Jumaat,19 September 2014

Fadhli Shas bertunang

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob

KOTA BHARU: Bermula dengan memenuhi permintaan seorang peminat untuk bergambar bersama dua tahun lalu, pemain pertahanan kebangsaan, Mohamad Fadhli Mohd Shas, 22, akhirnya bertunang dengan peminatnya itu, Effa Liyana Afandi, 25 yang juga anak kepada Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Afandi Hamzah.

Majlis pertunangan itu dilangsungkan di kediaman Afandi di Kampung Pengkalan Nangka, Jalan Pengkalan Chepa dekat sini, hari ini.

Mohd Fadhli berkata, dia mengenali Effa yang mahu bergambar dengannya selepas tamat sebuah perlawanan ketika mewakili pasukan Harimau Muda A di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pemain berusia 22 tahun berasal dari Johor Bahru itu mengakui selepas bergambar bersama masing-masing ingin mengenali satu sama lain.

Foto

Foto


"Selepas mengenali antara satu sama lain dan semakin rapat, kami memutuskan untuk bertunang kemungkinan selama setahun sebelum berumah tangga. Itu pun bergantung kepada jadual karier saya.


"Effa memahami kerjaya saya sebagai pemain bola sepak dan ia perkara penting untuk kami terus serasi," katanya ketika ditemui selepas majlis pertunangannya.

Pada majlis itu, Mohd Fadhli memberi lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang hantaran oleh Effa. Turut hadir, Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat bersama isterinya, Nur Eilunie Natasha Jaafar.

Sementara itu, Effa berkata, walaupun Mohamad Fadhli lebih muda, dia matang dan pandai menjaga hatinya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/10