Khamis,24 April 2014

Filem perlu tauhid Allah

Oleh Mohd Fadly Samsudin

SEJAK turun-temurun cerita jelmaan hantu, saka, santau, pelaris, seru, badi mayat dan penunggu sering dimomokkan dalam masyarakat kita sehingga perasaan takut menyelubungi diri seseorang.

Dalam dunia serba moden ini, minat masyarakat mengenai perkara yang tidak nampak dengan mata kasar ini cukup mendalam.

Buktinya cukup jelas, apabila keluar filem genre seram di panggung di seluruh negara sambutannya sungguh luar biasa.

Namun akhir-akhir ini, filem atau drama berunsur khurafat dan tahayul berkenaan mula mendapat teguran daripada pelbagai pihak kerana bimbang ia boleh menjejaskan akidah umat Islam.


Bagi golongan dewasa mungkin mereka menganggap ia sebagai hiburan, tetapi bagi kanak-kanak persepsi itu berbeza. Kanak-kanak mungkin mempercayainya bulat-bulat sehingga menjadikan mereka seorang penakut.


Dalam fikiran mereka, hanya golongan seperti bomoh atau dukun yang mengamalkan bacaan mantera mampu menghalau serta menyelamatkan mereka daripada unsur jahat itu.

Perkara sedemikian boleh membawa kepada syirik kerana mengiktiraf bantuan lain selain dari Allah s.w.t. Kepercayaan seseorang itu mampu mengetahui perkara ghaib adalah kepercayaan sesat dan bertentangan dengan akidah Islam.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengampuni jika Dia disekutukan dengan selain-Nya dan Dia akan mengampuni (dosa) selain dari itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barang siapa yang menyekutukan Allah, maka dia melakukan dosa besar.” (Surah An-Nisaa’ ayat 48)Justeru, berhati-hatilah walaupun filem yang ditayangkan itu mengandungi pengajaran, tetapi jika ada termuat unsur yang membelakangkan syariat Islam serta mengundang tergelincirnya akidah umat Islam maka ia perlu dihentikan.

Makhluk halus atau alam ghaib tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia.
Menjadi kesalahan kepada sebuah filem atau drama yang menerbitkan hasil menggambarkan makhluk itu dalam ‘bentuknya.’

Sensitiviti masyarakat perlu diutamakan kerana kebanyakan penonton di Malaysia terdiri daripada golongan remaja. Jika pemikiran golongan berkenaan diracuni dengan filem begitu kepercayaan terhadap perkara tahyul bakal mempengaruhi hidup mereka dalam keadaan sedar atau tidak.

Semua perkara ghaib dan misteri adalah atas keizinan Allah s.w.t. Sekiranya berlaku, ia adalah sebahagian bukti kebesaran dan kekuasaan-Nya.

Justeru itu, ia tidak boleh dihebahkan kepada umum kerana dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah yang boleh membawa kepada penyelewengan.

Tapisan yang teliti terhadap apa saja bahan penerbitan bercetak dan audio visual perlu dilaksanakan dengan berkesan.

Atas sebab itu, pada 21 November 2005, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerbitkan Garis Panduan Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual berhubung unsur yang bercanggah dengan akidah serta amalan ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ia adalah perincian kepada Garis Panduan Penapisan Bahan-bahan Penerbitan Berunsur Islam yang diterbitkan jabatan itu pada 1996.

Aspek yang terdapat dalam garis panduan berkenaan meliputi kepercayaan kepada perkara keramat, khurafat dan tahyul, legenda, perbomohan dan azimat, perkara ghaibiyyat, persoalan mimpi, sihir, cerita aneh, misteri dan ajaib.

Khurafat ialah sesuatu perkara mempesonakan berbentuk rekaan atau dongeng yang karut menyimpang dari ajaran Islam. Manakala istilah tahayul pula bermaksud semua cerita sama ada khayalan atau rekaan, ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Perkara ghaibiyyat pula ialah perkara mengenai akidah Islam yang tidak nampak dengan mata kasar, tetapi wajib dipercayai oleh semua umat Islam.

Ia meliputi perkara berkaitan konsep ketuhanan, malaikat, persoalan roh, alam akhirat, alam kubur dan mati dan alam makhluk halus daripada kalangan jin.

Hukum mempercayai wujudnya keramat, khurafat, tahyul dan kebudayaan karut adalah syirik kerana menganggap perkara boleh mendatangkan manfaat selain daripada kekuasaan Allah.

Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, berkata filem adalah karya seni merangkumi elemen hiburan.

“Sebagai karya seni, filem perlu mampu mengangkat pemikiran. Di sini letaknya peranan naratif berciri dan berjiwa Islam dalam filem, mengemukakan unsur hiburan, tetapi pada masa sama membawa pemikiran sehingga mampu menggerakkan penonton berfikir ke arah kebaikan.

“Apa yang mencorakkan filem itu adalah pengarahnya yang berjiwa Islami.
Justeru, matlamatnya jelas untuk membawa kebaikan dan mentauhidkan Allah s.w.t.

