Rabu,20 Ogos 2014

Dinodai abang sendiri

SAYA tidak tahu bagaimana ingin menyelesaikan masalah ini. Saya pernah berzina dengan abang kandung saya. Ketika itu usia saya baru sembilan tahun.

Saya tidak tahu apa yang abang saya lakukan ke atas saya kerana pada usia itu saya belum memahami mengenai seks.

Apabila berusia 12 tahun, baru saya tahu yang perbuatan itu salah dan berdosa besar.

Saya takut jika bakal suami tidak boleh menerima kenyataan yang saya tidak suci

lagi. Kini usia saya sudah 23 tahun dan bakal mendirikan rumah tangga.

Perlukah saya memberitahu bakal suami mengenai keadaan saya sekarang? Saya selalu berdoa memohon dipertemukan jodoh dengan orang yang ikhlas menerima saya walaupun tidak suci lagi.


NURIN
Selangor



ISLAM melarang salah laku seksual termasuk perzinaan kerana ia mempunyai banyak implikasi buruk kepada maruah diri individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Hal ini diingatkan dalam al-Quran: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat”. (Surah al-Isra’ ayat 32)

Berbanding dengan agama lain, pendekatan Islam mengenai dorongan seks adalah seimbang dengan tidak cuba menghapuskannya, tetapi mengawal secara baik.

Ini kerana memang manusia mempunyai dorongan seks dan nafsu. Lantaran itu Islam menggalakkan perkahwinan.

Individu yang tidak mampu berkahwin atas sebab tertentu disuruh menjaga kehormatan diri dan tidak mencabul kehormatan orang lain.

Kanun keseksaan dalam Islam mengenai zina dan sebagainya dilihat sedikit keras bagi menjamin maruah seseorang supaya perlanggaran norma seks tidak berlaku.

Hal ini perlu diingatkan kepada setiap individu, keluarga dan masyarakat.
Membiarkan saja gejala negatif termasuk perlakuan bebas dan pornografi bakal membawa keburukan dalam masyarakat.

Setiap ahli keluarga dan masyarakat perlu prihatin untuk menjaga maruah diri dan keluarga.

Dakwaan zina boleh dibuat apabila berlaku antara dua individu mukallaf tanpa ada paksaan.

Bagi kes anda, peristiwa itu berlaku ketika masih kanak-kanak dan belum mencapai umur baligh.

Justeru dakwaan zina tidak dapat dibuat. Anda pula tidak mengerti apa-apa. Ketika peristiwa tersebut berlaku, anda tidak melakukan perbuatan zina secara sedar iaitu mengetahui bahawa ia perbuatan zina yang diharamkan.

Sehubungan itu, anda tidak bersalah dan berdosa. Dakwaan rogol buat dibuat
ke atas abang sendiri sekiranya ia sudah mukallaf.

Bagaimanapun peristiwa itu tidak perlu diberitahu kepada suami.

Ini kerana keaiban perlu disimpan tanpa didedahkan kepada umum. Begitu juga dengan dosa yang lain tidak perlu didedahkan kepada manusia.

Mohonlah kepada Allah supaya menjaga hubungan dengan suami. Jadilah peristiwa lampau sebagai pengajaran dalam menjaga kehormatan diri dan anak nanti. Itulah yang utama buat masa sekarang.

Memandangkan kes begini banyak berlaku sejak kebelakangan ini, setiap keluarga Islam dan masyarakat perlu mengambil tindakan segera menanganinya.

Misalnya rumah memerlukan bilik berlainan bagi adik beradik lelaki dan perempuan. Setiap keluarga wajib mengawal anak mereka daripada terdedah kepada unsur seks dalam media dan internet.

Hukuman berat kepada kesalahan zina dan seksual perlu dikaji bagi menimbulkan rasa takut dalam diri individu.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/12/23
`