Ahad,21 September 2014

Ekin hampir putus asa

Oleh Georgie Joseph

Tempoh lapan tahun bukanlah pendek. Ibarat menanti buah yang tidak gugur, penyanyi kelahiran program realiti popular Akademi Fantasia 3 (AF3), Ekin Rahman, 28, hampir putus asa apabila kelahiran album sulung yang diharapkan masih tidak menjadi nyata.

Namun, dia yang yakin bahawa rezekinya pasti tiba, Ekin kembali bernafas lega meneruskan cita-citanya dengan kemunculan album sulungnya berjudul Satu Percaturan yang dilancarkan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Meskipun nama sudah tidak sehangat mana, Ekin mengakui permulaan baru itu sekurang-kurangnya mengubati luka hatinya apabila dia seperti ‘terpinggir’ di lapangan muzik.

Siapa tidak kenal dengan kehebatan penyanyi kecil molek kelahiran Labuan, Sabah ini, malah dia antara artis AF yang masih diingati mempunyai vokal lunak.


Bagaimanapun, kerjayanya merudum dan hanya sempat merasai populariti dalam tempoh sekejap saja. Selepas itu, pergantungan utamanya hanya sekadar menanti tawaran persembahan tanpa ada lamaran membuat album.


Ditemui pada sesi pelancaran album itu, Ekin yang masih kekal jelita dan penuh sifat lemah lembut itu ternyata gembira bukan kepalang dengan kemunculan album itu.

“Hanya Tuhan saja yang tahu betapa saya bersyukur dan puas hati kerana akhirnya memiliki album sendiri. Lapan tahun menanti, bayangkan dalam tempoh itu bagaimana saya cuba bertahan dan hampir berputus asa beberapa tahun lalu.

“Sehinggakan pada satu tahap, saya mahu saja mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman jika itu saja jalan terbaik. Untung saja masih ada yang sudi menawarkan persembahan pentas buat saya sekurang-kurangnya ada juga sumber pendapatan.

“Atas sokongan peminat yang masih setia dan sentiasa mengikuti perkembangan saya saja menjadi sumber kekuatan. Sekian lama bertanyakan mengenai produk terbaru daripada saya, kini barulah dapat melunaskan permintaan mereka,” katanya sambil mengakui dia kian kekok berhadapan dengan media kerana sudah lama tidak ditemubual.

Lebih cenderung pada muzik pop rock sesuai dengan suara ‘husky’nya, Ekin bagaimanapun memilih untuk menggunakan konsep universal kepada lagu-lagu yang dimuatkan dalam album berkenaan.

Mungkin menimbulkan risiko, namun terkenal dengan kebolehannya menyanyikan pelbagai rentak lagu, Ekin optimis dan selesa dengan konsep album itu, malah ia menepati cita rasanya.

“Satu Percaturan adalah eksperimen pertama saya yang mana peminat boleh mendengar pelbagai sisi nyanyian saya termasuk irama tradisional zapin. Memanglah saya sebati dengan lagu-lagu rock, namun sayang jika tidak menunjukkan kemampuan menyanyikan genre lain.

“Lagipun saya terfikir selepas ini jikalau ada ‘show’, saya mahu menghiburkan penonton dengan pelbagai rentak lagu agar mereka tidak bosan.

“Terima kasih kepada Stadium First yang bertanggungjawab di atas penghasilan album ini dan kerana mempercayai bakat saya. Secara peribadi, saya amat sukakan konsep pelbagai genre ini dan paling penting, misi sekarang ini adalah untuk memahat nama dalam industri,” katanya yang kini dinaungi Stadium First.

Mempertaruhkan lagu berentak ‘easy-listening’, Ceritaku dan Dia yang lirik ditulis Ekin sendiri sebagai single pertama, album berkenaan turut memuatkan enam lagu lain termasuk Satu Percaturan, Zapin Budi, Mencari Cinta, Kekasih, Dengarlah Sayang serta sebuah lagu bahasa Inggeris duet bersama Black, Moment For Us.

Pada majlis itu, Ekin sempat memperdengar­kan beberapa lagunya selain penayangan muzik video lagu barunya.

Dijentik mengenai hubungannya bersama rakan seperjuangan di AF3 dulu, Yazer, Ekin tanpa berselindung mengakui mereka masih lagi bercinta, malah pernah berborak kosong mengenai perkahwinan.

Bagaimanapun, katanya masih terlalu awal untuk mendirikan rumah tangga dan belum ada perancangan untuk ke arah itu.

“Ya, saya masih lagi bersama Yazer, namun topik pasal kahwin itu kami bualkan secara tidak serius. Kami masing-masing belum memikirkan perkara itu sebaliknya yang menjadi kepentingan sekarang adalah karier.

“Perjalanan saya seolah-olah baru bermula semula dan sekarang ini mahu fokus kepada kerjaya nyanyian memandangkan nama saya belum kukuh lagipun dalam industri.

“Begitu juga Yazer, kalau boleh biarlah masing-masing stabil dulu dan benar-benar berpuas-hati dengan pencapaian dalam bidang ini,” katanya yang mula bercinta dengan Yazer sejak di AF3.

Ekin mula dilamar Stadium First sewaktu dia terbabit menjayakan persembahan pada Hari Belia yang berlangsung tahun lalu dan mula menghasilkan Satu Pertaruhan bermula Disember 2012 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/07

Artikel Lain

`