Ahad,13 Julai 2014

Pandu Uji: Daya tujahan mantap

Oleh ERYWAN NORSHAL

Sukar mempercayai bahawa enjin silinder tunggal terbaru motosikal berkuasa tinggi, KTM 690 Duke mampu mengalas tugasnya dengan sempurna bagi menyalurkan prestasi terbaik.

Berbanding motosikal kategori 'naked' di pasaran negara ini, hanya KTM 690 Duke menggunakan enjin silinder tunggal bagi jentera melebihi 500 cc.

Teknologi itu mempunyai kehebatan tersendiri dan terbukti apabila ba­nyak jentera jenama KTM menjuarai sukan permotoran dunia.

Bagi mencung­kil kehebatan KTM 690 Duke, penulis diberi peluang menunggang motosikal keluarga 'naked' itu, baru-baru ini.

Foto

LAMPU belakang rekaan unik.

Foto

TEMPAT duduk besar untuk keselesaan.

Foto

GARANG ketika menyusuri jalan raya.

Foto

KOMBINASI meter digital dan analog.


Ketika mengambilnya di Shah Alam, Selangor, perkara pertama terlintas di fikiran ialah, adakah penulis mampu menunggang motosikal dikatakan sedikit tinggi itu.


Ketinggian penulis kurang 1.7 meter memberi sedikit masalah untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi ini.

Selepas menghidupkan enjin dengan menekan butang di sebelah pendikit, bunyinya sedikit kasar berbanding 'adiknya', KTM 200 Duke.

Sebaik duduk di kerusinya yang lebar, kedua-dua kaki penulis terjeng­ket untuk menstabilkan jentera ini.

Bagaimanapun, penulis masih yakin untuk menunggangnya biarpun kedudukan tampak menegak serta pemegangnya yang panjang seperti motosikal kategori 'naked' lain.
Pendikit menggunakan sistem 'tunggangan-de­ngan-wayar' (ride-by-wire) ini membuatkan penulis berasa teruja kerana ia bertindak balas dengan cepat sebaik memulas secara agresif.

Berat jentera sejumlah 150 kilogram dengan kuasa maksimum mencecah 67 kuasa kuda itu adalah kombinasi terbaik bagi membuatkannya terasa ringan untuk memecut.

Kuasa dibekalkan itu sungguh mantap kerana tangan penulis berasa le­nguh untuk menahan daya tujahannya.

Ia juga mengambil masa singkat untuk memecut sehingga 160 kilometer sejam (km/j), tetapi penulis terpaksa membong­kokkan badan sedikit bagi mengelak terkena angin.

Motosikal dikenali sebagai 'Katoom' oleh peminat tempatan ini turut menawarkan gaya tunggangan seperti motorcross kerana kedudukan tangan sedikit terbuka.
Biarpun kedudukan­nya sedikit tinggi, penulis yakin dengan pengendaliannya untuk menguasai laluan berselekoh.

Rahsia pengendalian mantap itu berpunca daripada gabungan suspensi jenama WP, selain kombinasi tayar serta rim besar untuk meningkatkan ke­stabilannya.

Brek berprestasi jenama Brembo dengan Sistem Antikunci Brek (ABS) turut membuatkan penulis selesa bagi mengurangkan kelajuan dalam tempoh singkat.

Sementara itu, menunggang di kawasan sesak tidak memberi masalah kerana ia boleh menyusuri di celah kenderaan dengan mudah dan selamat.

Malah, tempat duduknya dengan rekaan sedikit lebar turut memberi keselesaan untuk tunggangan jarak jauh.

KTM 690 Duke model terbaru yang diperkenal­kan hampir dua tahun lalu itu tampil wajah lebih berani dengan bentuknya sedikit pendek selain mengekal­kan imej garang.

Imejnya sangat berbeza dengan model terdahulu yang menerap­kan reka bentuk tajam, terutama bahagian depan dan belakangnya.

Jentera ini adalah 'anak' kelahiran utara tanah air itu selepas dipasang secara tempatan (CKD) di kilang KTM Motonation Manufacturer Sdn Bhd di Jitra, Kedah.


Spesifikasi: KTM 690 DUKE

Enjin
Bersesaran 690, silinder tunggal dengan cecair penyejuk

Kuasa Maksimum
67 kuasa kuda

Transmisi
Enam kelajuan manual

Suspensi depan dan belakang
Jenama WP

Tangki petrol
14 liter

Berat keseluruhan
149.5 kg

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/04