Rabu,23 Julai 2014

Eyka usaha bantu keluarga

Oleh Norhadiani Baharom

GENIT tubuhnya tidak membayangkan gadis ini berusia 17 tahun. Sekali pandang, mungkin ramai menyangkanya pelajar tingkatan dua kerana selain berbadan kecil, Eyka Farhana memiliki raut wajah dan perwatakan cukup naif.

Nyatanya, tidak kira apapun bentuk fizikal atau angka usianya, anak jati Kuala Lumpur dilahirkan dengan nama Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, seorang gadis yang cantik. Kombinasi keayuan padanya membuatkan siapapun yang memandang pasti tak jemu sehinggakan ada yang menggelarnya ‘Fazura Junior’.

Bila diperhatikan memang ada benarnya kesamaan yang diperkata. Justeru, timbul idea untuk menjadikan dia penghias muka depan Rentak Artis Popular (RAP) berkonsepkan dimensi dua wajah Eyka dengan karakter remaja serta transformasi kepada seorang wanita.

“Eyka tidak pernah terbabit dalam sesi fotografi seumpama ini. Terus-terang Eyka seorang yang ringkas dan tidak begitu suka bersolek tetapi hari ini Eyka sangat teruja dengan konsep ‘glamorous’ kerana Eyka nampak berbeza dan matang daripada usia,” katanya mengunjungi Harian Metro, Khamis lalu.

Foto

Foto

Foto

Foto

Foto


Melangkah ke bidang seni tanpa pernah merancangnya, Eyka memanfaatkan peluang membintangi telefilem Cinta Pontianak Gua Musang selepas kawan ibunya minta dia mencuba.


“Eyka bermula dengan komersil tetapi tidak begitu aktif. Bagaimanapun tahun lalu, kawan Mama Eyka memberitahu produksi Cinta Pontianak Gua Musang mahukan pelakon segera tanpa perlu ‘casting’.

“Tidak sangka semasa pertemuan dengan wakil produksi berkenaan, mereka setuju mengambil Eyka. Bertitik-tolak daripada drama itulah Eyka memperoleh tawaran membintangi drama bersiri Gemilang dan diikuti Juvana.

“Daripada Juvana barulah Eyka terasa impak apabila penonton mula mengenali Eyka. Kemudian, Eyka membintangi pula Sejadah Kaabah arahan Bade Azmi,” katanya.

Bermula dengan rasa mahu mencuba pada awalnya, kini lakonan sudah dianggap satu pekerjaan buat Eyka untuk memperoleh hidup yang lebih terjamin sekali gus keluar daripada kesusahan sekeluarga selama ini.

“Ibu bekerja sebagai ejen insuran dan bapa seorang guru. Mereka bercerai masa umur Eyka empat tahun. Eyka ada empat beradik dan Eyka tinggal dengan Mama.

“Eyka ada seorang kakak kurang upaya. Dia jadi begitu akibat demam panas semasa berusia enam bulan lagi. Antara sebab Eyka berlakon, selain mudah dapat wang Eyka mahu bantu ibu.

“Dengan adanya duit sendiri Eyka tidak perlu susahkan ibu. Eyka boleh biayai persekolahan Eyka dan membantu dua adik. Dulu Eyka pendam perasaan untuk membeli apa-apa yang diinginkan kerana tidak mahu susahkan Mama yang penat mencari duit untuk sekolahkan kami termasuk jaga kakak.

“Tetapi sekarang, apa yang Eyka mahukan, Alhamdulillah Eyka sudah mampu memilikinya. Insya-Allah, kalau rajin sebulan bolehlah dapat RM5,000.

“Lagipun Eyka mula seronok dengan bidang ini tambahan pula bekerja sebagai pelakon macam tidak bekerja. Apapun, Eyka memasang impian untuk menjadi aktres yang berjaya,” katanya.

Sedang hangat drama lakonannya Bunga Bunga Syurga ditayangkan di TV3 menerusi slot Zehra, jam 9 malam sejak 9 Mac lalu, dalam tempoh setahun Eyka sudah pun membintangi lebih 10 drama. Antaranya Puteri Pulau Tuba, Miang Buluh Keladi Birah, Ramadan Terakhir, Nur Ain, Naik Lif Turun Tangga, Jatuh Cinta dan Mencari Atirah.

