Ahad,20 April 2014

Dekati habitat haiwan liar

Oleh Suliati Asri

TAMAN Mergastua Sultan Idris Shah mungkin tidak dikenali ramai, tetapi jika menyebut Zoo Taiping, pasti terbayang keseronokan tatkala berkunjung ke satu-satunya zoo di utara Semenanjung Malaysia.

Walaupun Malaysia mempunyai beberapa taman haiwan, Zoo Taiping mempunyai keistimewaan tersendiri yang membuatkan pengunjung teruja dengan apa yang ditawarkan.

Selain menjadi habitat kepada 1,300 haiwan daripada 180 spesies, zoo itu turut menyajikan keindahan alam semula jadi yang memukau selain aliran anak sungai, tasik serta kehijauan flora bersesuaian dengan kedudukannya di kawasan semula jadi iaitu Tasik Taiping yang berhampiran kaki Bukit Larut (Maxwell Hill) kepada pengunjungnya.

Dengan keluasan 8.5 hektar, Zoo Taiping memulakan satu pembaharuan dengan memperkenalkan pameran haiwan menggunakan konsep terbuka.

Foto

BANYAK...pelbagai jenis rusa yang boleh di lihat.

Foto

Foto

SINGA..si penghuni rimba.

Foto

SANTAI...penjelajahan lebih santai dengan perkhidmatan kereta api mini Night Safari.

Foto

TUMPUAN...harimau antara tarikan di zoo.


Ia juga diperkenalkan dengan mengambil kira habitat asal haiwan yang ada di situ selain menyajikan pengunjung dengan keindahan dan kehijauan alam semula jadi menerusi pembinaan kandangnya.


Berkonsep terbuka seperti habitat asal binatang, pengunjung boleh melihat pelbagai haiwan termasuk harimau, singa, gajah, badak air, zirafah, enggang dan orang utan dengan lebih dekat.

Hidupan liar yang ada seperti harimau belang, singa, siamang, rusa, nilgai dan burung kuak menambahkan keterujaan pengunjung menjelajah di segenap ruang zoo.

Tidak puas melihat gelagat lebih daripada 180 spesies haiwan yang ada di Zoo Taiping, Night Safari pastinya menambah keceriaan dan kegembiraan bersantai bersama keluarga di Bandar Warisan itu.

Berkonsepkan lawatan ke zoo pada waktu malam, pengunjung terutama pencinta hidupan liar dapat menyaksikan gelagat haiwan pemangsa yang aktif pada waktu malam dalam suasana tenang serta mendamaikan.

Selain itu juga, konsep berkenaan juga memberi peluang kepada pelawat untuk menghayati dan menghargai khazanah alam semula jadi yang pasti memukau dengan diterangi cahaya bulan yang cukup indah.

Hidupan liar yang aktif pada malam hari antaranya harimau kumbang, singa, rusa, ular dan buaya boleh dilihat dengan lebih dekat menerusi konsepnya yang terbuka.
Berkunjung ke Night Safari, pengunjung mempunyai dua pilihan untuk menjelajah di segenap ruang selain melihat kepelbagaian binatang yang ada di situ.

Bagi pengunjung yang mahu mendekati hidupan di Night Safari ini, pengembaraan lebih kurang 2.5 kilometer dengan berjalan kaki pastinya berbaloi.

Mana tidaknya, pengunjung akan lebih dekat dengan habitat hidupan liar yang ada di situ selain dapat menghayati sepenuhnya suasana malam yang dingin.

Namun, jika enggan berjalan kaki, anda boleh menaiki kereta api mini Night Safari mengelilingi zoo.

Sama ada anda berjalan kaki atau menaiki kereta api, pengunjung adalah dikehendaki untuk meminimakan bunyi-bunyian atau suara supaya dapat mendengar bunyi-bunyi haiwan yang ada.

Ia adalah bagi membolehkan pengunjung menghayati sepenuhnya pengalaman itu selain tidak mengganggu ketenteraman di Night Safari.

Sepanjang penjelajahan di Night Safari, pengunjung dilarang membawa lampu suluh dan kamera berflash kerana ia akan mengganggu haiwan-haiwan yang ada.

Menariknya, jika pengunjung datang tepat pada masa ia diberi makan, mereka berpeluang memberi makan kepada haiwan terbabit dan melihat gelagat ia menjamu selera.

Apa yang pasti, berkunjung ke Night Safari adalah sesuatu yang cukup mengujakan dan pengalaman baru.

Ia juga pastinya membuatkan pengunjung terasa seperti berada di dalam hutan rimba yang dipenuhi hidupan liar selain bunyi cengkerik yang menjadi muzik latar sepanjang penerokaan mereka.


INFO


Larangan di Night Safari
1) Ditegah memberi makanan dan mengganggu haiwan.
2) Dilarang melintas halangan serta memetik, memotong atau merosakkan pokok dan tanaman.
3) Dilarang membuang sampah merata-rata.
4) Dilarang membawa masuk binatang peliharaan.
5) Dilarang membawa masuk lampu suluh dan kamera berflash.

Waktu lawatan Zoo Taiping
-8.30 pagi hingga 6.00 petang setiap hari sepanjang tahun termasuk Ahad dan cuti am.

Waktu lawatan Night Safari
-Dibuka setiap malam termasuk cuti umum bermula 8 hingga 11 malam
-Sabtu dan malam sebelum cuti am, 8.00 hingga 12 pagi

Tiket:

- Zoo Taiping

Dewasa = RM12
Kanak-kanak = RM8

- Night Safari
Dewasa = RM 16.00
Kanak-kanak = RM 10.00

Artikel ini disiarkan pada : 2011/03/03
`