Selasa,29 Julai 2014

Etnik Tatau gamit memori

Oleh Suliati Asri

KUNJUNGAN ke Bintulu, Sarawak baru-baru ini atas jemputan Tune Hotels Bintulu walaupun singkat tetapi meninggalkan kenangan manis buat penulis dan rakan-rakan media yang lain.

Penulis yang kali pertama berkunjung ke situ tertanya-tanya apa istimewanya Bintulu dan cuba membandingkannya dengan Kuching iaitu ibu negeri Sarawak.

Bintulu mungkin tidak popular sebagai destinasi pelancongan seperti Kuching atau Miri, namun ia terkenal di seluruh dunia dengan gas asli di luar pantai Sarawak.

Terletak 650 kilometer (km) dari bandar Kuching dan kira-kira 215km dari Sibu atau Miri, Bintulu yang menghadap Laut China Selatan di baratnya mempunyai tarikan tersendiri yang perlu diterokai.

Foto

COMEL...Francesca berpakaian btradisional kaum Tatau.

Foto

MESRA...kedatangan kami disambut mesra masyarakat Tatau.

Foto

SUKAR...meniti beberapa anak tangga antara kesukaran ketika treking.

Foto

LAMA...menara jam di tengah pekan Bintulu.

Foto

TERKENAL...cencalok dan belacan antara produk tempatan yang terkenal di Bintulu.

Foto

SEGAR...sayur-sayuran yang dijual di tamu pagi segar dan murah.

Foto

HIJAU...lumut yang tumbuh menarik perhatian sesiapa saja yang melihatnya.

Foto

CANTIK...air terjun kecil yang menjadi santapan mata tatkala berjalan.

Foto

NYAMAN...kehijauan pokok-pokok di Similajau cukup mendamaikan.


Rumah panjang masyarakat Tatau menggamit memori

Menyusuri jalan selama sejam setengah, destinasi pertama Rumah Panjang Jalong yang dihuni satu daripada 42 etnik di Sarawak iaitu Orang Tatau.

Terletak lebih kurang 30 minit perjalanan menaiki bot dari Pekan Tatau, kami sampai di Rumah Jalong yang menjadi satu-satunya rumah panjang di daerah itu didiami orang Tatau yang masih ada.

Dihuni lebih kurang 108 orang dengan Ketua Kampung atau Tuai Rumah, Jalong Ak Anyik. Kami disambut meriah dengan tiga tarian selamat yang cukup menghiburkan.

Orang Tatau kini dikatakan di ambang kepupusan kerana suku kaum etnik utama Orang Hulu di daerah Tatau dikatakan hanya tinggal lapan orang yang berdarah minoriti. Mereka pula sudah memasuki usia emas.

Nama Tatau tercatat dalam peta Sarawak sebagai sebuah daerah yang kini pesat membangun.

Selain etnik Tatau, daerah dengan keluasan 4,945.8 kilometer persegi itu, kini didiami sekitar 30,000 penduduk pelbagai kaum, antaranya Iban, Melanau, Cina, Punan, Beketan, Kayan dan Kenyah.

Daerah berkenaan dinamakan sempena nama etnik Tatau yang diriwayatkan sebagai imigran pertama meneroka penempatan di hulu sungai itu sebelum berpindah randah ke hilir hingga ke kawasan Pekan Tatau.

Kunjungan kami turut dihiburkan persembahan cukup ‘comel’, Francesca Lova Sambai yang berusia empat tahun.


Pantai Indah di Similajau

Hari kedua di Bintulu, kami meneroka Taman Negara Similajau yang jaraknya 45 minit dari pekan Bintulu, destinasi hujung minggu menarik bagi penduduk.

Taman negara Similajau mempunyai pantai yang terindah di negara ini dengan warna putih dan keemasan menghadap Laut China Selatan.

Diwartakan pada 1978, Similajau merangkumi 8,996 hektar hutan dara pinggir pantai bermula dari Sunagi Likau di selatan hingga ke Sungai Similajau di utara.

Kawasan sepanjang 30km ini penuh dengan pelbagai tumbuhan dan haiwan. Hutan itu dikatakan mempunyai 230 spesies burung termasuk kenyalang dan bangau strom.
Antara haiwan reptilia ialah buaya air masin. Jika bertuah, pengunjung boleh melihat ikan lumba-lumba bermain ombak di laut atau penyu naik ke darat untuk bertelur.

Masa terbaik berkunjung ke situ ialah ketika musim kemarau iaitu sekitar Februari hingga Oktober.

Ketika ke sana, kami dijadualkan menikmati hidangan makan tengah hari di salah satu daripada tiga pantai yang cukup memukau iaitu Golden Beach.

Bagaimanapun, kami perlu berjalan merentas hutan dara itu sejauh 20km pergi balik. Kesuntukan masa, kami hanya singgah di Turtle Beach 1 sejauh 12km pergi balik dengan mengambil masa lebih lima jam.

‘Trecking’ di Similajan boleh dikatakan berbeza dengan mana-mana taman negara yang pernah penulis kunju­ngi. Ini kerana, trek laluannya dekat dengan pantai.

Jadi, di sepanjang perjalanan, selain menikmati keindahan dan kehijauan alam semula jadi, deruan ombak di pesisir pantai itu bagaikan memainkan lagu sekali gus menghilangkan penat tatkala berjalan.

Mulanya, masing-masing bersemangat merentas hutan dan mengambil gambar. Namun, keletihan mula dirasai selepas tiga kilometer.

Selepas beberapa kali berhenti rehat, akhirnya kami sampai di Turtle Beach 1.

Melihat air laut yang membiru, pasir pantai yang keemasan ketika disuluh matahari, keletihan berjalan sejauh 6km bagaikan hilang begitu saja.

Ketenangan yang dirasai sukar diungkapkan dengan kata-kata.


Setiap hari ada tamu

Pasar tamu memang popular di kalangan masyarakat Sabah dan Sarawak. Akibat kesuntukan masa, kami mengambil peluang tiga jam sebelum pulang ke Kuala Lumpur untuk ke pasar Tamu di pekan Bintulu.

Bintulu asalnya sebuah kampung nelayan yang dikenali dengan hasil lautnya seperti udang, cencaluk dan belacan. Justeru, cencaluk dan belacan adalah salah satu barangan yang dicari ketika ke tamu pagi itu.

Selain dua produk tempatan itu, pelbagai barangan yang boleh diperoleh, antaranya pisang, cili, sayur-sayuran dan ikan.

Walaupun ia hanya kunju­ngan singkat, nyata ia meninggalkan kenangan cukup bermakna terutama ketika berkunjung ke rumah panjang dan meneroka Similajau.

Apa yang pasti, jika ada kesempatan lain, penulis akan ke sana lagi untuk meneroka Bintulu secara lebih dekat.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/01/19
`