Khamis,24 April 2014

Definisi gigi sihat

Oleh Hamizah Badiran

MEMILIKI kesihatan tubuh badan yang baik adalah satu anugerah tidak ternilai. Jika badan sihat, segala urusan terutama dalam mencari rezeki, melakukan ibadah dan beberapa perkara lain boleh dilakukan dengan sebaik mungkin menggunakan tulang empat kerat yang dikurniakan.

Seperti juga salah satu anggota badan yang perlu dijaga ini, tanpanya kita tidak akan kelihatan menarik dan malu untuk berhadapan dengan orang ramai.

Gigi yang sihat dan kuat amat penting kerana ia berfungsi untuk membolehkan kita mengunyah dan menghancurkan makanan. Selain itu, gigi yang bersih dan tidak rosak menampilkan imej yang positif untuk individu.

Apakah definisi sebenar gigi yang sihat?


Menurut Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA) serta pensyarah kanan Jabatan Prostodontik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Muzafar Hamirudin, gigi yang sihat tidak semestinya berwarna putih bersih manakala gigi yang berwarna kekuningan itu pula diklasifikasikan gigi tidak sihat.


“Selagi gigi kita boleh berfungsi dengan elok, tidak mempunyai kerosakan yang mengakibatkan kesakitan gigi dan boleh mengunyah dengan baik, ia adalah definisi gigi sihat cuma ia juga perlu bersih. Maksud saya dengan bersih, ia harus digosok dan melakukan flos supaya bakteria hilang dan tiada plak gigi.

“Warna gigi itu bergantung kepada seseorang individu. Lain orang lain warna giginya kerana ia memang sebegitu walaupun tidak dinafikan faktor pemakanan ada mempengaruhi perubahan warna gigi. Tetapi jangan nilai kebersihan gigi individu itu berdasarkan warna gigi kerana kadang-kadang walaupun ia berwarna kuning, gigi itu juga sihat. Nasihat saya, jangan mudah salah sangka,” katanya.

Selain itu, Dr Muzafar turut memberitahu, tidak menjadi sebarang masalah untuk kita makan apa jua jenis makanan sama ada tinggi kandungan gulanya mahupun tidak asalkan ia harus disusuli dengan rutin menggosok gigi yang efektif.

Menggosok gigi dengan efektif bermaksud ia kena menggunakan teknik yang betul seperti pilih berus gigi yang kepalanya kecil, pastikan berusnya lembut dan guna pada kedudukan berus 45 darjah serta boleh mencapai sehingga ruang belakang gigi supaya memudahkan pergerakan semasa menggosok.

Penggunaan flos juga salah satu langkah yang bijak. Flos boleh diibaratkan seperti seutas tali yang dapat membersihkan sisa makanan yang terperangkap di celah gigi untuk menghalang pembentukan bakteria dalam mulut.

Selepas itu, anda juga boleh menggunakan bahan kumuran yang boleh membantu menghapuskan bakteria tersembunyi.

Jangan memberus dengan kuat kerana ini akan menyebabkan gigi anda boleh terhakis terutama pada leher gigi dan menyebabkan gigi menjadi sensitif. Plak yang anda bersihkan setiap hari pula adalah lembut saja jadi anda tidak memerlukan berus yang keras untuk menghilangkannya.

“Sebaik-baiknya, anda harus memberus gigi sebanyak dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan malam kerana kekerapan anda menggosok gigi tidak menentukan tahap kebersihan gigi jika caranya tidak betul.

“Terdapat pelbagai jenis ubat gigi yang berada di pasaran sekarang yang mempunyai pelbagai fungsi. Nasihat saya, anda boleh gunakan kebanyakan ubat gigi yang mempunyai fluorida bagi membantu memelihara ketahanan gigi.

“Ini kerana fluorida adalah sejenis bahan mineral menghalang kerosakan gigi dengan menguatkan lapisan enamel gigi dan menyebabkan ia lebih tahan kepada serangan asid yang dihasilkan oleh bakteria,” katanya.

Jika kita terlalu mengabaikan penjagaan kesihatan mulut, antara penyakit yang boleh dihidapi selain kerosakan gigi (karies gigi) adalah penyakit gusi, nafas berbau dan lebih buruk lagi, kanser mulut serta penyakit jantung.

Kerosakan gigi terjadi hasil tindak balas antara plak dan gula yang menghasilkan toksin. Akibat tindak balas berkenaan, permukaan luar gigi yang dikenali sebagai enamel akan retak dan menyebabkan gigi berlubang serta karies gigi.

Bakteria yang terdapat di dalam mulut pula akan menukarkan gula kepada kanji dalam makanan kepada asid yang akan menghakis gigi secara perlahan-lahan.

Bakteria dan plak terkumpul yang tidak dapat dibersihkan melalui amalan memberus gigi akan terperangkap. Faktor ini yang membuatkan seseorang itu berisiko untuk mendapat kanser mulut atau penyakit jantung kerana kesihatan tubuh badan saling berkait rapat daripada semua aspek.

Tabiat merokok dan minum minuman beralkohol turut tergolong antara punca yang menyumbang kepada kerosakan gigi.

Tidak dilupakan, anda perlu berjumpa doktor gigi untuk membuat pemeriksaan secara berkala. Ibu bapa juga boleh mula membawa anak-anak melakukan pemeriksaan seawal selepas anak mereka tumbuh gigi yang pertama. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat.

Sementara itu, jenama peneraju produk pergigian yang diyakini, Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd (Colgate), sering tampil dengan produk terbaik mereka seperti ubat gigi Colgate Sensitive Pro-Relief dan berus gigi 360 darjah antibakteria yang menitikberatkan keperluan pengguna.

Syarikat ini juga turut bekerjasama dengan MDA mengadakan Kempen Bulan Kesihatan Mulut 2012 yang sudah memasuki tahun kesembilan penganjurannya.

Tujuan kempen yang bertemakan ‘Misi Kami: Kaviti Sifar’ adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai terutama seisi keluarga mengenai kepentingan penjagaan kesihatan oral. Di samping itu, ia menggalakkan orang ramai yang tidak pernah membuat pemeriksaan gigi seumur hidup melawat sekali ke mana-mana klinik gigi yang ditetapkan dalam kempen itu.

Aktiviti kempen tahun ini juga selari dengan misi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu ‘Mulakan Awal, Mulut Sihat, Hidup Lebih Sihat’.

Menerusi kempen ini, ia membolehkan orang ramai membuat pemeriksaan gigi percuma di 772 klinik gigi yang terbabit di seluruh negara.

Dr Muzafar berkata, kempen pendidikan Bulan Kesihatan Mulut berguna untuk menanamkan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia terhadap pentingnya penjagaan dan kebersihan mulut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/02
`