“Konsep hiburan berbeza mengikut lapisan masyarakat berdasarkan latar belakang pendidikan, budaya dan sosial. Islam mempunyai konsep sendiri dalam konteks seni dan hiburan yang perlu difahami pembikin filem Muslim,” katanya.

Beliau berkata lambakan filem atau drama hantu di negara ini dikhuatiri mampu memberi impak buruk terhadap nilai, kesan minda serta pengaruh filem berkenaan terhadap kepercayaan tahayul dalam masyarakat Islam.

“Apabila Majlis Fatwa Kebangsaan menyuarakan kebimbangannya mengenai isu ini sepatutnya pandangan itu dihormati kerana ia berdasarkan pandangan agama dan bukan hanya mahu menimbulkan polemik.

“Majlis Fatwa Kebangsaan hanya menjalankan tugasnya. Jika ia boleh membawa kesan kepada akidah sama ada kepada pelakon mahupun penonton maka gesaan itu perlu diterima dengan hati terbuka,” katanya.

Dr Engku Ahmad Zaki berkata filem atau drama diterbitkan bagi mendidik masyarakat serta membantu mengembangkan ajaran Islam.

“Antaranya kriteria penting yang perlu dijaga ialah filem tidak boleh melakonkan watak tokoh seperti Rasul, Nabi dan khalifah kerana boleh menghilangkan kekudusan mereka, tiada pelakuan lucah, percampuran jantina, kegiatan zina serta pendedahan aurat.

“Skrip juga perlu ditulis oleh penulis Islam yang bertujuan menyampaikan risalah Islam semata-mata,” katanya.

Beliau berkata pembikin filem Muslim seharusnya mengutamakan semangat patriotisme bangsa serta menjadikan filem sebagai dakwah Islamiah.

“Islam menolak konsep seni untuk seni yang bertentangan dengan ajaran Islam dan membuat filem atas dasar komersial semata-mata.

Namun, kebanyakan filem yang dihasilkan negara Islam sebenarnya masih mengikut formula barat, secara khususnya struktur naratif klasik Hollywood.

“Alangkah baiknya jika filem yang dihasilkan sarat dengan ilmu agama yang amat diperlukan setiap Muslim bagi mengisi kekosongan jiwa, membentuk keinsafan diri serta membina jati diri insan bertakwa kepada Allah,” katanya.

Katanya, mutakhir ini peranan tokoh agama disempitkan sebagai tukang halau hantu, jin dan syaitan sedangkan peranan mereka lebih daripada itu iaitu menjadi imam, pendakwah, pemimpin masyarakat dan guru agama.

“Penampilan watak ustaz yang dilakonkan membaca doa, ayat al-Quran yang bercampur baur dengan jampi serapah serta unsur lawak sebenarnya adalah sesuatu yang boleh merosakkan akidah.

“Paparan negatif itu menjatuhkan imej dan maruah sebenar ustaz. Lebih menyedihkan, terdapat paparan keterlaluan ditonjolkan melalui watak ustaz seperti watak ustaz pengamal poligami yang melakukan kekerasan terhadap isterinya dalam lakonannya,” katanya.

Dr Engku Ahmad Zaki berkata filem bercorak agama dan nasihat tidak wajar menjadikan agama sebagai bahan komedi.

“Kita tidak mahu filem komedi agama negara menjadi seperti filem komedi negara barat yang terus menjadikan paderi mereka atau orang agama mereka sebagai bahan lawak.

“Pembikin filem perlu peka jika filem mereka ditafsir sesuka hati maka akan menimbulkan salah faham mengenai ajaran Islam sebenar terutamanya dari segi tauhid, fekah dan tasauf.

“Ketiga-tiga ciri ini adalah asas dalam ajaran Islam. Tarbiah seperti zikir dianggap sebagai simbol ajaran sesat maka rosaklah ajaran Islam yang sebenar kerana kuasa media sangat besar.

“Terdapat adegan sebenarnya menyumbang bahaya kepada negara seperti filem yang mengajar penonton bagaimana mahu membuat jenayah terancang seperti penculikan, pembunuhan, rogol, penipuan, malah cara untuk membuat bom,” katanya.

Beliau berkata salah satu misi Islam adalah membasmi kepercayaan khurafat kerana ia menyebabkan berlaku syirik kepada Allah.

“Kepercayaan khurafat antaranya mempercayai sesuatu benda mati mempunyai kuasa sakti seperti batu delima boleh melindungi keselamatan orang yang memilikinya, mempercayai makhluk lain selain yang disebut dalam Quran umpamanya orang bunian, pontianak atau penunggu, percaya wujudnya makhluk seperti dewa dan dewi yang mempunyai kuasa menghidupkan semula benda yang sudah mati,” katanya.

Beliau berkata sudah sampai masanya filem diterbitkan di negara ini mematuhi Piawaian Filem Patuh Syariah. Oleh itu adalah amat wajar industri hiburan bertemakan Islam diadakan badan pemantau seperti Jakim yang mengawal produk halal negara.

“Badan penilai ini mempunyai ciri sama dengan Finas yang melakukan penapisan filem sesuai ditayangkan di negara ini. Filem atau drama yang ingin ditayangkan dalam konsep karya Islamik perlulah melepasi piawaian patuh syariah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/10/07
`