Oleh Hatipah Ahmad bisnes@hmetro.com.my 2010/02/10
EKUITI Nasional Berhad (Ekuinas), syarikat pengurusan dana ekuiti swasta yang ditubuhkan kerajaan bagi menggalakkan penyertaan ekonomi Bumiputera, menyasar mencapai kadar pulangan dalaman (IRR) sekurang-kurangnya 12 peratus setahun bagi portfolio pelaburannya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata kadar itu adalah sasaran purata bagi pulangan portfolio pelaburannya dan berharap mampu mencapai sehingga 20 peratus setahun. Beliau berkata, pelabur tidak perlu bimbang kerana pelaburan yang akan dibuat mempunyai potensi pertumbuhan menggalakkan seperti dalam sektor pendidikan, penjagaan kesihatan, perkhidmatan, runcit, riadah, minyak dan gas serta barangan pengguna termasuk makanan dan minuman. Menurutnya, Ekuinas tidak akan melabur dalam sektor perjudian, minuman keras, dana lindung nilai, mata wang, komoditi, hartanah dan industri pembinaan. “Kadar 12 peratus adalah sasaran purata dan kami berharap kadar itu akan mencapai pulangan 20 peratus. “Kami yakin dengan sasaran itu selepas meneliti 132 dana daripada pasaran baru muncul,” katanya selepas mengumumkan Garis Panduan dan Rangka Kerja Pelaburan dan Dasar Pendedahan Penuh Ekuinas di Petaling Jaya, semalam. Hadir sama dalam taklimat itu, Pengerusi Ekuinas, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda. Abdul Rahman berkata, Ekuinas akan melabur dalam syarikat yang kukuh dan mempunyai rekod prestasi sekurang-kurangnya satu hingga tiga tahun dengan mencatatkan potensi pertumbuhan ketara. Menurutnya, kriteria syarikat berkenaan dikenal pasti sebagai yang paling menarik bagi Ekuinas untuk melabur meskipun pihaknya akan mengekalkan fleksibiliti untuk melabur dalam sektor lain mengikut peluang pasaran yang tersedia. “Kami mencari syarikat yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi dan mahu menumpukan kepada syarikat tempatan. “Ia boleh jadi aset antarabangsa sekiranya terdapat pemegang saham Malaysia atau sekiranya syarikat itu beroperasi di Malaysia,” katanya. Pada masa sama, beliau berkata, Ekuinas akan meneruskan urus niaga belian dengan saiz pelaburan RM30 juta selain memastikan pegangan efektif tidak kurang daripada 20 peratus bagi membolehkan syarikat itu menjadi pemegang saham aktif. Sementara itu, Raja Arshad berkata, penggunaan dasar pendedahan penuh mencerminkan komitmen Ekuinas kepada ketelusan dengan peranannya sebagai entiti yang dibiayai kerajaan dengan kepentingan awam yang tinggi.
Menurutnya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM500 juta kepada Ekuinas yang akan dinaikkan sehingga RM10 bilion bagi menggalakkan penyertaan ekonomi Bumiputera yang saksama dan mapan melalui pewujudan generasi syarikat utama seterusnya Malaysia.