berisi selain dagingnya lebih enak," katanya.

Ciri-ciri istimewa yang terdapat pada ayam kampung Akar Putra ialah jangka masa pemeliharaan lebih singkat iaitu tidak melebihi 13 minggu.

Bagi penternak, jangka masa itu menguntungkan kerana ayam boleh dipasarkan lebih awal selepas mencapai berat antara 1.2 hingga 1.4 kilogram.

Mengulas lanjut mengenai ayam kacukan itu katanya, gabungan baka ayam hutan yang banyak memberikan elemen penting kepada keenakan daging.

"Daripada ayam kampung yang kita biak, kita pilih ciri cepat besar dan telur besar supaya menghasilkan anak besar dan tahan kepada penyakit," katanya.

Katanya, beberapa percubaan penternakan ayam kampung Akar Putra di beberapa ladang di Melaka dan Selangor menampakkan kesan positif.

Dari segi penjagaan, ayam kampung Akar Putra cepat membesar dan tahap kritikal penjagaannya ketika usia dua minggu berbanding ayam kampung biasa mengambil masa sebulan serta tidak tahan sejuk.

"Ayam biasa terdedah kepada penyakit 'sampar' dan perlu diberikan vaksin, namun kekuatannya ialah ia tahan penyakit berak darah," katanya.

Menurutnya, ciri-ciri luar ayam jantan banyak mewarisi ayam hutan seperti balung, warna, jenis bulu dan bulu halus terdapat pada pangkal ekor.

"Ayam betina lebih gelap dan kekal. Ciri-ciri ayam hutan betina yang berwarna kemerahan dan coklat boleh dikomersialkan," katanya.

Ditanya usaha mengeluarkan ayam telur, katanya pemilihan induk betina penting.

"Dalam seminggu, ayam betina Akar Putra akan bertelur antara empat ke lima biji seminggu, namun boleh mencecah pengeluaran sehingga 80 peratus.

"Setiap ayam telur boleh mengeluarkan di antara 200 hingga 250 biji telur setahun.

"Menariknya, induk tidak mahu mengeram dan inilah yang diperlukan bagi memastikan ayam itu sentiasa bertelur," katanya.

Menurutnya, anak ayam kampung Akar Putra dijangka boleh dikeluarkan dengan skala sederhana pada Jun tahun ini.

"Pada peringkat awal, kami menganggarkan 1,000 anak ayam kampung Akar Putra seminggu dan jumlah itu akan bertambah.

"Saya yakin jika ada pelaburan besar, industri ternakan ayam Akar Putra boleh dipasarkan ke luar negara.

"Baka Akar Putra dijangka membantu menangani masalah bekalan anak ayam kampung yang masih tidak mencukupi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/21
`