Rabu,03 September 2014

Fon telinga teknologi BA

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

SONY (Malaysia) Sdn Bhd memperkenalkan fon telinga terbaru untuk lima segmen berbeza yang dijangka memberi pengalaman menikmati muzik berbeza dengan beberapa ciri terbaru termasuk lebih kecil dan ringan menggunakan teknologi Balanced Armature (BA).

BA adalah teknologi terbaru digunakan dalam produk fon telinga keluaran Sony khusus untuk kepuasan muzik dengan frekuensi bunyi lebih besar serta dilengkapi fungsi menghalang bunyi bising daripada mengganggu muzik yang didengari.


Timbalan Pengurus Besar, Bahagian Hiburan Peribadi Sony, Koji Nageno berkata, fon telinga sudah melalui pelbagai revolusi iaitu menggunakan pemacu lebih besar pada peringkat awal, namun dengan teknologi terkini, produk itu kini dihasilkan menggunakan pemacu mikro dengan sensitiviti lebih tinggi.

“Berbeza dengan fon telinga sebelum ini, kami menghasilkan produk menggunakan kepakaran tinggi dalam menghasilkan fon telinga lebih ringan, kecil dan sesuai untuk semua jenis gajet,” katanya selepas majlis pelancaran di Kuala Lumpur, semalam.


Menurutnya, Sony memperkenalkan BA pada harga bermula dari RM199 yang berada dipasaran mulai pertengahan bulan ini dengan 11 model untuk lima segmen berbeza iaitu untuk mendengar muzik, telefon pintar, kegunaan tanpa wayar, pengurangan bunyi bising dan kegunaan ketika bersukan yang lebih tahan lasak.


“Kami juga menawarkan fon telinga tahan air dilengkapi mekanisme pelarasan cuping telinga untuk pengguna yang lebih lasak,” katanya sambil menambah pihaknya menjangkakan jualan BA di Malaysia akan mencatatkan angka memberangsangkan sebagaimana pasaran Jepun.

“Selepas memperkenalkan produk ini di Jepun pada November tahun lalu, jualan fon telinga di negara berkenaan meningkat sehingga enam peratus dan mencecah 6.1 peratus pada Januari lalu.


“Malah, penguasaan pasaran bagi jenama Sony untuk produk dari rangkaian BA turut meningkat sehingga 60 peratus,” katanya.

Menurutnya, pasaran fon telinga di Malaysia dianggarkan mencecah 200,000 unit setahun dengan kadar peningkatan 30 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/02/11
`