Isnin,22 September 2014

Dokumentari ciptaan pelajar

SESUAI dengan zaman kian maju dengan kebanyakan kita saban hari bergantung kepada penggunaan teknologi dalam urusan seharian, pengetahuan mengenai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mula diterapkan kepada pelajar sekolah.

Penubuhan Kelab ICT Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu enam tahun lalu memberi peluang kepada pelajar untuk bergiat aktif dalam aktiviti ICT.


Antara aktiviti baru yang dianjurkan adalah melatih pelajar menjadi kru produksi perfileman yang menerbitkan rancangan dokumentari berkaitan proses membuat keropok lekor.

Tugasan diberi sungguh mencabar kerana bagi mereka, ia sesuatu yang baru. Penggambaran dilakukan di Kampung Losong Haji Su, kira-kira lima kilometer dari Kuala Terengganu.


Kampung yang terkenal dengan pemprosesan keropok lekor itu riuh seketika dan pelanggan di gerai menjual keropok menumpukan perhatian kepada anak muda sekolah yang berani dan bersahaja menjalankan sesi penggambaran.


Walaupun bidang ini asing bagi pelajar, minat mendalam menjadi pembakar semangat bagi mereka untuk melakukannya dengan dibantu guru berpengalaman.

Seramai 12 pelajar terbabit diberi kursus teori mengendalikan peralatan filem selain membuat kajian terperinci ke atas skrip disediakan.


Keseluruhan sesi penggambaran dilakukan tiga hari berturut-turut dan mendapat kerjasama pengusaha keropok lekor di situ.

Guru Penyelaras Kelab ICT sekolah berkenaan, Farhana Naufa berkata, banyak pengalaman baru dan kemahiran menggunakan peralatan rakaman penggambaran diberi kepada pelajar.


Katanya, walaupun pada peringkat awal mereka nampak kekok dan serba tak kena, namun berkat kesungguhan akhirnya mereka mampu menjayakan projek itu.


"Dapat dilihat komitmen pelajar sangat tinggi, malah kerjasama di antara mereka menjadi faktor penggambaran berjalan lancar.


"Malah tidak sekalipun mereka berputus asa, sebaliknya sentiasa ceria dan gigih untuk melakukannya," katanya.


Menurutnya, mereka juga merancang mengadakan satu lagi projek lebih besar iaitu menerbitkan filem pendek.


Tambahnya, ia bukan saja memberi peluang kepada pelajar untuk terbabit dalam pengendalian alatan rakaman, malah menjadi ruang bagi mereka menonjolkan bakat lakonan.


Ahli kelab, Ahmad Zulhaire Uzair Zaharuddin, 17, berkata dia sangat bertuah kerana dapat belajar cara mengendalikan alatan rakaman.


Katanya, ia sedikit sebanyak menambah pengalamannya, sekali gus membuatnya tambah bersemangat untuk mempertingkat ilmu kemahiran dalam bidang ICT.


"Saya sangat teruja dan seronok ketika melakukan proses penggambaran, malah saya juga menyedari betapa sukarnya menyiapkan sesuatu sesi penggambaran.


"Semua pelajar yang dipilih sebagai kru filem dokumentasi itu memerlukan tahap kesabaran dan disiplin tinggi," katanya.


Dia yang memikul tugas sebagai pembantu jurukamera ternyata mampu melakukannya dengan berkesan walaupun pertama kali menggunakan peralatan penggambaran.


Bagi pengarah filem itu, Azrull Aziz, 17, dia sememangnya meminati bidang ICT, malah langsung tidak menolak apabila diberi tanggungjawab itu.


Katanya, dia terharu akan kepercayaan yang diberikan oleh gurunya untuk memikul tugas itu dan berikrar untuk melakukan yang terbaik.


"Memikul tugas sebagai pengarah memang berat, tetapi saya berjaya juga berkat panduan dan nasihat diberikan guru.


"Pada mulanya saya berasa kekok dan kaku untuk mengarah kawan melaksanakan shooting dan membuatkan aksi lakonan, tetapi lama kelamaan saya terasa teruja dan seronok," katanya.


Tambahnya, baru dia sedar bukan mudah menjadi pengarah dan ilmu dan kemahiran mengarah sebenarnya adalah gabungan dua ilmu iaitu ilmu seni dan sains.


Skrip filem dokumentari itu ditulis oleh Mohd Fais Hafiz Mohd Ismail, 17, yang juga pelajar aliran Sains Tulen.


Katanya, walaupun belajar di aliran sains, dia mempunyai bakat dalam penulisan dan meminati bidang sastera.


"Apabila mendapat tugasan itu, perkara pertama saya lakukan adalah mencari maklumat berkaitan di perpustakaan dan Internet sebelum menggarap dalam bentuk penulisan.


"Sepanjang sesi penggambaran, saya sentiasa ada bersama untuk memastikan ia berjalan mengikut jalan cerita dan kehendak skrip ditepati," katanya.



>INFO
> Kelab teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu ditubuhkan enam tahun lalu
> Melakukan penggambaran filem dokumentari mengenai perusahaan keropok lekor di Kampung Losong Haji Su
> Membabitkan 12 pelajar
> Memberi peluang kepada pelajar mengetahui selok-belok pembikinan filem

>PROFIL
NAMA: Azrull Aziz
UMUR: 17 tahun
TUGAS: Pengarah
HOBI: Membaca dan aplikasi komputer
CITA-CITA: Jurutera perkapalan

>PROFIL
NAMA: Ahmad Zulhairie Uzair Zaharuddin
UMUR: 17 tahun
TUGAS: Pembantu jurukamera
HOBI: Aktiviti kembara dan fotografi
CITA-CITA: Saintis

>PROFIL
NAMA: Mohd Fais Hafiz Mohd Ismail
UMUR: 17 tahun
TUGAS: Penulis skrip
HOBI: Memancing dan aplikasi ICT
CITA-CITA: Pakar forensik

Artikel ini disiarkan pada : 2011/03/19
`