Bagaimanapun dalam deretan judul yang diberi, Ramadan Terakhir dan Bunga Bunga Syurga paling mencabar kerana lari daripada kebiasaan tawaran yang diterimanya.

“Acap kali atau boleh dikatakan hampir semua drama Eyka menerima watak budak baik. Namun berbeza dengan Ramadan Terakhir kerana Eyka membawakan watak seorang anak kurang ajar.

“Manakala Bunga Bunga Syurga pula, Eyka melakonkan watak Emilia seorang anak yatim yang menjadi mangsa penderaan ibu saudaranya, Baidah. Baidah dilakonkan oleh Rozita Che Wan (Che Ta).

“Kesukarannya adalah untuk melakonkan watak didera itu sendiri selain perlu menangis. Bayangkan Che Ta sendiri menggigil untuk melaksanakan adegan itu kerana dia tidak sampai hati.

“Namun, demi menghasilkan lakonan yang ‘real’, Eyka membenarkan Che Ta memukul Eyka betul-betul. Eyka tidak kisah kalau sakit sedikit asalkan lakonan menjadi,” katanya mengimpikan watak ‘Superwoman’.

Bunga Bunga Syurga mengisahkan perjuangan seorang pemuda memberi pendidikan agama kepada kanak-kanak dan ­menyelamatkan kehidupan tiga anak yatim piatu yang dipelihara oleh ibu saudaranya yang kejam selepas ibu bapa mereka mati dibunuh.

Emilia (Eyka Farhana), 17, Nadia (Eira Hazali), 13 dan Haziq (Daniel Hakim), 12, terpaksa diserahkan kepada bapa saudara mereka, Azmin (Hilal Azman), selepas ibu bapa mereka, Imran dan Mira mati dibunuh. Kematian Imran dan Mira masih misteri walaupun kes sudah bertahun berlalu.

Azmin sanggup menggalas amanah untuk memelihara anak-anak saudaranya tetapi isterinya, Baidah menerima dalam terpaksa. Apabila Baidah mengetahui Emilia, Nadia dan Haziq mewarisi harta jutaan ringgit, barulah dia tersenyum untuk menerima kedatangan mereka dan bermulalah episod hitam tiga beradik itu.

Tahun ini juga, penuntut Sekolah Perempuan Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur itu bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Akuinya, kalau ditanya soal sasaran dia mahu kesemua mata pelajarannya A.

“Kalau tanya pada Eyka berapa ‘sasaran’ untuk SPM memang tinggi tetapi Eyka tidak mahu berharap takut kecewa. Sejak menjadi pelakon, Eyka akui ada kalanya tertinggal pelajaran tetapi Eyka sentiasa berusaha mendapatkan info daripada teman-teman.

“Syukur, Eyka masih boleh membahagikan masa dengan baik. Penat memang penat tetapi selepas melihat hasil lakonan dalam televisyen, Eyka puas hati dan rasa berbaloi.

“Tiga bulan sebelum menghadapi peperiksaan, Eyka mahu mengurangkan aktiviti lakonan untuk memberi tumpuan kepada pelajaran,” katanya mahu menumpukan sepenuh perhatian pada lakonan sebaik tamat pengajian.



Trivia Eyka

  • Bahagian tubuh atau muka disukai anda: Perut.

  • Aktor atau aktres yang diminati: Saya suka lihat muka Nora Danish sebab dia comel tetapi belum pernah bertemu dengannya.

  • Tabiat buruk Eyka: Gigit kuku, terutama sedang cemas atau ketakutan.

  • Mudah menangis apabila..: Kalau orang mengutuk atau menghina Eyka berlebih-lebihan

  • Perkataan wajib disebut setiap hari: Laparrrrr!!!!

  • Lagu yang diminati: Kesemua lagu Adele tetapi tiga yang paling suka Someone Like You, Rolling In The Deep dan Set Fire To The Rain.

  • Sudah berpunya atau belum: Sudah tetapi namanya biarlah rahsia lagipun kami terlalu muda untuk memperkatakan hal ini.

  • Jelaskan siapakah Eyka secara ringkas: Seorang yang banyak cakap, suka ketawa namun sangat mudah berubah ‘mood’.

  • Mudah tertarik pada lelaki..: Yang tinggi, mengambil berat, tidak terlalu manja, faham kerja Eyka serta menghormati keluarga Eyka.

  • Mahu berjaya seperti: Datuk Siti Nurhaliza.

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/26
  • `