Jumaat,22 Ogos 2014

Fesyen wanita pertengahan

Oleh Nor Faizah Mohamed

SIAPA kata wanita yang makin meningkat usia tidak boleh tampil bergaya dengan rona ceria?

Tidak dinafikan setiap wanita bimbang dengan padanan gaya yang tidak sesuai dengan usia lalu mengambil jalan mudah dengan mencuba stail selamat.

Kala usia meningkat 30 ke atas, rasa bimbang makin menghambat diri hingga rata-rata lebih suka menggayakan koleksi sedia ada walaupun sudah lebih tiga tahun menyarung busana yang sama!

Peningkatan usia memang tidak dapat dielakkan, tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh berseronok mencuba pelbagai gaya walaupun rasa janggal pada mulanya.

Foto

MANIS...cetakan flora penuh pada gaun maksi ini boleh dipadankan bersama jaket atau kardigan polos.

Foto

JENAMA BRITAIN...Wallis melebarkan sayapnya ke Asia Tenggara dengan pembukaan butik di Bangsar Village II, baru-baru ini.

Foto

MODEN...gandingan tali pinggang halus sebagai aksesori sudah memadai bagi menyerlahkan gaun pendek ini.

Foto

MENARIK...gaun rona cerah ini tampak cantik dipadankan bersama kardigan polos.

Foto

SOPAN...padanan blaus lengan panjang dan legging ini sesuai untuk wanita yang gemarkan gaya ringkas.

Foto

SEMI FORMAL...Wallis menekankan rekaan yang praktikal dan sesuai digayakan untuk apa jua acara.

Foto

SANTAI...blaus sederhana pendek ini sesuai digayakan bersama legging atau seluar jean skinny.

Foto

SEGAR...salah satu daripada lima gaun dalam koleksi eksklusif 1923.

Foto

PILIH...Wallis turut menitikberatkan aksesori yang berupaya menyerlahkan personaliti si pemakai.

Foto

MESTI ADA...bukan hanya busana tetapi pemilihan beg tangan dan kasut juga perlu sesuai dengan gaya yang cuba ditampilkan.


Faktor kesesuaian saiz juga sering menjadi alasan yang mana kebanyakan jenama memberi lebih tumpuan kepada gaya remaja serta wanita muda yang terarah kepada potongan singkat dan sendat.


Justeru, Wallis hadir memeriahkan arena fesyen tempatan bagi membantu wanita berusia 35 tahun ke atas tampil lebih anggun tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar.

Menurut Pengurus Divisyen Jenama DNP Clothing Sdn Bhd, Winnie Yeoh, jenama popular di kalangan wanita Britain dan Ireland itu tidak memberi tumpuan kepada usia seseorang, tetapi langkah serta lagak beraninya dalam berfesyen.

“Secara umumnya, wanita ingin sentiasa kelihatan menarik dan seksi tanpa mengira usia. Namun, atas faktor ketiadaan saiz yang sesuai atau potongan yang tidak menepati kehendak seiring usia menyebabkan ramai wanita terpaksa berkompromi kala berfesyen.

“Rata-rata wanita berusia 30 tahun ke atas ini bijak memilih busana, jadi daripada mengenakan pakaian yang tidak sesuai dengan usia, mereka lebih selesa memilih gaya selamat dengan busana longgar, labuh dan berpotongan ringkas, tetapi mempunyai variasi warna yang terhad.

“Daripada situ Wallis melihat kepada keperluan wanita golongan ini, di mana kami mempunyai himpunan busana yang mampu membuatkan wanita ini bebas menampilkan personaliti mereka.

“Wallis sememangnya dicipta khusus untuk wanita pertengahan 30-an hingga 40-an yang ingin tampak lebih bergaya serta memilih busana yang praktikal, tahan lama dan masih padan digunakan untuk musim-musim seterusnya,” katanya.

Sejak ia diperkenalkan buat pertama kali di Asia Tenggara menerusi pembukaan butik Wallis di Bangsar Village II, baru-baru ini, ia turut berjaya menarik minat golongan eksekutif muda yang mahukan gaya moden tetapi tidak keterlaluan.

“Selain itu, Wallis juga memberi peluang kepada wanita bertubuh kecil untuk sama-sama menjadi fashionista dengan himpunan ‘Petite’ yang boleh diperoleh dalam saiz serta potongan lebih kecil berbanding koleksi piawai,” tambah Winnie.

Bagi musim bunga dan panas kali ini, Wallis mempersembahkan himpunan ceria dan segar dengan serakan rona-rona flora yang memukau.

Blaus sederhana panjang kelihatan manis digayakan bersama legging atau seluar panjang polos, gaun kembang pula cantik dipadukan bersama kardigan atau jaket sementara gaun maksi dengan cetakan bunga mahupun absktrak menarik dipadankan bersama aksesori minimum.

Koleksi eksklusif 1923 yang menampilkan rekaan serta corak daripada arkib Wallis tidak ketinggalan diperkenalkan, dengan tumpuan terarah kepada gaun prom klasik yang popular di era 1950-an.

Cuma lima gaun dan dua kardigan direka bagi koleksi ini yang menekankan kepada potongan ikon glamor wanita zaman itu. Cetakan abstrak dan flora nyata tampak segar yang sesuai digayakan dalam semua acara.

Peranan aksesori dalam menyuntik kelainan penampilan seseorang juga turut dititikberatkan dalam koleksi fesyen Wallis yang mana pengunjung boleh memilih bermacam jenis serta rekaan daripada cincin hinggalah ke beg tangan dan kasut.

Wallis mula bertapak di England pada 1923 ketika kali pertama butiknya dibuka di Chapel Market, Islington, London dengan menjual bermacam kot serta gaun pada harga 19 syiling (kira-kira RM2.43).

Menjengah era 1940-an, Wallis terus mengukuhkan kedudukannya dalam dunia fesyen Britain dengan pembukaan 25 butik di seluruh London dan pada pertengahan 1950-an hingga 60-an, pasukan pereka Wallis diundang mencipta adi busana bagi Rumah Fesyen Chanel dan Dior yang mensasarkan wanita di kalangan golongan atasan.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/07/02
`