Jumaat,01 Ogos 2014

Erin tak cerewet jaga kulit

Oleh Norhayati Nordin

Mula berlakon pada usia 11 tahun, ia nyata peluang keemasan bagi pelakon jelita Erin Malek. Apatah lagi, pada ketika itu Erin berjaya mencipta nama menerusi filem Tentang Bulan arahan Ahmad Idham.

Berbekalkan wajahnya yang menawan serta bakat seni dimiliki, tidak hairanlah apabila kini Erin sudah berjaya memahat namanya dan berdiri seiring dengan artis wanita popular tanah air.

Apatah lagi, lakonannya bersama Arja Lee dalam drama Miziku Kuza di Astro Ria (saluran 104) juga berjaya membantu melonjakkan nama Erin sebagai heroin drama.

Muncul juga dalam filem Lari dan terbaru, Cinderella, Erin nyata antara pelakon yang cukup mendapat tempat di hati Ahmad Idham yang cukup menyakini bakat lakonannya.

Foto

ERIN tak belanja besar untuk jaga kulit.


Melihatkan penampilan Erin yang sentiasa jelita walaupun bersolek nipis, sudah tentu Erin ada petua menjaga kulit wajahnya untuk kelihatan cantik setiap masa.


Erin, 19, berkata usia yang masih muda dan tidak mempunyai masalah kulit, membuatkan dia selesa sekadar memastikan hanya membasuh muka dengan pembersih pada setiap hari,

Katanya lagi, berbanding menjaga muka, Erin yang juga bapanya seorang jurukamera terkenal di belakang tabir mengakui lebih suka mendandan kuku tangan dan kakinya.

“Terus-terang saya katakan mengenai penjagaan muka, memang saya tidak pernah mengeluarkan belanja yang banyak untuk dilaburkan bagi menjaga kulit.

“Sebenarnya, sejak saya bersekolah rendah lagi saya hanya mengamalkan penggunaan produk ‘bio oil’ untuk kulit wajah dan badan. Saya tak gunakan losyen pun.

“Apa yang saya tahu, penggunaan ‘bio oil’ lebih baik untuk kulit muka mahu pun badan supaya sentiasa lembap dan sekali gus mengelakkan masalah kulit kering,” katanya.

Menurut Erin lagi, dia juga lebih memilih untuk menggunakan produk penjagaan
kulit yang dihasilkan daripada bahan organik dan semula jadi.

Kata gadis remaja yang pernah dihimpit dengan kisah kontroversi suatu ketika dulu ini, penggunaan bahan ­organik terutama dihasilkan daripada tumbuh-tumbuhan lebih selamat kerana tiada campuran bahan kimia yang boleh merosakkan kulit.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/23
`